kenangan mengusik jiwa ‘c’
AIMAN DALAM KENANGAN
Kalau Aiman tidak ditakdirkan pergi selamanya, hari ini genap usianya 64 tahun. Mungkin suratan atau kebetulan, dia bersemadi tiga tahun yang lalu di sebuah pusara tak bernisan. Yang tinggal hanyalah kenangan. Sebagai teman setia, tempat dia meluah rasa, kehilangannya amat terasa.
29hb Disember 1961. Hari ulang tahun Aiman ke enam belas.
Sudah hampir tiga bulan dia menghuni teratak usang seorang diri. Setelah ibunya berpindah mengikut suami (bapa tiri Aiman), dia menyara hidup dengan menoreh pokok getah tua di kebun peninggalan arwah bapanya.
Ketika orang lain menyambut ulang tahun kelahiran dengan doa selamat, Aiman bertafakur di masjid mencari arah. Sedang remaja lain membuat persiapan untuk meneruskan persekolahan yang akan bermula pada hari Ahad 7 Januari 1962, Aiman berada di persimpangan.
Mohd Rauf, kawan rapatnya semasa di tingkatan tiga tidak berjaya meneruskan persekolahan ke tingkatan empat. Berbekalkan sijil LCE gred ‘C’, kawannya diterima bekerja sebagai ‘field conductor’ di ladang getah berhampiran dan mempelawa Aiman untuk bekerja di tempat yang sama.
Keinginan untuk menamatkan zaman persekolahan dan berdikari tidak direstui dua insan yang paling rapat dengannya ketika itu…ibu saudara tunggal dan seorang nenek tua. Sebaliknya, dia disuruh berpindah ke rumah mereka yang lebih layak disebut teratak.
Dalam keterpaksaan, dia meninggalkan pondok beratap nipah bertiang bulat. Dua tahun Aiman menumpang kasih dengan ibu saudara yang serba kedaifan sedangkan ibu kandung masih se kampung. Aiman kembali ke rumah ibunya setelah tamat peperiksan Senior Cambridge, dengan parut di hati yang masih merah.
Betapa tidak, ketika ibunya mengejar rimbun, dia berteduh di dahan rapuh. Ada kalanya Aiman cuma hadir ke sekolah empat hari seminggu. Sehari lagi dia memikul tangga dari pohon ke pohon mencari dahan yang masih boleh ditoreh.
Begitu kukuh Aiman menyimpul kisah getir remajanya sehingga tidak seorang pun tahu. Aku yang begitu akrab dengannya cuma mengetahui setelah dia kecewa dalam cinta pertama.
Ketika meluahkan kekecewaan, barulah aku mengerti kenapa Aiman tidak pernah menyebut perkataan cinta malah berpendapat ‘jatuh cinta satu kesilapan’. Patutlah selama ini, tanpa rasa terkilan dia mencantas setiap tunas yang berputik di hati. Pun begitu, aku kurang pasti puncanya…adakah dendam yang terpendam atau perasaan curiga bahawa cinta itu hanya indah khabar dari rupa.
Aiman yang aku kenali lebih lurus dari bendul . Dia cukup takut terhutang budi. Seingatnya, dia tidak pernah meminta pertolongan orang lain. Tidak juga aku. Ketika pembahagian tanah arwah datuk dan neneknya, dia memulangkan bahagiannya kepada ibu saudara. Mungkinkah itu cara dia membalas budi?
Sebagai mengenang jasa saudara tua yang pernah membantu persekolahannya, Aiman menyerahkan kesemua tanah pusaka dengan pesanan “Abadikan untuk generasi akan datang”.
Biar hidup merempat asal jangan terhutang budi, itulah prinsipnya.
Dengan sedikit kemahiran, dia sering membantu kawan dan jiran membuat kerja-kerja remeh namun tidak pernah mengambil upah. Bila ditanya, dia hanya minta didoakan agar sihat berpanjangan. Tidak hairanlah Allah mengurniakan kesihatan ke akhir hayatnya.
Aiman menggemari puisi. Antara nukilannya yang masih ku ingat berbunyi::
Semalam yang ku rindukan
Desau ombak melakar pantai
Deru bayu membuai rasa
Dan seorang remaja
Tersedu di pintu sepi
Memohon keredaan
Meminta kesabaran
Hari ini yang ku inginkan
Kesyahduan dalam sujud yang pasrah
Siang menanti malam terpendam
Malam menunggu siang menjelang
Tabah meniti jalan pulang
Esok yang ku harapkan
Kepasrahan di hujung kembara
Dan seorang lelaki tua
Dalam samar lembayung senja
Mencari ketenangan
Memohon keampunan
Tika ku nukil nota-nota ini
Angin bukit menyisip masuk
Melewati jendela terbuka
Bisiknya didesir daun yang gugur
Aduhai
Betapa indah kalungan memori
Membalut segala mimpi bersama sepi
Related posts:
December 29th, 2009 at 9:49 pm
Siapa Aiman? Fiction atau salah satu karektor dalam menyusur denai.
December 29th, 2009 at 11:27 pm
siapakah aiman? tak pernah dengar nama ini sejak 30 tahun yang lampau