History Lesson - 4

“Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain”. Ada kalanya kenangan itu datang bertandang tanpa diundang hendaknya bila terlihat gambar-gambar di mana kita pernah menjadi sebahagian daripadanya. 

Bilik darjah di belakang gambar ini umpamanya - Jefri (ME/MT), Chandran (RO), Mohideen (ME), Mahyudin (Writer) antara ‘classmate’ yang pernah sama-sama berkhidmat dalam RMN dan pernah dibimbing oleh Mr Tan Cheng Hai, ‘Form Teacher’ tingkatan 3. Kerana kenakalannya, Mr Tan melantik Mohideen sebagai ‘Class Monitor’. Osman - adik kepada CO ‘batallion’ RAMD di Kem Tentera Kluang berpangkat ‘Major’ - merupakan rakan karib di mana kami selalu mengulangkaji pelajaran, soal menyoal pengetahuan am dan sejarah. 

Di atas gelanggang bola jaring inilah diadakan ‘weekly school assembly’ di mana ‘headmaster’ Mr Nair / Mr Carthigesu / Mr Thor Seong Aun menyampaikan amanat setiap pagi Ahad. Pernah kami saksikan seorang kawan dirotan (public caning) oleh MR A. Sellathuray di kaki lima semasa perhimpunan kerana terlibat dalam kumpulan liar.  

Sebelah kiri - ‘assembly hall’ digunakan juga sebagai gelanggang badminton dan sepak raga jaring (nama sepak takraw belum wujud). 

Sebelah kanan - tandas untuk pelajar.

Tingkat atas menghadap gelanggang bola jaring - bilik darjah tingkatan 4 (Sains dan Sastera).

Tingkat atas sebelah kiri ‘assembly hall’ - tempat rehat guru dan perpustakaan. ‘Di bawah Lembayung Senja’ merupakan novel pertama yang aku pinjam di ikuti dengan ‘Mekar dan Segar’, sebuah buku yang memuatkan cerpen karya Angkatan Sasterawan ‘50, antaranya Usman Awang, Keris Mas, Malungun, Ajikek dll.

Selain ‘Detention Class’, ‘Woodwork’ antara subjek yang diajar selepas waktu sekolah oleh MR Chua Teng Siah. Bila ada kelas sebelah petang, maka terpaksa jugalah aku keluarkan duit belanja 10 sen untuk ‘lunch’ mengisi perut dengan mihun goreng di ‘tuck shop’ dan mimum air paip.

Padang sekolah era itu amat cantik dengan rumput hijau yang sentiasa segar. Di tebing padang inilah tempat murid menonton perlawanan bola sepak atau hoki atau sukan tahunan.

Pokok di tepi padang banyak berjasa kepada pasukan ‘tug-of-war’. Tali diikat di pangkal pokok dan kami di arah menarik mengikut rentak, “Heave, heave, heave” atau “Hold”.

Waktu rehat atau ‘PT’ (Physical Training), kami selalu bermain bola sepak antara tingkatan. Suatu hari, kaki ku terseliuh. Bila aku cerita dengan anak kemungkinan tulang metatarsal patah, anak gelak terbahak-bahak. Kaki berdenyut macam dicucuk, bengkak macam bisul. Perjalanan dari sekolah ke stesen bas tengahari itu merupakan perjalanan terpanjang pernah aku alami. Kaki tak boleh dipijak ke tanah kerana teramat sakit. Dengan sebelah kaki aku berjalan (melompat) dan kekadang mencangkung sambil menghulur kaki yang sakit ke depan dan bertuaskan tangan, aku menggerakkan badan. Setelah lebih satu jam melompat dan merangkak, akhirnya sampai juga ke stesen bas.

Balik ke rumah bukannya dapat simpati tapi kena hamun, “Apus muha” atau ”Padan muka”. Itulah ubat yang ku terima bila merengek tak dapat tidur kerana kaki berdenyut. Selepas dua hari tak sekolah, datang seorang perempuan Banjar dari Kahang estet berkunjung ke rumah. Sambil membebel pada ibu kerana membiarkan aku kesakitan, dia meminta minyak kelapa lalu mengurut. Macam nak tercabut nyawa menahan sakit ketika dia membetulkan urat-urat yang terseliuh. Setelah dibalut dengan kunyit panas, malam itu aku tidur nyenyak dan bersekolah esok hari.

Jersey ala pasukan Newcastle…kenapa aku upload gambar ini? Semata-mata kerana terkenang betapa aku selalu merenung sekeping potret dengan corak jersey yang sama yang tergantung di dinding ‘assembly hall’ - gambar pelajar senior yang pernah menjulang nama Government English School Kluang apabila menjuarai pertandingan bola sepak antara sekolah se Malaya pada tahun 1957 (atau 1956?).

Anak saudara yang pernah belajar di sekolah sama tak tahu tentang fakta itu. Yang dia tahu, dua buah padang - sebuah untuk sekolah menengah dan sebuah lagi untuk sekolah rendah - sudah tinggal sejarah.

Bila ku ajukan soalan “Di mana tempat murid mengadakan aktiviti jasmani?”, jawapannya kosong.

Makanya, apa yang dihairankan kalau ‘rangking’ pasukan bola sepak negara berlegar dalam lingkungan 150++?


Related posts:

  1. History Lesson - 1
  2. History Lesson - 2
  3. History Lesson - 3
  4. TLDM - Parade Ground/Drill Shade KDM Woodlands

Comments are closed.



How To Write Letter
bystolic drug