cerita di kampung Banjar - 9

 

Beberapa bulan sebelum aku meninggalkan kampung, ada satu kejadian aneh berlaku dan telah pun aku ceritakan dalam Bahasa Banjar “Surahan Banjar 8″.

 

Keluarga pasangan suami isteri ini belayar dari pulau Kalimantan bersama keluarga nenek sekitar tahun 1932. Di kawasan rumah mereka inilah aku pernah menelan seekor kunang-kunang sebagai penerang hati. (Kepercayaan orang Banjar dan pantang larangnya akan kuceritakan dilain ketika).

 

Banjar di kampung kami menggunakan bahasa nenek laki dan nenek bini sebagai gantinama datuk dan nenek. Selang dua atau tiga bulan selepas suami nenek ini meninggal, dia jatuh sakit. Walaupun lama terlantar, namun roh tidak juga mahu keluar.

 

Suatu hari, nenek meluahkan kebimbangan tentang nasib yang menimpa kawan karibnya yang lebih mesra dengan panggilan nenek juruh. Nenek bimbang kiranya sesuatu akan berlaku. Menurut nenek, semasa muda dan masih lagi berada di tanah Banjar, nenek juruh pernah bersuami dua. Disamping mengamalkan ajaran yang salah, dia juga selalu menghidangkan ‘nasi wap’ untuk santapan suaminya.

 

Entah apa usaha yang dilakukan oleh anak dan cucu nenek juruh, akhirnya berpisah jugalah jasad dengan roh.

 

Malam itu, apa yang dikhuatiri nenek menjadi kenyataan.

 

Walaupun jasad sudah berada enam kaki di dalam tanah, namun itu tidak menghalang dia kembali melawat rumah anak-anak dan kenalan di kampung. (Semasa menulis ayat-ayat ini, bulu romaku naik meremang). Mula-mula dia menangis (Kata orang Banjar “maingui tangis”) sebelum mengetuk apa sahaja yang ada di bawah rumah untuk membuat bising. Menggoyang pokok, mengetuk (manggandah) dinding sambil mengeluarkan berbagai bunyi. Nenek yang sudah biasa mengalami kejadian serupa di tempat kelahiran di pulau Kalimantan bersuara “Bajauhh ikam lah, kita kada bakulaan” atau dalam Bahasa Melayu “Pergilah engkau kerana kita tidak bersaudara”. Mendengar suara nenek menghalau, nenek juruh ‘maingui tangis’ sambil pergi untuk mengganggu keluarga dan kenalan lain pula.

 

Begitulah yang dilakukannya setiap malam bermula selepas maghrib dan berakhir sebelum azan subuh.

 

Pada suatu dinihari, ketika Busu Janah, anak bungsunya mencapai basikal untuk pergi menoreh di estet berhampiran, dia ternampak kelibat seekor anjing di halaman rumah. Dia tidak menghiraukan kerana anjing itu tidak mengganggunya. Namun begitu, dia hairan kenapa anjing ini sentiasa berlari di hadapan basikalnya dengan kelajuan yang sama. Dia laju anjing pun laju tapi bila dia perlahan, anjing itu pun perlahan.

 

“Hairan” bisik hati busu Janah. Selama ini tidak pernah ada anjing yang menemaninya.  

 

Jarak antara rumah dengan estet lebih kurang empat batu. Dalam perjalanan pergi, dia melalui sebuah masjid kampung yang terletak di sebelah kiri jalan. Apabila sampai di hadapan masjid, anjing yang sudah lebih sebatu menemaninya membuat kejutan. Sebelum anjing itu membeluk ke kawasan masjid, ia menoleh ke belakang menampakkan wajah. Berderau darah busu Janah kerana apa yang dilihatnya tidak pernah diduga. Anjing yang berlari di hadapannya berwajah manusia dan wajah itu cukup dikenalinya. Wajah ibunya yang sudah meninggal berada di jasad anjing.

 

Petang itu, dia menceritakan kepada nenek sambil meminta pendapat.

 

Anak Adam yang tidak diterima bumi bukan bererti jasadnya tidak diterima secara fisikal. Dalam konteks ini, roh simati akan keluar setiap malam selama 100 hari untuk tujuan apa, aku pun tidak tahu. Cuma aku pernah mendengar dari cerita orang bahari, roh itu akan menjelma dengan wajah sendiri ke dalam jasad haiwan-haiwan tertentu.

 

Senja itu, sebelum azan maghrib, cucu lelaki nenek juruh pergi ke pusara di belakang masjid berbekalkan dua biji botol kaca. Dengan membaca ayat-ayat tertentu yang diajar nenek, dia menanam sebiji botol dengan muncungnya hala ke bawah di bahagian kepala dan sebiji lagi di bahagian kaki. Aku difahamkan, roh yang tersiksa itu akan terperangkap di dalam botol sehinggalah masanya tiba untuk ia meninggalkan kawasan bumi.

 

Malam itu dan malam-malam seterusnya, keadaan di kampung kami kembali tenang.

 


Related posts:

  1. cerita di kampung Banjar - 11
  2. cerita di kampung Banjar - 10
  3. cerita di kampung Banjar
  4. cerita di kampung Banjar - 12
  5. cerita di kampung Banjar - 4

4 Responses to “cerita di kampung Banjar - 9”

  1. wakhang Says:

    Mati jadi hantu? Betulke? Baca pun naik seram bagaimana kalau terjumpa. Heeee.

  2. admin Says:

    Apa yang saya nukilkan dalam cerita di kampung Banjar adalah yang sebenarnya dan tidak ditokok tambah. Kampung Banjar yang saya tinggalkan hampir lima dekad yang lalu kini sudah modern dengan taman perumahan dan kilang. Namun, masjid di tepi jalan itu masih wujud, pusara nenek juruh pun masih ada. Bila sesekali saya balik bersembahyang di masjid itu, tak sampai sepuluh peratus jemaah yang saya kenal. Ramai jemaah tidak tahu bahawa saya pernah meredah parit, sungai, belukar dan hutan sekitar. Hutan dan sungai tempat saya selalu memancing pun sudah bertukar wajah menjadi empangan.

  3. mazril Says:

    pendapat saya, jelmaan yang menganggu tu bukan roh nenek juruh, tapi belaan nenek juruh atau dengan kata lain JIN yang sudah tak bertuan

  4. admin Says:

    Entahlah mazril, saya pun tak tahu siapa dia. Mungkin betul pendapat saudara. Tapi yang saya ingat, wajah nenek juruh semasa hayatnya pun menggerunkan. Maksud saya bukan wajahnya tapi renungannya masa dia memandang kami. Berbeza dengan suaminya yang berwajah lembut, pandai membuat air nira dan menyirat jala.

Leave a Reply