harga sebuah kejayaan

Once, when I had done badly in my exams, I went to tell my father, who was working in the estate. He did not scold me but as he turned his head to carry on with his work, I saw tears rolling down his cheeks,” said Roger

Roger obviously studied harder as he eventually went to England to read law.

His last words before I left for England were, ‘You better study hard because your father is already old’. My father sold an entire plantation to support my studies in Britain.

When news came that dad was spotted taking a bus in Air Hitam, Johor, I knew he was now on the move, and no longer in Yong Peng.

Kenapa Roger Tan. Kenapa tidak personaliti lain yang lebih dikenali sebagai contoh. Kenapa tidak Syed Mokhtar Al Bukhari?

Kerana Roger Tan bukan Melayu yang diberi tongkat keluli waja untuk berjaya. Dia tidak mendapat biasiswa Petronas atau JPA kerana ayahnya cuma pekerja kontrak, tanpa ‘cable’ tanpa ‘contact’. Dia tidak dapat pinjaman PTPTN kerana ketika itu kemudahan sedemikian belum wujud. 

Pun begitu, dia punya kegigihan serta azam untuk berjaya.

Walaupun bapanya tidak berpendidikan tapi arif bahawa tiada harta warisan yang lebih bernilai dari ladungan ilmu di dada. Atas kesedaran itulah dia menitiskan air mata ketika anaknya memberitahu keputusan peperiksaan yang kurang memberangsangkan. Air mata ayah yang mengalir lesu bukan kerana kesal atau marah tapi bimbang andai pohon yang dijaga dibelai terkulai dalam pendewasaan. Dan si anak pula, sebaik terpandang kepiluan yang terukir di wajah ayah terus tersedar lantas berazam untuk tidak mengulangi kesilapan - tersandung di tempat sama dengan punca serupa. Berkat usaha gigih anak mengejar cita-cita dan kesanggupan ayah mengorbankan harta sekangkang  kera, maka lahirlah seorang ‘insan’ bernama Roger Tan.

Setelah mendapat ijazah, seperti siswazah lain, tumpuan utamanya ialah mengukir sebuah kehidupan dari segumpal mimpi.

Bermula dengan merangkak, berdiri dan akhirnya tangkas berlari. Dan terus berlari. Perlumbaan tikus (rat race) di kota membuatkan si anak terus sibuk memburu dan diburu masa sehingga tidak banyak waktu terluang untuk balik ke kampung halaman menjengah ibu dan ayah.

Hari berlalu minggu berganti namun kelapangan masa kian sukar dicari. Dalam dunia swasta, apatah lagi setelah memiliki firma sendiri, siang terasa begitu singkat sehingga malam yang suram pun tak terasa kelam. Walaupun jarak antara Johor Bahru dan Yong Peng hanya sepelaung jauhnya, namun hubungan  anak dan ayah ibu semakin jauh dibatasi waktu.

Sudah menjadi lumrah, yang ditinggalkan terasa lama menanti kepulangan. Yang pergi terasa baru sejenak berpisah. Lantaran kesibukan menggapai impian, ingatan pada wajah-wajah tua yang mulus dan kudus semakin pudar, sepudar  lembayung dilarut senja. Hari dan minggu datang dan pergi tanpa disedari.

Setiap yang terlena pasti terjaga. Panggilan telefon tentang kehilangan bapanya mengejutkan si anak yang bergegas pulang. Dalam cemas dia mengharap agar bapa dapat ditemui.

Laporan awal mengatakan bapanya mengalami penyakit ‘hilang ingatan’. Lantas kita percaya itulah punca kehilangan.

Apakah itu puncanya?

Tulisan beliau di akhbar NST bertarikh 18hb Jun 2006, enam tahun setelah peristiwa berlalu seolah menyanggah pendapat yang memungkinkan bapanya hilang kerana tidak menemui jalan pulang.

Apakah yang tersirat dalam ayat…” When news came that dad was spotted taking a bus in Air Hitam, Johor, I knew he was now on the move, and no longer in Yong Peng”.

“I knew he was on the move”! Kemana? Mungkinkah Tan Sue Yong telah merancang penghijrahan kesuatu tempat terpencil untuk berkelana sambil menanti saat dan ketika jemputan pencipta. Kalau benar dia hilang ingatan dan merayau tanpa tujuan, tidakkah ada yang dapat mengenali sedangkan gambar dan ceritanya terpampang di dada akhbar.

Dan apa pula maksud sebenar pesanan Roger Tan sempena hari bapa tahun 2006…”tell your dadI love you’ now before it’s too late for that“. dan “except for this special day, when was the last time we took our dad out for a meal or sat down to have a good chat with him“? Pernah kah dia melakukannya. Atau pesanan itu lebih merupakan lontaran suara hati yang dilanda kesalan.

Untuk mengurai yang tersirat bukan semudah melurut selasih. Tidak pula sesukar memecah ruyung. Yang diperlukan cuma mengerti hati dan perasaan, menyelam kedasar berlumpur sambil meraba dalam kesamaran. Kata bistari, “hanya mereka yang pernah menangis yang dapat mengungkap cerita dan rahsia setitis air mata, hanya mereka yang pernah meratap yang dapat merasa keperitan menahan sedu dalam esakan”.

Setiap kejayaan perlu pengorbanan. Usah diharap yang bulat datang bergolek dan yang pipih datang melayang. Sepanjang perjalanan, ada yang terpaksa berteduh di dahan rapuh, ada pula yang terpaksa menumpang di bumi gersang. Pun begitu, setelah menuai, berapa kerat  yang sanggup menyusur denai ke tasik kenangan, mengutip jerami impian, mengimbau detik-detik indah dan gundah dan bersyukur atas ketentuan.

Mungkinkah kerana kealpaan menyebakan timbulnya sesalan setelah kehilangan dahan rapuh tempat dia pernah berteduh  lantas meluahkan kesalan dalam pesanan “tell your dad…”.

Mungkinkah sebagai tanda ingatan kepada seseorang yang nilainya cuma terserlah setelah ketiadaan, maka tanpa berkira  dia menyumbangkan bakti terhadap pertubuhan anak-anak yatim Islam Johor yang berlainan bangsa dan agama…

“The Johor Muslim orphans are indebted to him when Roger acted pro bono (free of charge) for Al-Yatama Bhd, which runs nine Muslim orphanages in Johor, and successfully recovered and repossessed 2,700 acres of its land in Kota Tinggi, Johor in addition to obtaining a judgment sum of RM64 million for Al-Yatama Bhd in 2004″.

Seperti juga sebahagian ibu-bapa yang ada masanya tidak berkesempatan memberi perhatian kepada anak-anak kerana sibuk mengejar pelangi di kaki langit, maka begitulah sebaliknya.  

Setiap kejayaan perlukan pengorbanan. Setiap pengorbanan ada harganya.

Apakah harga yang telah dibayar Michael Jackson sebelum dan setelah bertakhta di mercu kejayaan? Di mana dia menghabiskan zaman kanak-kanak, remaja dan dewasanya kalau bukan di studio! Pernahkah dia beroleh kebebasan mutlak seperti orang biasa?

Apakah pengorbanan Tan Sue Yong untuk isteri dan anak-anaknya? Ketika usia menjangkau enam puluhan, dia sanggup menjadi penghuni belantara bersama ungka dan kera, lintah dan pacat, bertemankan ’gergaji berantai’ sebagai punca rezeki. Dan hanya muncul menemui keluarga setiap dua bulan. 

Apakah yang dikorbankan anaknya supaya harapan keluarga tidak hanya tinggal harapan?  ”Roger obviously studied harder as he eventually went to England to read law.” 

Dalam usia remaja Roger Tan sudah mengerti bahawa hidup ini adalah perjuangan. Ketika kecewa diawal persekolahan, dia tangkas bangun melangkah persis pejuang tulen. Dan kejayaan menanti setiap insan yang gigih berusaha. Dia mengerti hakikat bahawa ‘kalau tidak dipecah ruyung manakan dapat sagunya’ dan ‘apa yang disemai itulah yang dituai’. 

Ketika asyik mengambil sagu di dalam ruyung, menuai hasil yang disemai,  bapanya hilang tanpa kesan.

Itukah harga sebuah kejayaan?


Related posts:

  1. padamnya sebuah pelita
  2. Berakhirnya sebuah perjalanan
  3. kalau sesat di hujung jalan…
  4. citrawara hari bapa
  5. kenangan mengusik jiwa ‘e’

Leave a Reply