Lotus F1 - prolog dan epilog

 

“Kami akan memperoleh keuntungan ditahun pertama sepertimana syarikat kami yang lain” begitu yakin Dato Kamarudin Meranun dengan pasukan Lotus F1 yang baru dibentuk.

 

BMW, Honda dan Toyota sepatutnya meminta petua dari peneraju pasukan Lotus F1 Malaysia. Kalaulah mereka lakukan lebih awal, mungkin ketiga-tiga pasukan tersebut masih lagi berada di litar perlumbaan tahun 2010.

 

Atau Dato Kamarudin yang sepatutnya bertanya kepada BMW, Honda dan Toyota. Kenapa tiga jenama unggul dalam dunia permotoran mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat. Jangan sampai nantinya ada yang berkata “masuk mengaum, keluar mengembik”.

 

Dan tanda-tanda harimau menjadi kambing sudah mula terbayang.

 

Belum pun sampai dua bulan selepas kenyataan di atas, nadanya bertukar rentak “Apa salahnya meminta tajaan dari syarikat milik kerajaan seperti PETRONAS?” tanya beliau yang sebelumnya begitu lantang ‘memipis lada sedangkan burung masih berterbangan di angkasa’.

 

Memang tak salah kalau pasukan Formula 1 - yang dicanang meraih untung - kekal sebagai pasukan yang boleh berdiri dengan sendirinya. Yang membimbangkan apabila tidak sampai ataupun baru setahun jagung, ia sudah nazak dan memerlukan talian hayat dari kerajaan yang tentunya tidak akan teragak-agak menghulur tongkat demi melihat slogan “One Malaysia, People First Performance Now” terpampang gah ditempat strategik kereta Lotus F1.

 

Seandainya penyertaan dalam Formula 1 menguntungkan, sudah tentu nama-nama seperti Minardi, Spyker, Jordan, Jaguar serta puluhan yang lain masih kekal di litar lumba. Sehingga hari ini, hanya Williams, satu-satunya pasukan bukan pengeluar yang mampu bertahan. Malah, penyertaan pasukan Renault untuk musim tahun 2010 pun masih belum pasti.

 

Jika Williams F1 yang menjadi inspirasi Tony Fernandez, maka dia juga perlu mempunyai ciri ‘brutal‘ atau ‘ruthlessness’ Frank Williams. Contoh terbaik yang membuat dia digeruni ialah ketika Jenson Button memungkiri perjanjian untuk memandu kereta Williams pada musim 2006. JB terpaksa membayar 24 juta pound kepada FW untuk membatalkan kontrak.

 

Menurut kenyataan ketua pasukan Lotus F1, Tony Fernandez, 48 peratus dari sejumlah mereka yang mengambil bahagian dalam konference ‘online’ yang dikendalikannya percaya bahawa pasukan ini akan menjadi juara. Bila agaknya? Mungkin setelah Malaysia mencapai status negara maju pada tahun 2020 atau 21 tahun dari sekarang.

 

Kenapa 21 tahun? Itulah jangka masa yang diambil Ferrai, pasukan terunggul Formula 1, untuk merangkul kejuaraan pada tahun 2000 setelah kali terakhir melakukannya pada tahun 1979. Mampukah Tony Fernandez dan konco bertahan sedemikian lama?

 

Perlu diingat, untuk kekal dipersada permotoran Formula 1 memerlukan bukan sahaja sumber kewangan yang melimpah ruah tapi juga kebolehan mengadun keampuhan sumber maanusia dengan jentera yang mantap. Bolehkah Tony Fernandez melakukannya?

 

Sebagai permulaan, dia telah melantik Mike Gascoyne sebagai ketua pengarah teknikal.

 

Siapa Mike Gascoyne?

 

Walaupun beliau mempunyai kelulusan akademik dan pengalaman, tapi masih belum terbukti mempunyai sentuhan ajaib mengendali pasukan yang boleh menggegar litar. Dua kemenangan perlumbaan  (bukan kejuaraan) semasa bersama Jordan pada tahun 1999 dan hanya sekali ketika mengendali Renault pada tahun 2003 tidak boleh dijadikan kayu ukuran. Malah ia begitu kerdil dibanding dengan pencapaian Ross Brawn, Rory Byrne atau Adrian Newey.

 

Kalau sumber kewangan dijadikan alasan, kenapa ketika bersama Toyota, pasukan yang mempunyai bajet standing Ferrari, pasukan itu tak pernah sekali pun berada di tingkat teratas podium. Berbaloikah Toyota membayar USD 8 juta setahun untuk mendapatkan khidmat seorang pengarah teknikal yang hanya boleh dianggap sederhana? Tidak hairanlah, ikatan mereka bertahan hanya 27 bulan. Khidmat beliau bersama Spyker yang kemudiannya diambil alih oleh Force India juga berkhir sama seperti Toyota dan Renault. Ironisnya, pencapaian terbaik Force India berlaku setelah berpisah dengan pengarah teknikalnya.

 

Bagaimana gerangan pencapaian Lotus F1 dibawah kendalian Mike Gascoyne dan berapa lama pula dia boleh bertahan sebelum mengucapkan salam perpisahan atau diceraikan? Dapatkah dia mengembalikan zaman kegemilangan Lotus yang mencatat kemenangan terakhir pada tahun 1987?

 

Epilog duka yang terukir di batu nisan Lotus pada perlumbaan terakhir tahun 1994 di Australia begitu menyedihkan:

 

“Mika Salo bersara pada pusingan ke 49, Alessandro Zanardi pusingan 40, Johny Herbert pusingan 13.”

 

Sekiranya pasukan Lotus yang disuntik nafas baru menggunakan jentera Mercedez, Ferrari atau Renault, kita masih boleh menaruh harapan. Kalaupun tidak berada di tingkat teratas podium, setidaknya dapat juga mengelak dari menghuni petak belakang.

 

Apa yang diharapkan dari engine Cosworth yang akan memacu pasukan Lotus?

 

Dari tahun 2000 sehingga 2006, setiap pasukan yang mengguna-pakai enjin tersebut lebih banyak menghuni tempat tercorot.

 

Kenapa enjin Cosworth yang sudah lama meninggalkan zaman terbaiknya dijadikan pilihan?

 

Pasukan Lotus tidak mempunyai bajet mencukupi untuk melanggan Mercedez, Ferrari atau Renault. Dan seperti pengemis yang tidak punya pilihan, maka ambil sahajalah apa yang ada walaupun arif tentang episod duka yang bakal diwarisi.

 

Untuk mencapai kejayaan konsisten, adunan kereta dan pemandu amat penting. Sudahlah keupayaan Lotus F1 masih samar-samar, nama pemandu juga masih misteri. Kalau cakap-cakap di internet boleh dijadikan panduan, kemungkinan Lotus F1 akan menggunakan khidmat Jarno Trulli dan Fairuz Fauzy.

 

Siapa Jarno Trulli?

 

Bekas pemandu Toyota, pasukan yang baru ditalkinkan. Musim 2009, dia dibayar gaji sebanyak USD 6.5 juta. Apabila Toyota gulung tikar, dia menjanda dan diura-urakan bersedia menerima lamaran Lotus.

 

Apa pencapaiannya sehingga terliur Lotus untuk menyunting?

 

Kalau dikira dari segi usia (hampir 36 tahun) dia sudah layak dipangill ‘warga emas’(atau besi buruk) Formula 1. Sudah menyertai 219 perlumbaan namun hanya sekali mencapai kejayaan. Itupun di litar Monaco dimana peluang memotong amat tipis. Kalau diteliti rekodnya, dia hanya gah semasa ‘qualifying’  atau sessi kelayakan tapi mudah hilang tumpuan dalam perlumbaan.  

 

Siapa pula Fairuz Fauzy?

 

Kalau nak tahu pencapaian beliau, pergi ke Google dan Wikepedia.

 

Harapan saya agar Fairuz dapat merungkai serta mengerti maksud tersirat yang cuba disampaikan Alex Yoong semasa ditemu-bual oleh ‘F1 rejects’. Selepas itu ukurlah baju di badan sendiri.

 

Adakah epilog Lotus F1 akan berbunyi “Nazak di musim pertama. Diberi bantuan pernafasan oleh kerajaan. Atas desakan rakyat, talian hayat dihentikan. Maka bersemadilah ia dengan mulut ternganga dan mata terbuka”

 

Sama-samalah kita nanti dan lihat.

 

 

 


Related posts:

  1. F1 - Monte Carlo
  2. Menyusur Denai Ingatan - prolog
  3. Formula 1 - pusingan kedua
  4. Formula satu & satu Malaysia
  5. Formula 1 - ’sour grapes’

One Response to “Lotus F1 - prolog dan epilog”

  1. LOTUS IS PROTON Says:

    Pasukan F1 adalah satu rancangan Tony dan kuncu untuk mengambil duit dari Petronas.

    Mereka tak ada duit. Jadi mereka gunakan strategi dua serampang.

    1. Curi nama Lotus dari Proton untuk di masukan kedalam pasukan mereka kononnya. Mereka tak ada guna modal atau duit sendiri tapi ambil Lotus macam Lotus itu syarikat mereka.

    Sebenarnya Lotus adalah milik Proton yang dipunyai oleh rakyat Malaysia

    2. Bila ada team gunakan konsep 1Malaysia untuk dapatkan duit dari Petronas. Orang Najib yang tak bayar skolarship Petronas sudah di masukan ke dalam Lembaga PEngarah Petronas terdahulu supaya memaksa Lebmaga Petronas beri duit kepada team Tony dan Naza.

    3. Naza kereta dia dah tak laku kerana mahal.

    4. Naza dapat lagi projek 600 juta konon tak ada orang lain propose.
    Sebenarnya kerajaan tak mintak proposal..haha

Leave a Reply