menyusur denai ingatan XXXVIII

March 20th, 2010

 

Setelah semalaman bertambat di jetty Labuan, menyelaras tali perut yang penuh angin kerana lama tidak disumbat dengan makanan, kami keluar meronda pada esok hari.

 

Untuk menceriakan krew, CO mengadakan latihan menembak menggunakan senjata ringan - SMG, SLR dan HBSLR. Masa menembak tong drum yang dicampak ke laut, semua seronok. Bab yang membebankan apabila berkumpul di forcastle membarai, membersih dan memasang (re-assemble) senjata masing-masing.

 

Satu insiden yang masih jelas dalam ingatan ialah ketika CO meminta aku menunjuk ajar ABSM Gunnery Second Class (GA2) yang terkial-kial memasang balik SMGnya. Dua tiga kali spring melompat. Mujur juga dia berada di tengah kalau di tepi, mungkin bersemadilah spring itu ke dasar laut. Melihatkan keadaan, CO meminta aku mengajar (bukan membantu) ABSM tersebut. “Aduuh, ini sudah kes berat” fikir ku. Tak cukup dengan itu, CO boleh sound dia pula “RM lagi tau pasal senjata dari seaman gunner”.

 

SMG atau Sterling Sub Machine Gun amat sensitif. Sebab itulah, pembawanya diarah memisahkan magazine daripada senjata kerana ia boleh memuntahkan peluru tanpa dipetik. Malah, ada peristiwa menggemparkan berlaku apabila seorang anak kapal terkorban.  

 

Ketika mengejutkan kawan untuk mengambil alih tugas sentri, krew bot ronda yang bertambat di jetty MBJ telah dengan tidak sengaja tertembak bakal pengganti. Able seaman yang berasal dari Utara Semenanjung baru saja mengejutkan kawan karibnya yang tidur di mes belakang. Semasa meng ‘hand-over’ senjata, entah bagaimana jarinya terpetik ‘trigger’. Walaupun ‘safety latch’ SMG dalam kedudukan ‘safe’, tapi ia mudah terlepas. Malah ia juga boleh memuntahkan peluru kalau terhentak.

 

Berbalik kepada cerita seaman gunner tadi, suatu petang ketika kapal sedang meronda, CO bertanya “Berapa kelajuan angin sekarang?”

 

“Macam mana nak tau, tuan?” dia menjawab dalam pertanyaan. Lepas itu CO bertanya pada ku.

 

“Lebih kurang 14 knot dari belakang, tuan” aku memberi jawapan.

 

“Cuba terangkan macam mana awak dapat jawapan tu” CO meminta penjelasan.

 

“Kelajuan kapal sekarang ialah 14 knot. Bendera di belakang tak berkibar langsung…” dan aku terus memberi teori terperinci.

 

Mengimbau kembali dua insiden melibatkan ABSM ini, terfikir pula kenapa CO berbuat begitu? Apakah tujuannya? Mungkinkah dia mahukan kami menggunakan ‘common sense’, dan bukan robot.

 

Selepas empat hari meronda, kapal kembali ke jetty Labuan. Pekan Labuan masa itu sama seperti Tawau. Tak ada tempat menarik untuk dikunjungi. Mereka yang rimas duduk di kapal dan teringin bertukar angin, maka terpaksalah membetis hampir sebatu untuk lepak di kantin KD Sri Labuan.

 

Malam itu ada insiden yang melucukan, itu pun aku mendengar cerita dari kawan.

 

Dalam perjalanan balik ke kapal, dua orang krew yang tadinya begitu seronok minum teh Cina cap sauh dan harimau di kantin, ternampak seekor lembu betina. Bila kepala sudah mamai dan pandangan kelabu, lembu pun boleh kelihatan cantik. Mereka berdua bertungkus lumus cuba mengerjakan lembu itu tapi mujurlah haiwan pun tahu memilih. Kalau tidak mungkin bunting dan melahirkan anak lembu berwajah manusia.

 

Selepas Labuan, kami meronda perairan Sandakan. Ketika meronda kawasan ini, kami diarah membuat ‘landing’ di sebuah pulau kerana ada maklumat mengatakan  pengganas dari negara jiran mendarat di situ.

 

Sub Lt Chan dengan bersenjatakan pistol menjadi ketua dan aku ditugaskan memikul HBSLR di belakang sekali. Sebelum berlepas, coxswain memberitahu bahawa orang pertama menjadi sasaran bukan yang bersenjatakan pistol atau mereka yang membawa SLR dan SMG tapi tekong yang memikul senjata paling berat. Berlendir jugalah ketiak meronda keliling pulau namun bau kentut mereka pun tak terhidu. Kalau terserempak, mungkin semua jadi mendiang dan arwah kerana kami bukan tahu cara pertempuran di darat.

 

Antara Labuan, Sandakan dan Tawau, pelabuhan Sandakan yang paling digemari anak kapal. Bagaimana dengan KK?

 

Sejak peristiwa membabitkan KD Sri Terengganu dengan pemuda KK, kami dilarang singgah mengisi air dan minyak di sana. Maka itulah aku tak pernah sampai di bandar ini.

 

Di Sandakan, ada sebuah outlet mirip pub untuk krew berhibur. Disinilah sebahagian kecil anak kapal menghabiskan masa (dan duit) ‘shore leave’. Nak diceritakan apa yang terjadi malam itu, rasa berat menulis. Mungkin Salih ‘gila’, Mat ‘daoh’ dan Kadir ‘gajah’ masih ingat bagaimana gelagat seorang ‘sailor’ apabila gagal memikat satu-satunya ‘bunga’ yang ada di pub.

 

Di Tawau lain pula ceritanya. Ada orang tua yang mesra dengan panggilan ‘Wak’ datang ke kapal menjaja kepakaran membuat ‘shaft alignment’ dengan bayaran lima ringgit. Bukan setakat itu sahaja, dia juga menjual minyak lintah yang kononnya boleh menambah ukuran senjata tempur.

 

Masa meronda di perairan Tawau inilah kapal kami sekali lagi ditimpa musibah. Walaupun siang hari, kayu balak yang separuh tenggelam dan hanyut di laluan ronda tidak dapat dikesan. Kami menyedari kehadiran kayu balak ini setelah terlanggar dan kapal bergegar. Menurut POME, ‘starboard’ propeller bengkok.

 

Walaupun dalam keadaan ‘cripple’, kami masih diarah meronda pada siang hari dan berlabuh diwaktu malam sementara menunggu ketibaan kapal pengganti. Setelah seminggu, barulah kami dibenarkan belayar balik.

 

Dengan hanya menggunakan port enjin, lenguh jugalah tangan krew bertugas memegang ‘wheel’ dalam usaha mengimbangi arah kapal yang sentiasa menghala ke kanan. Untuk lurus ke depan, kemudi mesti berada pada kedudukan 5 atau 10 darjah ke kiri (port) bergantung pada kelajuan.  

 

Akhirnya sampai jugalah kami di limbungan Tanjung Rhu untuk menukar ‘propeller’.

 


kepercayaan orang Banjar

March 19th, 2010

 

Semasa datuk, nenek, ibu dan ibu saudara meninggalkan tanah Banjar hampir lapan dekad yang lalu, mereka membawa bersama petua, kepercayaan dan pantang larang yang dipusakai turun temurun. Ramai warga Banjar hari ini bukan saja tidak pernah mendengar pantang larang tapi sudah tidak lagi pandai ‘basurah’ (berbual) bahasa Banjar. Sebelum berkuburnya kepercayaan usang itu, izinkan aku berkongsi cerita.

 

Masa kecil, ada empat bahagian ayam yang nenek tegah cucunya makan.

 

Leher ayam…kalau dimakan, bila bersanding di atas pelamin, kepala jadi teleng. Ditegakkan macam mana pun ia akan mereng ke tepi.

 

Kepak ayam…nenek tidak membenarkan kami menyentuh kerana dia tidak mahu kami merantau jauh. 

 

Kaki Ayam…akan jadi bebal dan sukar mengingati langkah persilatan

 

Telur yang melekat di perut ayam ketika disembelih…akan terkena peluru sesat.

 

Setelah berumah tangga, barulah aku tahu rasa leher ayam. Namun, hingga hari ini, aku tak tahu apa rasanya telur ayam berwarna kuning yang belum berkulit keras. Begitu juga dengan ‘ceker’ (bahasa Jawa) kaki ayam.

 

Dulu-dulu perut sentiasa rasa kebulur. Apa saja boleh ditelan kerana tekak tidak memilih. Malah, belacan yang ibu bakar untuk dibuat sambal mesti kena kebas, kalau tidak sepenuhnya, sedikit pun jadi. Mungkin kerana ingin menakutkan, ibu memberi amaran “Handak rongong kaya Jaraei ni kaina” atau “Hendak rongak macam Jaraei nanti ni”

 

Jaraei nama seorang lelaki Banjar tulen. Serombong hidungnya sudah tidak ada dan percakapnnya pun sukar difaham. Kata ibu, ia berpunca dari tabiatnya yang suka makan belacan.

 

Zaman dulu, banyak penyakit berpunca dari benda yang dimasukkan ke dalam makanan seperti santau dan racun. Ibu berpesan kalau ada orang memberi makanan dan hati rasa waswas, jangan terus dimakan. Baca selawat tiga kali, sentuh dan geselkan hujung lidah ke langit-langit. Kalau tidak terasa geli, buang sahaja makanan itu. Ataupun kalau teringin sangat hendak memakan, langkah dulu sebelum dijamah.

 

Untuk mengenal hati budi kawan, perhatikan cara dia memakan ikan. Orang yang ikhlas dan tidak akan ‘makan’ kawan walau dalam keadaan apa sekalipun, dia tidak menterbalikan ikan yang sudah habis sebelah. Sebaliknya dia akan membuang tulang itu dahulu sebelum memakan. Kalau dia mengambil jalan mudah dengan menterbalikkan, lambat laun dia akan ‘makan’ kawan.

 

Begitu juga dengan cara orang mengunyah. Kalau berbunyi ‘cap cap cap’, dia tergulung dalam kelompok manusia yang suka membuli atau menghambakan orang lain.

 

Ketika sedang makan, jangan biarkan nasi habis di pinggan sebelum ditambah. Mahal rezeki.

 

Cawan penceduk beras dan ‘padaringan’ (bekas mengisi beras)…Jangan biarkan ’padaringan’ kontang sebelum di isi. Begitu juga dengan ceduknya. Jangan biarkan cawan penceduk tertelentang kosong. Isikan sedikit beras atau pun benamkan sebahagian muncung cawan ke dalam beras…murah rezeki.

 

Orang lelaki ditegah minum (kecuali terpaksa) ketika sedang makan kerana ia boleh melemahkan tenaga batin.

 

Kepercayaan dan insiden yang ku ceritakan di bawah ini berlaku ketika sekolah di darjah tiga.

 

Suatu petang, sedang aku bermain dengan kawan-kawan di padang sekolah, perut rasa memulas. Aku pun bergegas pulang ke rumah yang terletak lebih kurang lima ratus ela. Baru separuh jalan, keadaan sudah tidak terkawal. Apa lagi, aku pun londehkan seluar dan melepas betul-betul di tengah jalan. Selepas mengesat bontot dengan daun, (tak ada air) aku pun berpatah balik untuk meneruskan permainan.

 

Apabila hari lewat petang, kami pun menghala ke rumah masing-masing. Terperanjat kawan-kawan melihat najis manusia berlonggok di atas jalan (lorong sempit) yang hanya boleh dilalui basikal. Hamid, Samad dan Nasir sepakat ‘mengajar’ orang yang melakukan perbuatan itu. Panik juga dibuatnya. Hendak mengaku, rasa takut. Akhirnya aku pun tumpang semangkuk – mengutuk perbuatan sendiri

 

Samad dan Hamid (dua beradik) balik ke rumah mengambil cili, bawang dan mancis untuk dibakar bersama najis. Aku dan Nasir mencari ranting untuk dibuat bahan bakaran. Dalam pada itu, aku pun rasa takut bila Nasir berkata’ “Bontot orang yang berak akan rasa pedas malam ni, macam kena cili dan panas macam kena bakar”.

 

Aku balik ke rumah dengan penuh debaran menanti masa dan ketika bontot terasa pedas dan panas.

 

Hari ini, jalan di kampung itu sudah lebar dan berturap. Anak-anak pun sudah ingat benar tempat ayah mereka pernah ‘berak tengah jalan’.

 

Ia tak ia, ada peribahasa Melayu yang berbunyi “Siapa nak mengaku berak tengah jalan?”

 


nilai RM semakin kecil?

March 19th, 2010

 

Menurut laporan Stockholm International Peace Research Institute SIPRI, impot keseluruhan persenjataan Malaysia sejak lima tahun kebelakangan meningkat sebanyak 722 peratus dibanding lima tahun sebelumnya.

 

Menteri Pertahanan juga tidak menafikan.

 

Perlukah kita membelanjakan begitu banyak untuk pertahanan?

 

Pada masa yang sama, nisbah kenaikan pembelian senjata Singapura hanya 142 peratus manakala Indonesia 84 peratus. Tidak dinafikan, senjata lama perlu diganti tapi kenapa perlu berbelanja melebihi kemampuan?

 

Sudah 13 tahun Malaysia mengalami defisit belanjawan dan tahun ini merupakan yang tertinggi, suatu rekod baru, iaitu sebanyak RM51.1 billion, atau 7.4 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Hutang kerajaan pusat juga mencapai rekod kenaikan kepada 18.3 peratus atau RM362.5 billion atau 56.2 peratus dari KDNK.

 

Purata, setiap rakyat dibebani hutang RM13,426.

 

Sedang keadaan kewangan negara meruncing, kerajaan berusaha mengatasi dengan potongan pelbagai cara termasuk mengurangkan peruntukan pendidikan sebanyak 20 peratus, mengurangkan subsidi gula dan kini sedang merangka kaedah menaikkan harga petrol.

 

RM30 billion yang diperuntukan untuk pendidikan pada zahirnya kelihatan satu jumlah yang tinggi tapi hakikatnya ia hanya merupakan 15.67 peratus dari belanjawan keseluruhan. Singapaura memperuntukan satu perlima atau sekitar 20 peratus dari perbelanjaan negara. Maka itukah puncanya rakyatnya lebih maju dan berdaya saing?

 

Apa pun, kenapa perbelanjaan ketenteraan begitu tinggi?

 

Adakah Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina, empat negara jiran mengancam keselamatan negara? Atau senjata yang kita miliki sudah lapuk, sudah jauh ketinggalan dibanding negara lain, maka itu kita perlu membeli peralatan tanpa mengira bebanan yang perlu ditanggung?

 

Atau ada faktor lain yang menyebabkan kos pembelian senjata kita lebih tinggi?

 

Malaysia membelanjakan RM4.6 billion untuk membeli dua buah kapal selam dan menyediakan RM600 juta setahun untuk menyelenggara.

 

Aneh, kerana sebelum ini rakyat difahamkan kos penyelenggaraan hanya RM270 juta setahun, tapi kenapa tiba-tiba sahaja ia meningkat kepada RM600 juta?  Apabila ditanya, Menteri Pertahanan menegaskan bahawa jumlah itu adalah anggaran tertinggi (ceiling).

 

Anggaran tertinggi? Tapi kenapa begitu jauh berbeza dengan anggaran asal?

 

Kepada rakyat yang hidup semakin terhimpit, RM270 juta setahun untuk menyelenggara kapal selam baru yang masih dalam waranti pun terasa bebannya, inikan pula RM600 juta. Berapa agaknya kos penyelenggaraan apabila tamat tempoh waranti?

 

Kepada yang pernah mendengar pendedahan Ketua Audit Negara bagaimana harga dua buah komputer riba boleh mencapai angka RM80,000, sebatang ’screw driver’ yang berharga RM32 boleh meningkat kepada RM224, senggaraan Proton Perdana Executive Kerajaan Negeri boleh mencecah RM175,229.97 untuk empat tahun, maka apa yang hendak dihairankan kalau kerajaan memperuntukan RM11 billion untuk pertahanan dan RM600 juta untuk menyelenggara dua buah kapal selam.

 

Kalau difikirkan:

 

Dengan RM80,000, berapa buah komputer riba yang boleh dibeli oleh jabatan kerajaan di Singapura?

 

Dengan RM4.6 billion, berapa buah kapal selam yang boleh dibeli oleh RSN?

 

Nota kaki: Statistk belanjawan dan pertahanan dipetik dari artikel bertajuk “Military procurement is more important?”

 


menyusur denai ingatan XXXVII

March 18th, 2010

 

‘Hangover’ mabuk Laut Cina Selatan masih belum hilang dan kepala masih berat untuk menyusur denai ingatan - menyambung kisah perjalanan  dan pengalaman peribadi sebagai anggota tentera laut.

 

Maka itu dalam MDI kali ini, saya terjemahkan pengalaman seorang kawan yang beruntung terpilih membawa balik KD Rahmat dari UK. Walaupun dia pernah menceritakan dalam ruangan komen, tapi ianya dalam Bahasa Inggeris. Oleh itu, saya olah balik kisah pelayarannya dalam Bahasa Melayu.

 

XKD Rahmat bercerita:

 

Saya mula berkhidmat dengan RMN pada 28hb Mac 1965.

 

Sekitar pertengahan 1971, KD Rahmat sudah bersedia untuk ditauliahkan. Lebih kurang 25 orang ‘senior rates’ (PO dan CPO atau Sarjan dan Staf Sarjan) dan dua orang Leading Hand (Koperal) telah diterbangkan ke Scotland sebagai krew hadapan (advance crew) untuk persiapan istiadat pentauliahan dan pelayaran membawa pulang kapal termodern di rantau Asia Tenggara.

 

Kami ditempatkan di YMCA Glasgow. Esoknya, apabila melapor diri ke pejabat ‘site office’ kami dimaklumkan tentang kebakaran ’switchboard’ KD Rahmat. Berserabut – itulah keadaan kapal selepas kebakaran. Maka tertundalah rancangan pentauliahan dan pelayaran.

 

Setelah seminggu ‘bercuti’ di Scotland dan England, kami pulang ke KD Malaya. Dan saya pun menyambung kursus POEM yang tergendala.

 

Awal Julai 1971, sekali lagi saya terpaksa meninggalkan kursus kerana diarah pergi ke UK. ‘Switchboard’ yang terbakar sudah diganti dan kerja baik pulih KD Rahmat sudah selesai.  

 

31hb Ogos 1971, upacara pentauliahan pun sempurna dijalankan dengan dihadiri, antara lain, Ketua Turus Tentera laut, Commodore Thanabalasingham.

 

Walaupun sudah ditauliahkan, KD Rahamt tidak terus pulang ke tanah air kerana masih perlu menjalani pelbagai ujian di laut. (XKD Rahmat mungkin terlupa menyelitkan cerita bagaimana seronoknya dicumbu dan dibelai gelombang ganas North Sea).

 

Semasa latihan inilah, peluru berpandu permukaan ke udara SEACAT diuji. Difahamkan, RMN adalah tentera laut asing kedua berjaya menembak jatuh sasaran udara yang ditarik kapal terbang. LRSM Raja Sham yang mengendali ‘seacat aimer’ mengabadikan kenangan dengan mengambil gambar bersama kipas (propeller) dan krew yang terlibat. Kipas kapal terbang yang musnah itu dihadiahkan (kena bayar) kepada RMN sebagai kenangan. (Itulah kejayaan pertama dan terakhir KD Rahmat).

 

14 bulan keluar masuk limbungan, (mesti banyak masalah) sebelum KD Rahmat bersedia untuk belayar balik ke Malaysia. (mengikut tradisi, kapal selalunya belayar menerusi terusan Suez, Teluk Benggala atau dikenali juga sebagai Bay of Biscay, dan Lautan Hindi).

 

Isnin 23 Oktober 1972, KD Rahamat memulakan pelayaran meredah Lautan Atlantik, Benua Afrika dan Tanjung Harapan (Cape of Good Hope).

 

Persinggahan pertama ialah Kepulauan Canary (La Palmas) di luar pantai Morocco (Maghribi) yang pada masa itu di bawah pentadbiran Spain (Sepanyol). Ramai krew menyaksikan ‘bull fight’ dan ada segelintir mengambil kesempatan bertarung dengan ‘Babito’. (Nak tunjuk siapa terror?)

 

Seterusnya kami singgah di Free Town – Sierra Leone, Land of the Diamonds.

 

Lagos, Nigeria destinasi persinggahan ketiga. Suatu malam, WE Mess mengadakan jamuan ‘party’ di Heli Deck (Geladak Helikopter). Ramai ‘dogol’ Nigeria datang  sebagai tetamu. (Dogol Nigeria tu ada class ke atau barang reject shop?)

 

Selepas Lagos, kapal singgah beberapa hari di Angola (Tanah Jajahan Portugis) sebelum singgah mengisi air dan minyak di Mozambique. (bertuah siapa jadi tengki)

 

Mahe yang terletak di Kepulauan Seychelles merupakan persinggahan yang mempunyai insiden tersendiri. Di sinilah ‘bearing’ motor – mungkin steering – rosak. Walaupun pada mulanya alat ganti tidak detemui, namun, PO Ismail ‘Jepun’ dan Mat ‘Tengkorak’ berjaya mengesan tempat ‘persembunyian’ alat ganti yang sangat diperlukan. (Main sorok-sorok pula spare part tu ye). Akhirnya kerosakan dapat diatasi.

 

Semasa bertambat di Jeti Mahe, sebuah bot nelayan tempatan mengalami kebakaran. Disinilah krew KD Rahmat menunjukkan kepakaran memadam api. (Bukan meyemarakkan api macam krew KD Sri Inderapura). Sedang sibuk berusaha mengawal kebakaran, bertempiaran krew beragama Islam meninggalkan bot nelayan kerana babi-babi di dalam bot terlepas. Maka tinggallah krew bukan Islam menyambung tugas. Malam itu, kami dijamu dengan khinzir panggang. (Jangan-jangan khinzir yang mati terbakar dibuat hidangan).

 

Kejayaan KD Rahmat memadam kebakaran mendapat liputan di akhbar tempatan.

 

Selepas Mahe, kami terus belayar dan singgah beberapa hari di Ceylon. (Sekarang dikenali sebagai Sri Lanka).

 

Selasa, 19hb Disember 1972, setelah hampir dua bulan, maka sampailah kami di Pelabuhan Kelang.

 

Dalam majlis menyambut ketibaan KD Rahmat, Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ketika itu memeriksa kawalan hormat yang dipimpin oleh Lt Cdr Mohd Zain (temporary?) Tidak sepatah pun yang diucapkan PM kepada anak-anak kapal.

 

Mungkin dia frust kerana negara tercinta telah memebeli dan membawa balik selonggok besi. (Besi buruk).

 

Terima kasih XKDR kerana sudi berkongsi pengalaman dan pandangan.

 

Nota kaki: yang bertanda biru adalah komen peribadi admin.

 


Cerita Arab, Syed dan Sheikh

March 17th, 2010

Akad nikah Salleh Ali Mohdhar Ali bin Alwan AlBosi AlYafai tahun 1996 di Aden - Pinggang orang di tengah tersisip senjata traditional, di dinding tersandar Rifle AK47

April 1946, seorang lelaki Arab sedang dalam perjalanan ke Singapura dengan tujuan membeli kain untuk diagih kepada rakan sebangsa yang berniaga dan menjaja ke pelosok kampung sekitar.

 

Perjalanannya terhenti di Johor Baru kerana dia mengalami muntah darah yang teruk. Menyedari dia tidak mungkin bertahan lama, dia berpatah balik dan singgah di rumah rakan karibnya di Air Hitam. Dua hari selepas itu dia meninggal dunia.

 

Mengikut cerita, dia kena santau yang dikirim melalui angin.

 

Beberapa bulan sebelum itu, dia pernah menegur seorang lelaki Banjar di kampung kerana bukan saja tidak berpuasa tapi minum secara terbuka.

 

Bila keluar rumah, lelaki Banjar zaman itu tidak lekang dengan pisau belati di pinggang dan parang pendek tersarung di sisi. Majoriti memiliki ego yang tinggi. Pantang tersinggung, bermandi darahlah akhirnya.

 

Merasakn egonya tercalar kerana ditegur oleh orang asing, dia bingkas bangun sambil mengeluarkan pisau belati yang tersisip di pinggang lalu meluru untuk menikam mangsa. Sebaik tangan dihayun, lelaki yang berwajah bengis itu terus tersungkur jatuh bergulung macam tenggiling dan mulutnya berbuih.

 

Orang yang menyaksikan tergamam, tidak tahu apa puncanya dan tidak juga tahu apa yang hendak dilakukan. Melihat keadaan lelaki itu mengerang kesakitan, orang Arab tadi menghampiri dan menyentuhnya. Spontan, lelaki Banjar itu berhenti mengerang. Badannya sudah tidak lagi merengkuk.

 

Lelaki Arab pun beredar dan balik ke rumah. Difahamkan, dia memiliki apa yang disebut ilmu ‘menarik urat seribu’.

 

Mungkinkah dendam lelaki Banjar yang menyebabkan dia terkena santau?

 

Fast forward 2001. Ketika menghadiri majlis perkahwinan anak saudara di kampung, aku dihampiri seorang lelaki berumur lingkungan tujuh puluhan.

 

“Bapa ikam pawanian” Haji Taha membuka dialog. Dalam bahasa Melayu “Bapa kau berani”.

 

Haji Taha hampir dipenggal kepala oleh askar Jepun. Sedang dia bersedia untuk menerima hakikat perceraian kepala dengan badan, muncul bapa angkatnya menghulur kepala sebagai pengganti. Mungkin kerana terperanjat atau mungkin juga kagum dengan keberanian luar biasa, askar yang sudah bersedia dengan pedang terhunus di tangan membatalkan hasrat. Maka terselamatlah Haji Taha untuk menceritakan insiden itu 57 tahun selepas kejadian.

 

Masa Haji Taha khusyuk bercerita, aku terfikir apa yang mungkin terjadi kalau askar Jepun itu menghayun pedang. Mungkinkah dia juga dapat merasa ‘nikmat’ seperti mana yang ’dinikmati’ lelaki Banjar yang cuba menikamnya dua tahun kemudian?

 

Lelaki Arab itu bernama Abdullah Ali bin Alwan AlBosi AlYafai. AlBosi nama ‘clan’ manakala AlYafai ialah sebuah daerah di Selatan Yemen.

 

Abdullah, Salleh, Qasim, Ahmad dan Mohammad merupakan lima rakan karib yang berhijrah dari Yemen sebelum penaklukan Jepun. Antara mereka berlima, tiga orang naik taraf dengan menambah gelaran Syed di pangkal nama. Bagaimana?

 

Zaman dulu, kad pengenalan belum wujud. Oleh kerana ketaksuban orang Melayu, mereka memanggil setiap warga Arab dengan Syed atau Sheikh. Mungkin kerana terbawa-bawa dengan gelaran itu, tiga orang memilih untuk mengekalkan ‘gelaran’ apabila sistem kad pengenalan dikuatkuasakan. Maka jadilah mereka dan keturunan seterusnya ‘Syed Klon’.

 

Ketaksuban orang Melayu tidak berakhir di situ. Hari ini, aku juga dipanggil ‘Syed’ oleh jiran dan kawan-kawan sedangkan nama yang tertera dalam kad pengenalan tiada gelaran sedemikian. Aku pun serba salah. Tak disahut panggilan, nanti kata sombong. Mau tak mau, kena terima hakikat bahawa begitulah taksubnya orang Melayu dengan gelaran.

 

Difikir-fikir, kalau JPN wujud ratusan tahun dahulu, berapa ramai agaknya orang yang mempunyai wajah mirip Bala, Ah Chong dan Bung Karno yang bergelar Syed dan Sheikh? Mungkin boleh dihitung dengan jari.