cerita di kampung Banjar - 2

 

Seperti dijanjikan, pakcik Osman datang lagi, menurun seperti malam sebelumnya. Disebabkan penyakit misteri ibu masih belum pulih, kami mempelawa dia menetap di rumah.

 

Hampir empat tahun dia menjadi sebahagian dari keluarga kami. Orang kampung hairan bagaimana kami boleh membenarkan suku kaum lain (Jawa) menetap di kampung yang keseluruhannya terdiri dari suku kaum Banjar. Begitu kukuh cengkaman etnik ketika itu sehingga mencari jodoh pun mesti dari sesama kaum.

 

Ramai yang datang dengan penyakit misteri namun cara pengubatan tetap sama. Sebilah pisau belati, sebiji limau nipis dan sebuah pinggan porcelin putih tanpa corak. Pengerasnya pula hanya seringgit dua puluh lima sen. Duit itu akan diletak di atas piring dan disimpan di bawah tudung saji bersama ketulan kemenyan, limau nipis dan pisau. Siapa yang mengambil duit itu menjadi tanda tanya. Selalunya, ia akan hilang begitu sahaja. Kadang kala ketika sedang berbual, terdengar bunyi duit diambil walaupun tidak ada siapa berhampiran.

 

Ilmu kebatinan pakcik Osman memang hebat. Suatu ketika dia mengajak aku ke bandar. Sedang menanti ketibaan bas, dia bertanya kalau aku ada duit tambang. Panik dibuatnya kerana dia juga tidak membawa duit. Dia menunjukkan kocek baju yang kosong. Ketika bas hampir tiba, dia memetik sehelai daun di tepi jalan lalu menggigit sebelum memasukkan ke dalam kocek bajunya. Apabila kelendan bas meminta tambang, dia menyeluk kocek yang sama dan mengeluarkan sehelai duit kertas sepuluh ringgit. Dari sehelai daun, dia menerima pulangan sembilan ringgit tujuh puluh sen, setelah ditolak tambang dua puluh sen untuk dirinya dan sepuluh sen untuk aku. Mungkinkah duit kertas sepuluh ringgit yang disimpan kelendan bas di dalam kocek seluar bertukar menjadi daun selepas itu? Entahlah.

 

Walaupun memiliki ilmu kebatinan yang hebat, pakcik Osman tidak boleh merawat penyakitnya sendiri. Dia tidak boleh duduk seperti orang lain dan menghabiskan masa meniarap atau duduk sebentar bersimpuh macam orang perempuan. Kenapa?

 

Sebelah punggungnya mengeluarkan nanah. Dagingnya seperti kudis besar. Ada yang mengatakan ianya barah. Menurut cerita tuan yang empunya badan, ia berpunca dari kegemarannya menunggang motosikal semasa remaja. Tapi, Haji Salleh yang ku panggil Ami berbeza pendapat.

 

“Insyaallah, saya boleh sembuhkan kalau kiayi sanggup tinggalkan amalan…” Sebenarnya panggilan kiayi itu cuma cara Hj Salleh menghormati orang. Mana mungkin seorang yang tidak pernah mendirikan sembahyang digelar kiayi. Difahamkan, penyakit itu berpunca dari makhluk halus yang dipeliharanya. Sel-sel di punggung dijadikan santapan oleh jin dan jembalang yang menyamar sebagai roh keramat dari Pulau Jawa. Dan kami yang masih dangkal ilmu tidak pula meragui apabila salah satu makhluk jelmaan mengaku sebagai Sheikh Abdul Kadir Jailani, penghulu segala wali.

 

Pernah juga kami membawa pakcik Osman ke hospital besar Johor Baharu. Namun, doktor yang merawat hilang punca kerana setiap jarum yang digunakan untuk menyuntik akan patah. Kulitnya tidak boleh ditembusi.

 

Haji Salleh yang berasal dari Yemen dan masih pekat dengan lidah Arab mengamalkan cara perubatan Islam, lama sebelum wujudnya Darul Syifa. Setiap rawatan dimulakan dengan sembahyang hajat. Selesai berdoa, dia membuka kitab tulisan Arab yang dibawanya dari Yemen. Lazimnya, dia hanya menjampi air dan tidak akan menerima bayaran. Pernah terjadi seorang jiran yang ku panggil mak ngah mengidap barah payu dara. Hospital tidak berupaya merawat kerana ia sudah di tahap kritikal.  

 

Setelah ketandusan ikhtiar, pak ngah meminta bantuan Hj Salleh. Selesai sembahyang hajat dan berdoa, dengan menggunakan sebatang besi yang telah dibakar, dia menusukkan besi itu ke payu dara yang sudah membengkak. Menurut mak ngah, besi itu tidak terasa panas, tidak juga sakit. Dengan izin Allah, sel-sel barah mati dan mak ngah yang dimaksudkan masih hidup sampai hari ini. Pun begitu, setelah Hj Salleh meninggal dunia pada tahun 90an, anaknya yang pernah muncul di TV3 menyertai kempen yang dianjurkan MAKNA meninggal dunia kerana barah payu dara. Kalau Hj Salleh masih hidup, mungkinkah dia dapat membantu anaknya sendiri?

 

Ketika pakcik Osman melilitkan tangkal kain kuning di lengan kanan sepupuku sambil berpesan supaya jangan menggunakannya kecuali terdesak, aku rasa terkilan. Betapa tidak, sepupu yang diberinya tangkal tak pernah dan tak mungkin berkelahi kerana sifatnya yang sentiasa ‘cool’. Aku yang selalu lebam-lebam bertumbuk tidak dihiraukan sedangkan selama ini aku yang banyak membantunya. Setelah dewasa, barulah terfikir sebab dan punca. Mungkin dia tidak mahu aku jadi brutal atau mungkin juga tangkal itu tidak lebih dari perangsang.  

 

Penyakit misteri ibu datang dan pergi. Yang kami takuti bila hari menjelang senja. Ibu selalu merasa seram sejuk dan kadang kala hilang ingatan. Sebagai pendinding tambahan, pak cik Osman meminta ibu membaca ayat-ayat tertentu dalam surah yasin. Biasanya, sebelum ayat habis dibaca, ibu sudah diresapi makhluk halus milik pakcik Osman.

 

Rumah kami semakin kerap didatangi pesakit dari luar daerah. Anak buaya, ayam hitam, kura-kura dan bermacam haiwan dijadikan pengeras untuk mengubat penyakit.

 

Suatu malam, sebuah kereta Fiat 500 yang dipandu seorang lelaki India singgah di rumah kami. Setelah berbincang, dia berjanji untuk datang pada hari Khamis malam Jumaat untuk menyaksikan pelancaran ‘peluru berpandu’. Sasarannya ialah jantung seorang lelaki India di estet yang sama.

 


Related posts:

  1. cerita di kampung Banjar - 6
  2. cerita di kampung Banjar
  3. cerita di kampung Banjar - 5
  4. cerita di kampung Banjar - 8
  5. cerita di kampung Banjar - 3

Leave a Reply