KD Sri Pahang P3141
Bot ronda KD Sri Pahang - seperti juga bot ronda lainya dari ‘Kedah Class’ - banyak berjasa menjaga kedaulatan perairan negara masa konfrontasi Indonesia - Malaysia dari 1963 hingga 1966. Dengan meriam ‘Bofors’ 40/70 ‘fore & aft’, bot-bot ronda ini amat digeruni oleh musuh yang sentiasa menanti peluang untuk menyusup masuk melalui perairan pantai barat Semenanjung.
Masa bertugas dengan KD Sri Kedah (P3138) dan KD Sri Terengganu (P3143), kami selalu terserempak dengan bot-bot negara jiran, yang kecil sedikit dari bot kami, menceroboh perairan kita. Ada masanya penceroboh-penceroboh ini bermain ‘tarik-tali’ dengan bot kami…bila dihampiri mereka pergi dan berhenti menanti kami mengejar lagi tapi bila melihat muncung ’A’ dan ‘Y’ gun dihalakan kepada mereka, bot-bot itu terus memecut.
Senario seperti di atas tidak asing kepada anak-anak kapal dizaman konfrontasi. KKO ‘ka ka oh’ Indonesia yang cuba menyeludup masuk dibawa ke darat untuk diserahkan kepada pihak yang berkaitan.
Teringat cerita tentang mayat-mayat KKO disusun atas geladak KD Sri Perak pada tahun 1964…dan cerita tentang gangguan yang dialami krew selepas itu.
ABSM yang berdiri sebelah kanan memegang ’securing rope’…kami bertemu di KD Sri Rejang tahun 1972/1973. Masa itu, dia bertugas sebagai ’skipper’ LCM dan aku selalu tibai makanan dalam tin di LCM kendaliannya.
Pernah sekali aku cuba ‘berth’ kan LCM di jeti KD Sri Rejang. POSM XXX gelak sakan melihat aku kelam kabut main ‘throttle’…beroleng LCP sebelah kena gesel. Dan mujur juga jeti tak roboh.
Sedang mengetuk keyboard, aku teringat wajah-wajah suspens di parade ground KD Malaya apabila CO buat ‘clear lower deck’. Pengumuman yang dibuat oleh Captain CJ Weir (RN) menjawab tanda tanya - konfrontasi berakhir.
Namun, bot ronda seperti di atas terus meronda, siang dan malam. Dan aku rasa bangga kerana menjadi sebahagian dari anak kapal, dan dapat pula berkongsi cerita kehidupan kami era itu.
Related posts:
