“Handak karindangan saurangan nih” atau “Nak merindu sendirian ni”, kata ibu ketika melihat aku mengasah pisau tanpa menggunakan air.
Itu adalah satu dari berpuluh atau mungkin beratus kepercayaan orang Banjar zaman dulu. Pisau dan batu asah mesti dibasahkan sebelum dan semasa mengasah. Kenapa?
Air berfungsi sebagai pelincir dan penyejuk. Untuk mengelak besi menjadi panas, ia perlu sentiasa dalam keadaan basah, tapi oleh kerana kurang kefahaman teknikal, orang tua zaman dulu memberi alasan yang boleh diterima anak-anak. Siapa sanggup angau sorang-sorang? Aku tak sanggup merindu sedang orang dirindu tak ambil tahu. Mau tak mau, terpaksa akur dengan nasihat ibu.
“Pangalumpanan kaina nih” atau “Pelupa nanti ni” ibu menegur bila melihat aku memadam pelita dengan menghembus sekuat hati. Dia menunjukkan cara memadam yang dibawa dari tanah Banjar. “Mana boleh, melecurlah tangan” hatiku membentak melihat ibu mengepit pangkal pelita yang menyala dengan telunjuk dan ibu jari.
“Amun handak pandapatan mangaji, tungap baikungan kunang-kunang” atau “Kalau ingin pandai mengaji, telan hidup-hidup kelip-kelip” dia memberi petua.
Ketika kawan-kawan asyik bermain sambil menunggu jamuan dihidang pada malam kenduri arwah nenek juruh (lelaki), mataku melingas mencari kungang-kunang yang terbang rendah. Di hadapan rumah nenek juruh ada beberapa batang pohon enau dan rumbia tempat kegemaran makhluk ini bersarang.
Ditakdirkan, ada seekor yang terbang rendah sedang cuba hinggap di pohon senduduk. Tanpa membuang masa dan sebelum ia sempat bertenggek, mulutku sudah ternganga bersedia menelan hidup-hidup.
Balik ke rumah malam itu, sebelum memejam mata, aku terkebil-kebil memikirkan kelip-kelip yang menerjah masuk ke dalam perut. Sempatkah cahayanya menerangi hati sebelum ia menemui ajal?
Di belakang rumah kami ada sebatang anak sungai. Boleh dikatakan berselang hari ada saja najis memerang bertaburan di tebing. Suatu hari, ibu menceritakan kenapa haiwan ini menyelerakkan najisnya sendiri.
“Barang-barang bisa mancari iwak dalam banyu inya ada batu guliga pang” ibu menceritakan bagaimana memerang pandai mencari ikan di air kerana dalam perutnya ada batu geliga. Sebab itulah setiap kali berak, ia akan mencari dan menelan balik batu itu. Andai hilang, akan kebulurlah memerang itu kerana sudah tidak boleh lagi mencari makan.
Ibu bercerita lagi…kalau hendak tahan lama menyelam, dapatkan batu geliga itu. Munasabah ke?
Aku pernah mendengar orang zaman dulu boleh menyelam lama tanpa bantuan pernafasan. Kalau mengikut pendapat ahli sains, mungkin orang ini memiliki paru-paru besar atau ingsang yang boleh memisahkan oksigen dari air.
Kalau begitu besar hikmat batu geliga yang terdapat dalam perut memerang, bagaimana cara mendapatkannya?
Tunggu di tempat memerang selalu naik membuang najis, dan sebelum ia sempat menelan balik batu geliga yang keluar bersama najis, sergah atau kalau tak mahu juga pergi, tamatkan saja riwayatnya.
Beberapa hari yang lalu, apabila aku menceritakan kepada isteri, rupanya dia juga pernah mendengar cerita sama dari masyarakat jawa di kampungnya. Yang berbeza hanya dari segi nama haiwan ini. Memerang dalam Bahasa Melayu, Lingsang Bahasa Jawa dan Barang-Barang Bahasa Banjar.
Itu kisah memerang, yang ini tentang kucing pula.
Pada suatu hari, sedang aku memasukkan kucing kesayangan ke dalam buai, ibu menjerit, “Jangan dibuat kaayunan, kaina batarabangan hatap”. Dia menegah kerana perbuatan membuai kucing boleh mengundang ribut.
Dilain ketika, aku hairan kenapa setiap ekor kucing yang dibawa balik ke rumah sentiasa hilang menjelang pagi. Jauh mana pun dengan rumah asal, ia masih boleh mencari jalan pulang.
Ibu memberi petua, “Tatak sisingutnya, imbah nitu kulilingakan di tihang panangahan” atau “Kerat misainya, lepas itu kelilingkan di tiang tengah.” Petua ini aku percaya sepenuhnya kerana selepas mengamalkan, setiap ekor kucing yang ku bawa balik tidak hilang lagi.
Selain kucing, kicau murai juga boleh dijadikan petunjuk. Kalau murai riuh berkicau disiang hari, dikatakan ada saudara atau teman karib akan datang dari jauh. Jika berkicau di waktu senja, itu petanda ada sesuatu yang kurang menyenangkan.
Teringat kata-kata nenek bila mendengar murai berkicau waktu senja, “Amun habar baik bawa baparak, amun tida bawa bajauh”. Kalau beritanya baik, bawalah dekat, kalau tidak bawalah jauh.
Kepercayaan seterusnya berkaitan kejadian alam semula jadi.
Ada seorang pemuda banjar di kampung kami bernama Sarani. Orangnya segak tapi wajahnya ada dua warna. Sebelah normal dan sebelah lagi berwarna merah gelap. Mengikut ceritanya, bapa Sarani terlanggar pantang.
Semasa isteri mengandung, bakal ibu atau pun bapa ditegah melihat gerhana bulan atau matahari.
Munasabah ke? Apa kena mengena gerhana dengan kandungan?
Awal tahun 1989, ketika bayi dalam kandungan isteri berusia enam bulan, berlaku gerhana sekitar jam 10 malam. Hendak dijadikan cerita, ketika gerhana berada di penghujung, aku memandang keluar jendela dan terlihat sisa-sisa gerhana. Kiranya perbuatan itu tidak meninggalkan kesan kerana selama ini aku masih meragui punca yang menyebabkan pemuda di kampung kelahiranku memiliki dua warna di wajahnya.
29 April 1989, setelah anak ini dilahirkan, dia membawa tanda kelahiran sebesar tapak tangan bayi di sebelah belakang. Kata orang, kalau aku menjengah keluar waktu gerhana berada di puncak, lagi besar tanda di badan bayi dalam kandungan. Entahlah, hingga hari ini aku masih keliru sama ada tanda itu suatu kebetulan atau kerana kesilapanku.
“Itulah bang, nasib baik di belakang, kalau di muka?” isteriku mengomel.