cerita di kampung Banjar - 10

 

Apa perbezaan  antara serangan jantung dengan serangan ‘peluru berpandu’ atau tuju-tuju?

 

Episod 9 cerita di kampung Banjar mengkisahkan derita roh seorang nenek kerana kesalahan yang dilakukan semasa di negeri Banjar. Kali ini aku ingin berkongsi cerita tentang cucunya pula.

 

Kejadian ini berlaku pada awal tahun 1981.

 

Rumiah, anak busu Janah berusia awal tiga puluhan dan sedang mengandung tujuh bulan anak ketiga. Entah apa sebabnya, dia lebih mesra dengan ibu saudaraku (makcik Mardiah) dari ibunya sendiri. Di rumah makciklah dia sekeluarga menghabiskan masa setiap kali balik ke kampung.

 

Hubungan Rumiah dengan ibunya tidaklah putus cuma sekadar tidak mesra. Dia tetap menjengah di waktu siang tapi sebelum menjelang malam, dia akan kembali ke rumah makcik.

 

Hari Jumaat dan Sabtu adalah hari cuti hujung minggu untuk sekolah-sekolah di negeri Johor. Petang Khamis itu, Rumiah yang merupakan seorang pendidik, datang ke rumah makcik bersama suami dan dua orang anak.

 

Malam itu Rumiah memilih untuk tidur di bilik makcik dan meminta suaminya dan anak tidur di ruang tamu.

 

Mungkin kerana kepenatan bekerja disiang hari disamping sarat mengandung, sekejap saja Rumiah sudah lena dibuai mimpi. Makcik yang sudah lanjut usia terkebil-kebil seorang diri.

 

Tepat atau lebih kurang jam 12 malam, makcik terdengar di luar dinding bunyi ‘manggarincing’, kalau dalam bahasa Melayu mungkin boleh diterjemah sebagai bunyi rantai dikaki. Dia bingkas duduk memasang telinga untuk mendengar kiranya bunyi itu berulang.

 

Walaupun ilmu kebatinan makcik boleh dianggap ampuh, namun sebagai manusia, dia juga ada kelemahan. Sewajarnya, dia boleh mentafsir bunyi yang didengar dan segera mengejutkan orang yang tertidur. Tapi apa kan daya, takdir mengatasi segalanya.

 

Tidak sampai seminit selepas itu, Rumiah ‘bapangsar’ (pergerakan orang yang sedang kesakitan) sambil tercungap-cungap persis orang terkena serangan jantung. Melihat keadaan Rumiah, makcik mula terfikir, mengaitkan bunyi yang didengar sebentar tadi dengan kejadian yang berlaku di depan mata. Dengan segala ilmu yang ada di dada, dia cuba merawat namun Rumiah semakin tenat.

 

Atas arahan makcik, suami Rumiah pergi menjemput ketua kampung (orang yang sama dalam epilog menyusur denai ingatan) meminta bantuan. Hampir 4 jam dia bertarung melawan makhluk halus yang sedang merobek jantung tapi akhirnya dia kecundang.

 

Sebelum masuk waktu Subuh, kedua tapak kakinya sudah mula melurus. Dengan disaksikan dua orang anak yang masih kecil, suami yang penyayang, ketua kampung yang juga bapa saudaranya dan makcik Mardiah, dia menghembuskan nafas terakhir membawa bersama bayi dalam kandungan.

 

Esok pagi, ketika orang kampung datang melawat, muncul dua orang abang Rumiah (sebapa lain ibu). Tanpa teragak-agak, mereka memeriksa belakang mayat. Sambil  berpandangan antara satu sama lain, seorang dari mereka berkata “Takana ading” yang membawa erti “terkena adik”.  Selepas itu, mereka terus pergi tanpa menunggu pengkebumian.

 

Kedua-dua abang Rumiah telah mengupah orang melancarkan ‘peluru berpandu’ yang disasarkan kepada makcik kerana kononnya dialah punca ketidak-mesraan Rumiah dengan ibunya. Tapi kenapa serangan tersasar?

 

Senjata pemusnah tuju-tuju tidak memiliki ciri ’self-destruct’ seperti peluru berpandu buatan orang putih. Ia cuma ada ‘one way ticket’. Kalau orang yang hendak dijadikan mangsa mempunyai pertahanan kental, ia akan mencari mangsa yang terdekat. Kalau tidak ada orang yang boleh dijadikan mangsa, ia akan berpatah balik dan mencari jantung orang yang mengirim.

 

Pada malam itu, makcik ada dua pendinding atau tiga. Yang pertama, dia masih belum tidur, yang kedua dia juga ada pelindung dan yang ketiga ialah takdir. Allah sudah menunjukkan kepada abang Rumiah bahawa kuasa mutlak bukan di tangan manusia , jin atau jembalang.

 

Kalau Rumiah masih terjaga waktu tibanya tuju-tuju dimalam itu, mungkin juga suami atau anaknya yang jadi mangsa.

 

Makcik Mardiah, ibu saudaraku masih hidup hingga hari ini dan sudah berusia  lapan puluh tiga tahun.

 

Jin suruhan yang dikerah untuk merobek jantung pada malam itu bukan ‘Sang Kelana Dewata’ seperti yang diguna oleh pakcik Osman tapi dari spesis bernama ‘Bajang’.

 


Related posts:

  1. cerita di kampung Banjar - 3
  2. cerita di kampung Banjar - 11
  3. cerita di kampung Banjar - 9
  4. cerita di kampung Banjar - 12
  5. cerita di kampung Banjar - 2

Leave a Reply