menyusur denai ingatan LIII
Membaca komen dan luahan pendapat antara saudara Ali Ahmad dan Ex Projek Team Laksamana Corvette, saya rasa terpanggil berkongsi pandangan berdasarkan pengalaman.
Saya pernah menulis tentang pegawai-pegawai SD (Special Duty) bertajuk ‘RMN - mystery of the decade’, dan mengkagumi kebolehan Cdr Wahid Anang sebagai CO kapal.
Saya pernah bertugas dan saling mengenali Cdr Wahid Anang, CO pertama KD Sri Langkawi (Ex Hunterdon County).
Oleh kerana KD Sri Langkawi adalah kapal pertama mengguna-pakai peralatan elektronik USA, dan saya sebagai LRRM yang masih bujang menghabiskan banyak masa – diluar waktu kerja - di COMCEN, Chart House dan Bridge bukan sahaja membaik-pulih peralatan uzur tapi juga memahami dan belajar selok belok sistem kapal. Bermula dari situ, nama PORM (ketua Radio/Radar) dan seorang lagi LRRM tenggelam, seolah-olah hanya seorang sahaja mekanik radio yang wujud di KDSL.
Masa muda, Cdr Wahid adalah seorang peninju yang digeruni kerana memiliki tumbukan padu ala Mike Tyson.
Sebagai seorang bekas peninju, maka minatnya terhadap sukan itu tetap membara. Awal tahun 1972, dia menubuhkan pasukan tinju KDSL untuk menyertai pesta tinju tahunan TLDM. Di bawah bimbingan PORS Lingham (juga bekas peninju), setiap pagi kami berlatih di ‘tank deck’ KDSL. Akhirnya, tahun itu pasukan kami dinobatkan juara keseluruhan.
Hubungan CO dan saya semakin akrab – macam anak emaslah katakan.
Suatu malam, sedang kapal berlabuh berhampiran Pulau Tioman, saya naik ke atas geladak tanpa baju (berlengging). CO yang secara kebetulan juga berada diatas geladak terus memanggil nama saya, “…Mana baju?” dia bertanya.
“Panas tuan” saya memberi alasan.
“Saya bukan tanya kenapa tak pakai baju, saya tanya mana baju” dia mengulangi. Mungkin kerana marah sebab saya memberi jawapan salah dia terus menghukum “Sekarang juga kamu pakai ‘sixes’ dan jumpa saya di kabin.”
Fuh, jam sembilan malam kena pakai ‘ceremonial dress’ dan menghadap CO. Sudahlah di bawah geladak berbahang (aircond uzur), kawan-kawan pula ketawa terbahak-bahak.
“Kan ‘smart’ macam ni” dia memuji, mungkin untuk menurunkan suhu yang menggelegak dalam kepala. “Lain kali, jawab dengan betul soalan saya”.
Balik ke mes, saya terfikir “betul juga kata CO, dia mahukan jawapan bukan alasan”.
Insiden itu telah lama berlalu, tapi kesannya cukup mendalam. Secara tidak langsung dia mengajar saya erti kesama-rataan. Walaupun dia dan pegawai bawahannya mengenali saya lebih dari yang lain, tapi kalau buat salah, dia tak pilih bulu.
Minggu lalu, ketika singgah di rumah kawan untuk mengambil gambar-gambar yang telah dan akan saya ‘uploadkan’, kami sempat bercerita tentang Cdr Wahid. Sambil menceritakan insiden kena pakai sixes, saya meluahkan pendapat.
“Aku cukup respek dia kerana keadilan dan ketegasan. Sepanjang yang aku tahu, dia tak pernah pilih kasih. Berapa orang pegawai SD kokak yang dikaitkan dengan Cdr Wahid?” Aku bertanya balik kepada teman lama seangkatan.
SD kokak? Seorang lagi Commander seangkatan dengan beliau yang memiliki sifat ala Cdr Hyde Smith - mengangkat ‘brother-brother’ untuk ditauliahkan. Teman saya ini bercerita bagaimana seorang POWP mengadu kepadanya tentang Cdr tersebut memaksa dia menerima tauliah walaupun dia gagal dalam peperiksaan.
Berbeza dengan Cdr Wahid - beliau menilai kebolehan orang bawahan dengan perspektif jelas. Seperti kata pepatah ’sekilat ikan di air, dapat dikenal jantan betinanya’. Dan beliau tidak mencari populariti dengan cara yang boleh memudaratkan TLDM.
Itulah persepsi saya - yang pernah menjadi mangsa (sebenarnya bukan mangsa) dan belajar dari ketegasan beliau.
Related posts:
April 26th, 2010 at 9:47 am
Jasa nya terhadap KD MALAYA amat disanjungi. Pernah juga ‘kena’ dengannya tapi yang penting memberi salam ketika lapor diri.
April 26th, 2010 at 12:56 pm
“…tapi yang penting memberi salam ketika lapor diri.”
Lupa nak sebut…orangnya waraq. Kalau tak silap, Cdr Wahid Jawa atau Banjar Batu Pahat.
‘Kena’? seronoknya dengar Tuan Zaman pun kena juga. Ingat saya hanya rating macam saya yang kena.