menyusur denai ingatan IX
Seminggu berlalu begitu pantas.
Sedang aku tekun menatap ‘Jane’s fighting ships’, sebuah buku bersaiz majalah mengandungi butiran kapal-kapal perang tentera laut seluruh dunia, datang P.O. Blad memberitahu supaya mengikutnya menemui Cdr ‘T’. Seperti pertemuan pertama, jawapanku tetap sama. Menyedari pendirianku yang tidak mungkin berganjak, beliau mengajukan soalan tanpa ku ketahui maksud dan tujuan.
“I understand and respect your decision but just for the sake of asking, what course will you take if you are to accept the offer?” begitulah lebih kurang ayat yang diucapkan beliau.
“Radio Electronics Sir” jawapan yang membuat beliau tersenyum.
Setelah memberi nasihat dan sokongan moral, aku diizinkan keluar tanpa ditemani P.O. Blad. Aku terus menuju keperpustakaan untuk menyambung hobiku yang baru - mengumpul sebanyak mungkin pengetahuan berkaitan kapal dan peperangan yang berlaku diabad itu.
Sebaik sahaja tamat kursus ‘writer’ pada pertengahan bulan September, aku dan rakan-rakan berpindah ke dormitori ‘A 4’ tingkat 1 blok ‘A’ atau dikenali juga sebagai blok ‘ships company’. Apabila kembali berkursus pada awal bulan Januari, sepatutnya aku berpindah ke blok ‘B’ tapi mengenangkan ramai kenalan di blok ini, aku mengambil keputusan untuk tidak berpindah.
Enam orang dari kelompok ‘writer general’, Hamzah, Mustapha, Yusuf, Chua, dan seorang lagi berbangsa Cina yang aku sudah lupa namanya tapi masih ingat gelaran yang diberikan ‘cracko’. Kecacatannya bukan sahaja dilihat dari cara dia bercakap dan berjalan, tapi juga dari pekerti. Dia suka membuka seluar dan menunjukkan kemaluannya kepada sesiapa sahaja. Kami pun hairan bagaimana cara pemilihan diadakan sehingga maanusia yang ‘skrunya longgar’ boleh diterima. Mujurlah bapanya datang bertemu pegawai memohon pelepasan si anak, kalau tidak, entahlah. Selang tak berapa lama, dia diberi pelepasan atau pun ‘discarge’ dari TLDM.
Chua pula lain ceritanya. Walaupun sudah menyerahkan kad pengenalan awam, dia masih ada satu lagi kad pengenalan serupa. Mengikut ceritanya, dia membuat aduan kehilangan kad pengenalan lama sebelum memasuki TLDM sebagai persediaan untuk melarikan diri sekiranya tidak serasi menyarung pakaian seragam. Belum pun berakhir tahun 1965, Chua menghilangkan diri. Hingga aku meninggalkan TLDM 13 tahun kemudian, dia masih bebas. Nama dan gambarnya terpampang di ‘main gate’ KD Malaya sebagai ‘deserter’. Mungkin dia masih menyimpan kad pengenalan tentera ‘BAT C 10’ hingga hari ini sebagai kenangan.
Walaupun TLDM menyediakan dobi, namun Rahmat, Mustapha, Yusuf dan aku tidak menggunakan kemudahan itu. Kerana tak tahan dengan uniform yang selalu berbau masam apabila diambil dari dobi, kami memilih untuk membasuh sendiri.
Diwaktu itu, uniform dibuat dari bahan kapas dan terpaksa dikanji selepas dibasuh. Kain berkanji akan berbau masam kalau tidak cukup kering. Maka itu, kami membasuh, menganji dan menggosok sendiri.
Petang Sabtu kami akan merendam dalam baldi 6 gelen dan ketika bilik air masih kosong diawal pagi berikutnya, kami berempat sudah sibuk membasuh, menganji dan menjemur di tingkat paling atas blok ‘A’.
Suatu pagi Ahad, sedang kami duduk berbual, datang seorang ‘senior’ kaki buli, ‘Able Writer Pay’ Leong memarahi aku kerana kononnya telah membuatkan bilik air basah sedangkan setelah siap membasuh aku sudah mengeringkan bilik air dengan ‘squeegee’. Berdesing juga telinga apabila dimarahi di hadapan kawan-kawan.
Ketika aku cuba berdiri, dia menerajang dengan tendangan ala Tae Kwan Do. Mujur juga aku sempat menepis kalau tidak sengal telur dibuatnya. Tendangan pertamanya masih belum menghilangkan kesabaranku. Aku bersabar bukan bermakna takut. Yang aku takuti hanyalah diriku sendiri. Aku benar-benar berharap agar dia tidak mengulangi sikap aggresifnya.
Terjahan kedua membuatkan kelelakianku tercabar. Pun begitu, aku tidak tergesa-gesa bertindak dan masih sempat menanggalkan jam tangan ‘Rado’ otomatik lalu mencampakkan ke atas tilam. Maka berlakulah apa yang aku tidak ingini. Setelah dia meraung sambil tercangkung memegang mata, barulah ada orang yang meleraikan. Lepas itu ramai senior yang mengucapkan tahniah kerana selama ini tidak ada yang berani melawan kaki buli di blok ‘A 4’ ini.
Perselisihan faham berpunca dari membasuh sendiri pakaian tidak berakhir di situ. Minggu berikutnya, ketika aku naik untuk mengambil jemuran, pakaian yang ku jemur tiada di situ. Kelam kabut dibuatnya. Mujur ada kawan memberitahu, ketua keseluruhan Blok ‘A’. Leading Seaman Mat ‘kepala batu’ yang mengambilnya.
LRSM Mat ‘kepala batu’ memang garang orangnya. Kalau dia tersenyum mungkin boleh hujan seharian. Renungan matanya sahaja boleh membuat orang yang lemah semangat diserang sakit jantung. Kalau ada pilihan, aku pun tak mahu berhadapan dengan dia.
Dengan rasa gementar dan langkah longlai, aku memberanikan diri. Sambil menurun tangga menuju dormitori A1, aku cuba mencari kata-kata yang mungkin boleh melembutkan hatinya. Ucapan selamat petang disambut dengan sergahan. Fuh, teruk juga nak ajak karektor begini berbincang.
Setelah percubaan berlembut untuk mendapat balik uniform yang diambilnya menemui jalan buntu, aku tiada pilihan lain kecuali berkeras. Bila iblis sudah menguasai, rasa takut dan hormat hilang serta merta. Apa yang terkeluar dari mulut sudah tidak dapat dikawal hinggalah timbul cabar mencabar.
“Kau tak tau kenapa orang panggil aku Mat kepala batu” herdiknya untuk menakutkan.
“Peduli apa dengan gelaran tu. Belum masuk navy pun kerja saya pecah batu” jawap ku selamba sehingga ‘penonton’ tergelak.
Setelah gagal menakutkan aku dengan sergahan, dia mengajak bermain pisau. Cabarannya ku sambut.
“Leading boleh bawa berapa banyak pisau pun, saya tak peduli. Dengan tangan kosong saya boleh bunuh orang. Ini anak Banjar tau?” sambil aku menunjukkan buku lima dan lengan yang berurat-urat kerana teruk bekerja sejak kecil di kampung. Walaupun jawapan itu macam bongkak dan yakin, tapi sebenarnya aku pun rasa takut. Orang macam ini boleh bertindak di luar dugaan.
Setelah aku tidak mengalah dalam dialog atau pertengkaran, dia mengajak aku naik ke tingkat paling atas bangunan yang tidak berbumbung. Aku mengikut jauh di belakang diiringi puluhan penghuni blok ‘A’ yang ingin menyaksikan kesudahan drama Tamil petang itu.
Dalam remang senja, dia mengajak aku kesatu sudut jauh dari pendengaran ‘penonton’. Rasa takut ada, cemas pun ada. Betapa tidak, kalau tiba-tiba dia keluarkan pisau, tak kan aku nak lari. Mana nak letak muka setelah cakap berdegar-degar ‘boleh bunuh orang tanpa senjata’.
Antara percaya dengan tidak, nada suaranya sungguh mengejutkan. “Kenapa awak lawan dan malukan saya depan orang?”. Lembut dan sayu ayat yang keluar dari mulutnya.
“Bukankah ‘leading’ yang mulakan. Saya minta dengan baik uniform tu tapi leading sergah saya dan tuduh saya yang mematahkan ‘lightning conductor’” jawabku dengan nada yang sama lembut.
Sekali lagi aku terperanjat apabila dia menghulur tangan meminta maaf. Bertambah sayu aku dibuatnya. Seorang senior yang terkenal dengan kebengisan bertukar menjadi seorang insan yang mempunyai perasaan. Sambil menyambut salamnya, dadaku terasa sebak dan air jernih bergenang di kelopak mata.
Semasa menurun tangga untuk mengambil uniform yang disimpannya, ABEM Aziz ‘Mat Kampar’ M9XX memaut bahuku sambil bertanya “Ilmu apa yang kau guna sehingga batu pun boleh cair?”
Tidak ada ilmu melainkan keberanian berpaksikan kebenaran.
Setelah mengambil uniform yang disimpan Mat ‘kepala batu’, aku kembali ke dormitori, dan bergegas ke bilik air mengambil wuduk. Dalam kesyahduan sujud yang pasrah, aku memohon agar dijauhkan dari kejadian serupa.
Syukurlah kerana ia merupakan kali terakhir aku berselisih faham sepanjang tempoh perkhidmatan.
Related posts:
December 15th, 2009 at 9:47 am
Please continue with your story as it brings back sweet old memories…Keep up the good work as it takes alot of time and patience to accomplished it.
Best Regard
i
April 1st, 2011 at 4:48 pm
satu memori yang manis tidak dapat dilupakan bagi orang-orang seperti aku. minta tolong sms tel no.untuk saya berkenalan dengan anda.sekian terima kasih.yang ikhlas Armien