Menyusur Denai Ingatan - prolog
Sunday, May 24th, 2009Ingin aku menysuri denai ingatan
Mengutip jerami impian di tasik kenangan
Menyingkap layar lara kehidupan
Menukil jejak sebuah perjalanan
Setiap kali menjelang tarikh 25hb Mei, hatiku tersentuh. Tahun ini merupakan kali ke 44 ia bertandang, mengusik jiwa membuai rasa. Ada kalanya ia lebih bermakna dari tarikh ulang tahun kelahiran dan perkahwinan.
Hari itu, kira-kira jam 11 pagi, aku termenung sejenak. Di sebuah dewan makan yang luas, kami diberi taklimat terakhir dan sedikit masa untuk berfikir. Keputusan menerima atau menolak akan menentukan corak hidup tahun-tahun mendatang.
Walaupun pandangan terbatas dalam ruang lingkup tertutup, namun ia tidak dapat menghalang fikiran mengimbau ke sebuah daerah terpencil yang baru dua hari ditinggalkan.
Ahad 23hb Mei. Seharian aku resah. Gelisah. Lagu ’kucupan azimat’ dendangan Ahmad Jais berkumandang melalui gelombang pendek radio transistor Philips.
“…terimalah ucapan berpisah…selamat tinggal kasihku…kanda kan pergi ke medan berjuang…kerana bangsa dan nusa…”
“Selamat tinggal kasihku…”. Aku tak punya kekasih yang akan meratapi pemergian. Sebagai anak desa, hidup dibatasi adat dan tatasusila masyarakat setempat. Parit, sungai dan denai adalah cintaku sejak kecil lagi.
Tapi kenapa resah kenapa gelisah?
Sudah lebih dua minggu waran tiket kereta api ke Johor Baru diterima namun aku masih terpinga-pinga. Air liur hampir kering memujuk ibu memohon restu. Surat tawaran meminta tanda tangan waris atau ketua kampung masih belum terusik. Atas arahan ibu yang juga ibu saudaranya, ketua kampung enggan membantu.
Detiknya semakin hampir, fikiran kian buntu.
Lewat tengahari, aku bertandang ke rumah kawan karib di sebelah masjid, meluahkan kegelisahan yang hampir setengah purnama menguji kewarasan. Mungkin kerana teman ini telah lali dengan tusukan onak dan duri, tanpa perlu berfikir panjang dia memberi pendapat, merungkai kekusutan memecah kebuntuan. Jalan penyelesaian begitu mudah.
Apakah mungkin mereka yang memproses borang tawaran dapat mengenal tandatangan ibuku? Ataupun mereka begitu teliti dan akan datang ke rumah untuk memastikan tandatangan itu benar asli. Yang diperlukan cuma ruang itu diisi. Kenapa selama dua minggu aku tak pernah terfikir penyelesaian semudah ini? Tandatangani sendiri. Dungu atau lurus bendul?
Sekembali ke rumah aku termangu di jendela, meniti sepi daerah zeni, meraba mencari ke dalam diri. Dapatkah nanti aku mengerti bicara buih, menghayati bisikan ombak, menangkis terjahan badai? Dapatkah buih, ombak dan badai dibuat teman, teman setia dikala sepi, sesetia parit, sungai dan denai di desa permai? Atau apakah mungkin nyanyian mendayu camar di laut akan sesyahdu gurindam sayu sang pungguk diulit rindu? Atau mungkinkah desau ombak dan deru bayu segemersik desiran daun diangin lalu, semerdu kicau murai, seindah madah merbah, menyulam kalimah penawar gundah? Mungkinkah?
Lewat petang itu, ketika ‘makan malam’ bersama ibu, lidahku kelu membisu. Tak terdaya menyusun kata memohon restu buat kali terakhir atau melahirkan tekad yang sudah padu kerana jawapan ibu cuma satu - tidak setuju. Dalam lapar aku terasa kenyang. Nasi yang melewati kerongkong seakan terhenti.
Sedang ibu masih menikmati hidangan di dapur, aku menyelinap keluar rumah menjinjing beg kertas berisi sepasang pakaian, kain, sejadah dan dokumen diri. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada teman setiaku selama ini - sebuah basikal Raleigh tiga gear - yang sekian lama menjadi teman meredah jalan, aku membetis hampir sebatu menghala ke jalan raya. Dengan bas terakhir yang melewati kampung sekitar jam 7, aku melangkah pergi membawa bersama kenangan pahit manis kehidupan seorang remaja desa. Destinasi pertama…rumah saudara tua di pinggir kota untuk tumpang bermalam sementara menunggu dinihari.
Dikedinginan subuh 24hb Mei, kereta api malam dari utara meluncur laju di landasan membawa bersama ratusan anak muda dengan tujuan dan harapan serupa.
Sebaik sampai di stesen KTM Johor Baru, kami disuruh menaiki trak 3 tan yang sedia menunggu.
Diwaktu itu, perjalanan dari Johor Baru ke Singapura cukup lancar. Belum pun jam 8, kami sudah tiba di destinasi akhir.
Trak berhenti di lereng bukit. Buat pertama kali, kakiku berpijak di bumi asing. Di belakang, tersergam bangunan panjang tiga tingkat dan di bawah sana terbentang padang luas tanpa rumput. Bumi tempat aku berpijak terpisah dengan tanah kelahiran, dipisahkan oleh keheningan air Selat Tebrau.
Apakah ini yang aku inginkan? Dapatkah nanti aku menyesuaikan diri? Adakah kawan-kawan baru yang ku temui setulus mereka yang ku tinggalkan? Ahhh, semua masih kabur.
Aku tersentak dari lamunan apabila nama dipanggil. Tibalah pula giliran untuk mengatakan ia atau tidak, menerima atau menolak. Tanpa banyak bicara, aku mengizinkan semua sepuluh jari dilumur dakwat sebelum jari-jari itu disentuhkan keatas borang, memeterai perjanjian.
Selesai upacara dan angkat sumpah, aku menarik nafas lega, bersyukur atas restu Ilahi. Tanpa izin dan iradatNya, mana mungkin aku mempunyai kudrat untuk berdiri di sini - di ‘main galley’,
ROYAL MALAYSIAN NAVAL BASE
KD MALAYA
WOODLANDS
SINGAPORE 27.
(Selasa, 25hb Mei !965)