cerita di kampung Banjar - 3
Sebelum orang barat mencipta ‘peluru berpandu’, orang Jawa, Banjar dan suku kaum lain yang berasal dari seberang sudah lama menguasainya. Apa yang membezakan hanyalah dari segi kemampuan memusnah.
Khamis malam Jumaat yang dinanti sudah pun tiba. Sekitar jam 8 malam, lelaki India berumur lingkungan 40 tahun tiba dari Kahang Estet, sebuah ladang getah yang terletak lebih kurang 27 batu dari pekan Kluang.
Di Negeri Johor, sekolah cuti pada hari Jumaat dan Sabtu. Memandangkan esok tidak sekolah, maka aku sanggup bersengkang mata, menyaksikan sendiri apa sebenarnya hajat lelaki India ini.
Jam menunjukkan hampir 12 malam. Asap berkepul-kepul keluar dari mangkuk kemenyan sebesar piring cawan. Ritual menurun bermula seperti biasa. Setelah jasad pakcik Osman diresapi mahkluk halus, dia mengangkat muka dan memandang ke arah kami dengan raut wajah yang bengis, seorang demi seorang direnungnya. Di hadapannya terletak sebuah pinggan porcelin putih tanpa corak, sebilah pisau belati dan sebiji limau nipis serta sehelai kain putih.
Sebelum menurun, ibu saudara pergi ke pelantar dapur berlantai batang pinang dan berdinding buluh sekerat. Ketika melihat keluar, dia ternampak sebiji bola api dengan ketinggian sekitar 7 atau 8 kaki. Dari mula membasuh sehingga dia masuk ke dalam rumah, bola api itu tetap tidak bergerak.
Setelah pakcik Osman diresapi makhluk ghaib, bola api tidak ada lagi di situ.
Menurut ceritanya, apa yang kelihatan seperti api itu adalah mata jin yang mengambil giliran bertugas pada malam itu. Makhluk halus yang meresap ke dalam jasad pakcik Osman mengenalkan diri sebagai Sang Kelana Dewata.
Beberapa minit sebelum jam di dinding berbunyi 12 kali, pakcik Osman memilih aku untuk menyelubungkan kain putih menutup seluruh jasadnya yang sedang duduk membongkok. Selain bunyi cengkerik dan jam, tidak ada bunyi lain yang kedengaran. Pandangan kami tertumpu kepada selimut putih di depan mata. Sebaik saja jam di dinding berdeting, kami terdengar bunyi pergerakan pisau di atas pinggan seolah-olah pisau dan pinggan sedang bertarung. Beberapa minit setelah bunyi pisau dan pinggan berhenti, dia menyuruh aku membuka kembali selimut kain putih yang menutupnya.
Terperanjat ada, hairan pun ada. Limau yang terbelah dua bukan mengeluarkan air limau seperti biasa tapi darah merah yang hampir memenuhi pinggan.
Ritual perpisahan jasad dan makhluk jelmaan berlaku seperti biasa. Separuh dari tiga ratus ringgit yang dijanjikan bertukar tangan. Lelaki India balik semula ke rumahnya di estet dengan penuh harapan.
Malam itu, mataku terkebil-kebil memikirkan apa sebenarnya berlaku. Dari mana datangnya darah yang begitu banyak?
Esok pagi, lelaki India itu datang lagi dengan wajah ceria. Hati puas kerana dendam berbalas.
Lama juga berselang sebelum aku berani membuka mulut bertanya apa sebenarnya berlaku.
Semasa diselubungi kain putih, dan sebaik pisau menikam limau, dalam sekelip mata, makhluk ghaib itu sudah sampai ke dalam jantung mangsa yang sedang tidur lena di Kahang Estet. Darah yang ada dalam pinggan itu adalah darah dari jantung mangsa yang sudah dirobek oleh jin suruhan. Malam itu juga mangsa menemui ajal mirip orang diserang jantung. Tidak ada tanda kecuali lebam di sebelah belakang.
Peluru berpandu yang memusnahkan lawan dalam sekelip mata itu dikenali sebagai ‘tuju-tuju’.
Tergamam mendengar cerita. Apa tidaknya, aku baru berumur 14 tahun dan dalam usia semuda itu sudah melihat bagaimana rapuhnya hidup manusia. Dengan hanya tiga ratus ringgit, nyawa boleh dijual beli.
“Pakcik belum handal lagi” dia merendah diri. “Ada seorang bomoh perempuan di Kampung Melayu, Kluang lagi handal” sambungnya. Perempuan itu tidak perlu menurun. Dengan hanya sebilah pisau kecil di tapak tangan sebagai perantara, dia boleh menghantar mangsa ke alam baqa dengan sekelip mata. Sasarannya tetap sama - jantung.
Beberapa bulan yang lalu, anak bercerita tentang kematian mengejut kawan sekerja yang juga pengawal peribadi kepada CEO. Bukan calang-calang ilmunya. Laras senapang boleh dibengkok dengan tangan. Namun, sehandal mana pun manusia, tentu ada kelemahannya. Kalau menurut perubatan modern, kematiannya disebabkan serangan jantung. Tidak dinafikan kebenaran diagnosis doktor, tapi kenapa tiba-tiba saja denyutan jantung terhenti sedangkan selama ini dia sihat?
Setelah mendengar cerita bagaimana sengitnya perlumbaan untuk mendapatkan kontrak sehingga berlaku bermacam kejadian aneh di tempat kerja, aku terkenang lelaki India di Kahang Estet pada tahun 1959. Terdapat banyak persamaan.
Related posts:
February 2nd, 2010 at 9:43 pm
sangat menyeramkan. episod 4 ada tak?
February 2nd, 2010 at 10:14 pm
Classic story telling. Kehebatan orang-orang dahalu. Ada lagi kah bomoh sepandai ini sekarang?
February 2nd, 2010 at 11:13 pm
Banyak lagi cerita mistik yang benar-benar terjadi di kampung Banjar yang ingin dikongsi semoga dapat dijadikan iktibar. Pelesit, polong dan orang Banjar mati jadi hantu akan meyusul.
Lebih kurang setahun yang lalu, jiran selang dua buah rumah dirasuk makhluk halus ketika dia balik dari pasar diwaktu senja. Gempar juga kisahnya. Imam yang selalunya boleh merawat cara tradisional pun tidak berjaya menghalau makhluk itu. Pembantu Ustaz Ismail Kamus pun kurang berjaya dan akhirnya pergi ke Darul Syifa untuk berubat.
Berdasarkan pemerhatian semasa kecil di kampung, jiran ini dihinggapi apa yang dipanggil ‘polong’. Memang sukar untuk dihalau kerana mengikut ceritanya, polong suka menghisap tulang sumsum orang yang lemah semangat. Wallahualam.
February 4th, 2010 at 9:00 am
terror betul orang zaman dulu. pakai pos laju boleh hantar pi akhirat. bole mintak nombo ekor?
February 5th, 2010 at 8:10 am
besnya dapat jumpa bomoh terror camtu. mesti bole tanam susuk, ayat pengasih ke. tenung jer mata awek terus dia jatuh hati.