cerita di kampung Banjar
Menyusur denai ingatan merupakan coretan peribadi tiga belas tahun berkhidmat dengan tentera laut. Pahit manis menyarung pakaian seragam setelah meninggalkan kampung pada tahun 1965 dipaparkan mengikut ingatan.
Kini, saya ingin berkongsi pengalaman hidup sebagai anak Banjar di era 50an dan 60an. Kisah benar di sebuah kampung 100 peratus Banjar yang bergantung dengan air telaga untuk minum dan mandi, pelita minyak tanah sebagai alat penerang malam. Adat resam, kepercayaan, pantang larang serta amalan masyarakat inilah yang ingin saya paparkan kerana sebahagian besarnya sudah pun pupus. Malah bahasanya juga sudah nazak.
Tahun 1958, masa itu saya di Remove Class. Hampir dua bulan ibu sakit. Sekejap dia menjerit, sekejap lagi dia menangis ketakutan. Katanya dia melihat lembaga yang menyeramkan di bumbung, di tingkap dan merata tempat di rumah. Sudah ramai bomoh dan dukun datang, namun lembaga itu tidak juga hilang.
Suatu hari, muncul pakcik Abu (bapa kepada Helan, orang kuat RTM suatu masa dahulu) menziarahi kami. Dia ditemani seorang lelaki yang tidak kami kenali. Sebaik sahaja melihat keadaan ibu, pakcik Helan memperkenalkan kawannya yang secara kebetulan atau ditakdirkan berkebolehan dalam perubatan ghaib.
Pakcik Osman, kawan kepada Pakcik Helan berjanji akan datang sebelah malam untuk merawat ibu.
Malam itu, ramai saudara mara datang menyaksikan bagaimana pakcik Osman menunjukkan kehebatannya sebagai seorang ‘bomoh’. Sebelum memulakan, dia meminta salah seorang berada di luar rumah. Dan berpesan supaya jangan takut atau menegur apa pun yang dilihat.
Abang Sapri, anak muda Banjar yang tak pernah kenal erti takut menawarkan diri untuk berada di luar.
Pakcik Osman duduk bersimpuh persis seorang perempuan. Dia tidak boleh duduk seperti orang biasa kerana…akan diceritakan dilain episod.
Bacaannya bermula dengan bismillah. Awalnya jelas tapi semakin panjang mantranya semakin kabur bacaan. Dia mencampakkan ketulan kecil kemenyan yang dihancurkan dengan jari ke atas bara. Asap kemenyan dicekup dengan tapak tangan dan disapukan ke muka. Selang tidak berapa lama, kepalanya terlentuk dan badannya bergerak-gerak. Apabila dia mengangkat muka, nampak ketara perubahan wajahnya. Suara yang keluar dari rahang juga berubah. Dia meminta kami memanggilnya ‘bapak’.
Mulai malam itu dan malam-malam berikutnya, silih berganti ‘bapak’ yang meresapi jasad pakcik Osman. Bapak Arifin, bapak Omar, bapak Hitam, bapak Dewata dan bermacam lagi nama dengan identiti jelmaan yang berbeza sehingga kami sudah boleh meneka nama ’sahabat’ atau ‘bapak’ yang merasuknya.
Dengan menggunakan sebilah pisau belati dan sebiji limau nipis yang diletak di atas pinggan putih, dia memulakan operasi membuang penyakit. Limau yang diletak di atas perut ditusuk dengan pisau sehingga ke pangkal. Kelihatan pada pandangan kasar, mata pisau tenggelam ke dalam perut. Tangan yang memegang hulu pantas bergerak seolah-olah mengorek sesuatu. Selang tidak berapa lama, pisau dicabut. Dia menyapu bekas tusukan dengan air belahan buah limau, khabarnya untuk menutup luka.
Sementara itu, di luar rumah, abang Sapri melihat api keluar dari lubang di antara atap dan dinding lalu terbang dan hilang di celah-celah pohon getah.
Setelah habis proses mengubat, ’sahabat’ pakcik Osman memohon diri untuk balik ‘ke pulau Jawa’ katanya. Ritual perpisahan antara jasad pakcik Osman denga ‘sahabat’ ghaibnya tidak jauh berbeza dengan ritul jelmaan. Kepalanya juga tunduk sama seperti mula-mula dirasuk. Dua kali badannya bergerak seperti orang terkena renjatan elektrik diikuti dengab bersin, juga dua kali. Sambil menyapu muka denga tapak tangan, dia mengangkat kepala, memandang kami dan tersenyum.
Selesai upacara ‘menurun’, pakcik Osman balik bersama pakcik Abu ke kampung Machap dan berjanji akan datang esok hari untuk mengetahui perkembangan.
Malam itu, ibu menjerit lagi.
Related posts: