Archive for November, 2010
Kluang Revisited - Little India
Thursday, November 4th, 2010Kalau di Kuala Lumpur ada Little India, Kluang juga tidak terkecuali.
Selepas melewati pagar Kereta Api menghala ke Bandar Kluang, membelok ke kiri…Jalan Stesen. Dan di sinilah letaknya Little India Kluang.
Petang Deepavali, jalan ini selalunya sibuk dengan orang India membuat ‘last minute shopping’. Salah satu yang menjadi kemestian ialah daging kambing. Dulu, sekitar Jalan Stesen ini banyak terdapat tompok-tompok merah kesan semburan pemakan sirih. Kedai jual sirih pun ada. Rasanya, budaya dan kedai itu sudah pupus ditelan zaman.
Di bawah ini adalah iklan-iklan sebahagian dari kedai-kedai yang terdapat di Jalan Stesen (Little India) sekitar hujung 50an dan awal 60an.
Kuckreja…kedai menjual kasut berjenama ala P Lal Store di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Rasanya aku tak pernah singgah kerana kedai ini tak jual kasut jenama Fong Keong ($1.20), atau Bata Badminton Master ($3.90).
Pernah juga aku singgah di kedai ini. Yang suspennya bila bergunting di kedai India ialah masa tukang gunting buat ritual penutup…tepuk-tepuk dahi dan tengkuk dengan sejenis lotion sebelum buat alignment leher/kepala.
Atas galakan Mr Nair, guru Bahasa Inggeris, aku membeli Pocket Oxford Dictionary di kedai ini. Kamus yang ku beli pada tahun 1963 menjadi sahabat paling setia, mengikut ke mana saja aku pergi…KD Malaya, Kapal, KD Sri Tawau, KD Sri Rejang…
Sebuah lagi kedai yang tak pernah aku singgah. Kalau lalu pun setakat jeling-jeling saja.
Tak pasti bangsa apa pemilik premis perniagaan ini tapi pekerjanya keturunan India. Banyak sungguh jenama basikal…Raleigh, Rudge, Robin Hood, Hercules, New Hudson.
Kedai runcit India Muslim ini terletak tidak jauh dengan stesen kereta api. Sederet dengan kedai ini ada sebuah kedai menjual bahan dan peralatan menginang.
Pelik…bila mengimbau kenangan lalu, aku dapat bayangkan keadaan masa itu - orang India kedai sirih berpakaian ala Mahatma Ghandi duduk atas bangku panjang di kaki lima, sekejap-sekejap ‘crit’ meludahkan air sirih ke longkang dengan dua jari ala ‘V’ diletak ke bibir.
Walaupun hanya ‘book stall’, tapi pemilik gerai ini tidak keberatan menderma sambil mengiklankan perniagaan akhbar, buku dan komik. Sekali sekala aku ikut Jefri merayap ke ’stall’ ini untuk memebelek komik ‘Flash Gordon’.
Rahsia disebalik warna
Thursday, November 4th, 2010
Bagaimana tepung gandum yang berwarna kekuningan dilunturkan hingga putih melepak?
Pernahkah mendengar nama BENZOYL PEROXIDE (BP)? Itulah yang digunakan dan itulah yang dimakan setiap kali kita mengambil makanan berasaskan tepung.
Untuk memudahkan cerita, setelah disunting dan diringkaskan, aku copy & paste sebahagian kandungan emel yang baru diterima.
Encik XYZ menceritakan…“Bahan kimia BP ini adalah merbahaya dan boleh menyebabkan berbagai penyakit.”
Beliau menceritakan tentang sebuah lori yang sarat dengan tepung gandum seberat 20 tan untuk dieksport ke Singapura telah dilarang masuk kerana mengandungi bahan kimia BP.
Bagusnya Singapura - mereka mengharamkan jualan tepung gandum yang mengandungi bahan kimia BP kerana hendak menjaga kesihatan rakyatnya tetapi kenapa Malaysia terus menzalimi rakyat dengan membenarkan jualan tepung yang mengandungi kimia BP? Tidak adakah kilang yang boleh menghasilkan tepung tanpa bahan merbahaya ini?
Kenapa ia merbahaya?
Petikan dari sebuah laman WEB - Benzoyl Peroxide is a highly potent chemical often used in low concentrations as an acne treatment. Benzoyl Peroxide basically works as a peeling agent, stripping dead skin cells and killing bacteria within pores. Pure benzoyl peroxide is highly flammable, explosive, toxic, and is suspected of being a possible tumor promoter. Although Benzoyl Peroxide is generally considered safe at low concentrations, since it breaks down in contact with skin, it is known for causing nasty side effects such as hives, swelling of the face, itching, and dry and peeling skin. It is also a powerful bleaching agent and will cause discoloration when it comes in contact with clothing and hair.
Dari laman WEB yang lain pula - Classified as: TOXIC, FLAMMABLE and EXPLOSIVE Toxicology Possible tumor promoter. May act as a mutagen. Toxic by inhalation. May be harmful if swallowed and in contact with skin. Eye, skin and respiratory irritant. Typical TLV 5 mg/m3.
Satu lagi laman WEB - Benzoyl peroxide presents a number of hazards. Firstly, it is potentially explosive when mixed with organic material. Friction or grinding may also be sufficient to make it explode. The compound is very flammable. Benzoyl peroxide is toxic if you breathe it in, and may be harmful if you swallow it or get it on the skin. In addition, benzoyl peroxide may act as a tumor promoter.
Keterangan dari laman-laman web di atas menjelaskan bahawa Benzoyl Peroxide adalah :
* Bahan toksik
* Bahan penggalak tumor
* Boleh menyebabkan alahan pada kulit
* Bahan mutagen iaitu bahan yang boleh menyebabkan mutasi pada sel badan.
* Bahan peluntur kuat yang mampu melunturkan iaitu menukarkan ke warna putih pakaian dan juga rambut yang berwarna.
Itulah sebabnya BP digunakan untuk menukarkan warna tepung gandum kepada warna putih kerana BP adalah satu bahan peluntur yang amat kuat hinggakan rambut hitam boleh bertukar putih bila disentuhkan BP ini. Proses pemutihan tepung dilakukan dengan mencampurkan tepung gandum dengan bahan kimia ini. Dalam tempoh yang singkat, iaitu tidak sampai 1 jam, semua tepung gandum ini akan bertukar menjadi putih. Selain menukar (meluntur) kepada warna putih, BP juga bertindak balas dengan tepung gandum dengan menukarkan protin gluten yang terdapat dalam tepung. Ia juga mengakibatkan sebahagian nutrisi di dalam tepung merosot. Itulah sebabnya serangga kurang menggemari tepung putih berbanding tepung gandum yang asal.
Persoalannya…kenapa Benzoyl Peroxide terus berada di dalam tepung putih yang dipasarkan sedangkan pihak berwajib arif tentang kandungan bahan toksik yang boleh mendatangkan kesan sampingan?
Isi emel seterusnya…”Saya sebagai seorang yang pernah mengalami “acute gout” sudah masak benar dengan kesan negatif tepung putih ini ke atas pesakit gout. Kepada penghidap penyakit gout, sila buat eksperimen ini.
Sebagai permulaan, kawallah pemakanan sehingga gout anda berkurangan dan hampir tidak ada. Setelah itu, makanlah makanan yang dibuat dari tepung putih seperti mee kuning atau roti canai dalam kuantiti yang banyak dan tunggulah kesannya.
Insya-Allah dalam tempuh 24 jam, pesakit gout akan mengalami simptom gout yang serius. Itulah kesan dan akibat dari memakan tepung putih yang mengandungi bahan kimia Benzoyl Peroxide.
Sebagai eksperimen kawalan (control experiment), lakukan pula eksperimen yang sama seperti di atas tetapi menggunakan spageti atau makaroni atau capati. Kesemua makanan ini berasal dari gandum juga namun tepung ini tidak dicampurkan dengan Benzoyl Peroxide. Insya-Allah eksperimen ini tidak akan menyebabkan symptom gout.
Kedua-dua eksperimen ini menunjukkan dengan jelas bahawa bukan gandum yang membahayakan pesakit gout tapi kandungan Benzoyl Peroxide di dalam tepung. Mee kuning pula, selain BP, kandungan Asid Borik sebagai pengawet menambah lagi derita penghidap gout.
Kepada penghidap penyakit gout, diabetes dan arthritis, elakkan makanan yang mengandungi tepung gandum putih (yang telah dilunturkan oleh BP) seperti mee kuning, roti canai, roti putih serta kuih muih yang diperbuat dari bahan ini.
Percayalah, kesan negatif dari BP tidak ketara dalam tempoh singkat. Namun setelah mengambil produk berasaskan tepung putih untuk tempoh yang panjang, lambat laun kesannya akan terasa jua.
Tidakkah mencegah lebih baik dari merawat?”
History Lesson - 4
Wednesday, November 3rd, 2010“Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain”. Ada kalanya kenangan itu datang bertandang tanpa diundang hendaknya bila terlihat gambar-gambar di mana kita pernah menjadi sebahagian daripadanya.
Bilik darjah di belakang gambar ini umpamanya - Jefri (ME/MT), Chandran (RO), Mohideen (ME), Mahyudin (Writer) antara ‘classmate’ yang pernah sama-sama berkhidmat dalam RMN dan pernah dibimbing oleh Mr Tan Cheng Hai, ‘Form Teacher’ tingkatan 3. Kerana kenakalannya, Mr Tan melantik Mohideen sebagai ‘Class Monitor’. Osman - adik kepada CO ‘batallion’ RAMD di Kem Tentera Kluang berpangkat ‘Major’ - merupakan rakan karib di mana kami selalu mengulangkaji pelajaran, soal menyoal pengetahuan am dan sejarah.
Di atas gelanggang bola jaring inilah diadakan ‘weekly school assembly’ di mana ‘headmaster’ Mr Nair / Mr Carthigesu / Mr Thor Seong Aun menyampaikan amanat setiap pagi Ahad. Pernah kami saksikan seorang kawan dirotan (public caning) oleh MR A. Sellathuray di kaki lima semasa perhimpunan kerana terlibat dalam kumpulan liar.
Sebelah kiri - ‘assembly hall’ digunakan juga sebagai gelanggang badminton dan sepak raga jaring (nama sepak takraw belum wujud).
Sebelah kanan - tandas untuk pelajar.
Tingkat atas menghadap gelanggang bola jaring - bilik darjah tingkatan 4 (Sains dan Sastera).
Tingkat atas sebelah kiri ‘assembly hall’ - tempat rehat guru dan perpustakaan. ‘Di bawah Lembayung Senja’ merupakan novel pertama yang aku pinjam di ikuti dengan ‘Mekar dan Segar’, sebuah buku yang memuatkan cerpen karya Angkatan Sasterawan ‘50, antaranya Usman Awang, Keris Mas, Malungun, Ajikek dll.
Selain ‘Detention Class’, ‘Woodwork’ antara subjek yang diajar selepas waktu sekolah oleh MR Chua Teng Siah. Bila ada kelas sebelah petang, maka terpaksa jugalah aku keluarkan duit belanja 10 sen untuk ‘lunch’ mengisi perut dengan mihun goreng di ‘tuck shop’ dan mimum air paip.
Padang sekolah era itu amat cantik dengan rumput hijau yang sentiasa segar. Di tebing padang inilah tempat murid menonton perlawanan bola sepak atau hoki atau sukan tahunan.
Pokok di tepi padang banyak berjasa kepada pasukan ‘tug-of-war’. Tali diikat di pangkal pokok dan kami di arah menarik mengikut rentak, “Heave, heave, heave” atau “Hold”.
Waktu rehat atau ‘PT’ (Physical Training), kami selalu bermain bola sepak antara tingkatan. Suatu hari, kaki ku terseliuh. Bila aku cerita dengan anak kemungkinan tulang metatarsal patah, anak gelak terbahak-bahak. Kaki berdenyut macam dicucuk, bengkak macam bisul. Perjalanan dari sekolah ke stesen bas tengahari itu merupakan perjalanan terpanjang pernah aku alami. Kaki tak boleh dipijak ke tanah kerana teramat sakit. Dengan sebelah kaki aku berjalan (melompat) dan kekadang mencangkung sambil menghulur kaki yang sakit ke depan dan bertuaskan tangan, aku menggerakkan badan. Setelah lebih satu jam melompat dan merangkak, akhirnya sampai juga ke stesen bas.
Balik ke rumah bukannya dapat simpati tapi kena hamun, “Apus muha” atau ”Padan muka”. Itulah ubat yang ku terima bila merengek tak dapat tidur kerana kaki berdenyut. Selepas dua hari tak sekolah, datang seorang perempuan Banjar dari Kahang estet berkunjung ke rumah. Sambil membebel pada ibu kerana membiarkan aku kesakitan, dia meminta minyak kelapa lalu mengurut. Macam nak tercabut nyawa menahan sakit ketika dia membetulkan urat-urat yang terseliuh. Setelah dibalut dengan kunyit panas, malam itu aku tidur nyenyak dan bersekolah esok hari.
Jersey ala pasukan Newcastle…kenapa aku upload gambar ini? Semata-mata kerana terkenang betapa aku selalu merenung sekeping potret dengan corak jersey yang sama yang tergantung di dinding ‘assembly hall’ - gambar pelajar senior yang pernah menjulang nama Government English School Kluang apabila menjuarai pertandingan bola sepak antara sekolah se Malaya pada tahun 1957 (atau 1956?).
Anak saudara yang pernah belajar di sekolah sama tak tahu tentang fakta itu. Yang dia tahu, dua buah padang - sebuah untuk sekolah menengah dan sebuah lagi untuk sekolah rendah - sudah tinggal sejarah.
Bila ku ajukan soalan “Di mana tempat murid mengadakan aktiviti jasmani?”, jawapannya kosong.
Makanya, apa yang dihairankan kalau ‘rangking’ pasukan bola sepak negara berlegar dalam lingkungan 150++?











