menyusur denai ingatan VII

Mungkin ada hikmah disebalik keputusan aneh itu?

Selang seminggu, aku dipanggil lagi.

Keputusan untuk bertukar cawangan mendapat kelulusan. Aku diarah menemui senior instructor officer (SIO) Lt Mui Sam Loong. Ada tiga orang yang memohon termasuk dua orang keturunan Cina.

Kami dikehendaki menduduki peperiksaan matematiks dan fisik dan diberi tempoh seminggu untuk mengulangkaji. Mungkin kerana cukup persediaan, aku tidak menghadapi masalah untuk lulus cemerlang. Malah, Lt Mui sendiri terperanjat kerana aku memperolehi markah penuh untuk matematiks dan cuma kurang dua peratus untuk fisik. Dua orang lagi gagal.

Pengambilan fasa ketiga bulan September akan tamat latihan pada bulan Disember. Kelas ‘basic electricity’ akan bermula pada 3hb Januari tahun berikutnya. Sementara menunggu tarikh penghijrahan, aku meneruskan tugas-tugas di pejabat rekod di bawah penyeliaan POWG Mokhsin - ketua yang diserap dari RMNVR dan sentiasa bermuka masam. Jauh berbeza dengan Chief Amir, ketua keseluruhan pejabat di Admin Block.

Yusuf Putih, kawan seangkatan dan sepejabat, gemar menyelongkar fail-fail peribadi laskar. Kerana sifat ingin tahu inilah dia terbuka dua fail peribadi berkaitan insiden penting yang berlaku sebelum kami menjejakkan kaki di KD Malaya. Kami sama-sama meneliti butiran yang tercatit.

Pada tahun 1963, TLDM atau RMN ketika itu mula membawa  balik bot ronda (patrol craft) dengan belayar dari England ke pangkalan di Woodlands. Orang Inggeris sendiri pun kagum bagaimana kapal yang beratnya lebih kurang seratus tan dan panjang sekitar 31 meter boleh belayar melalui ‘Bay of Biscay’ yang terkenal dengan gelora laut dan gelombang ganas.

Semasa belayar melewati Lautan Hindi, cook atau tukang masak salah sebuah bot ini telah hilang. Pada zahirnya, kehilangan tersebut dicerminkan sebagai ‘terjatuh’ tapi cerita dari kawan-kawan sekapal mengatakan dia membunuh diri dengan terjun ke laut.

Setelah membaca surat-surat yang dihantar laskar ini kepada keluarganya di kampung, ternyata dakwaan kawan-kawan sekapal ada asasnya. Kehidupannya sejak di UK lagi sudah tersiksa. Pegawai Laksana (XO) berbangsa Melayu berasal dari Negeri Sembilan selalu menderanya sejak kapal masih berada di limbungan. Setelah belayar, keadaan semakin teruk. Tak cukup dengan arahan membersih ‘galley’ dan kawasan sekitar ketika kapal sedang bertarung mengharung ombak, maki hamun pula menjadi santapan telinga. Dalam suratnya, dia memberitahu keluarga, “daripada terus hidup terseksa, lebih baik mati”.

Mulanya, sukar jua percaya kalau tidak melihat sendiri pekerti pegawai berkenaan. Suatu hari, kapal ronda kami sama-sama bertambat di Port Dickson. Mungkin Allah ingin menunjukkan kepada kami tentang peribadi pegawai memerintah (CO) bot ronda ini atau mungkin juga Allah ingin menunjukkan kepadaku bahawa apa yang pernah ku baca di pejabat rekod dulu bukan rekaan.

Ditakdirkan, ibunya datang untuk bertemu anak yang mungkin entah bila kali terakhir dijengahnya. Tidak menjemput ibu untuk naik ke kapal taklah menghairankan. Membiarkan ibu menanti di jeti pun masih dikira OK. Tapi membiarkan ibu menjinjing dua buah bakul dengan kepayahan dan anak jalan berlenggang di sisi ketika sama-sama berjalan meninggalkan jeti…jenis manusia apakah orang ini? Apakah akan turun martabat seorang pegawai kalau membantu ibu yang bersusah payah menemui anak, mungkin untuk melepas rindu? Entahlah. Melihat peristiwa itu, teringat pula kisah Nakhoda Tanggang.

Penubuhan Malaysia mendapat tentangan dari negara jiran Indonesia. Dan Filipina. Presiden Soekarno melabelkannya sebagai ‘neo kolonialisma’ atau penjajahan bentuk baru. Dan mengisytiharkan manifesto meng ‘ganyang’ Malaysia.

Susulan daripada pengisytiharan itu, ramailah komando-komando Indonesia yang lebih dikenali dengan gelaran (ka ka o) menyeludup masuk sama ada menerusia udara atau laut. Yang terpopular ialah Lt Soedjipto yang ditawan oleh askar Malaysia di Johor pada tahun 1964.

Di laut pula, pertembungan antara bot ronda KD Seri Selangor dan KD Seri Perak dengan bot laju komando-komando Indonesia mengorbankan seorang laskar bernama Abdul Samad yang berasal dari Batu Pahat. E.M. atau electrical mekanik Samad ialah abang kepada R.M. atau radio mekanik Abdul Aziz. Walaupun abangnya terkorban ketika bertugas, itu tidak menghalang si adik untuk berkhidmat dengan TLDM.

Kenapa Abdul Samad terbunuh? Di atas kapal ronda, semua anak kapal ada tugas masing-masing. Dalam keaadaan ‘action station’, tempat mekanik elektrik dan radio adalah di ‘bridge’. Dan E.M. ditugaskan mengendali ’spot light’ manakala R.M. pula mengendali ‘machine gun’ atau pada masa itu cuma HBSLR (heavy barrel self loading rifle). Target atau tumpuan KKO tentunya memadamkan spot light yang bukan sahaja menyilaukan mata mereka tapi juga membuatkan mereka tertedah kepada tembakan senjata anak-anak kapal.  

Membaca laporan rasmi kadangkala mengelirukan. Mendengar cerita dari anak kapal yang berada di ‘bridge’ ketika kejadian lagi mengelirukan. Umum difahamkan bahawa C.O. KDSS mengambil tindakan merempuh bot yang sedang memuntahkan peluru ke arah KD Seri Selangor. Anak kapal pula mengatakan C.O. tergamam, mencangkung ketakutan ketika bridge dihujani peluru. Pegawai laksana atau X.O. keturunan Cina yang tenang mengawal keadaan. Dialah yang bertanggung jawab mengubah kedudukan throttle dari neutral ke astern atau reverse dan merempuh bot tersebut. Akhirnya, semua komando Indonesia menemui ajal.

Kerana tiada kemalangan jiwa di KD Sri Perak, maka ia ditugaskan mengambil mayat-mayat di laut dan disusun di buritan untuk dibawa ke darat.

Untuk beberapa tahun selepas kejadian, ramai krew yang meremang bulu roma jika berada pada waktu malam di sekitar ‘Y’ gun atau meriam di buritan KD Srri Perak. Ramai yang ternampak kelibat orang dan ada pula yang menepuk bahu tapi bila ditoleh, orangnya tak kelihatan.

Entah betul entah tidak tentang cerita lembaga di buritan kapal Sri Perak atau cerita tentang gelagat C.O. di ‘bridge’ Sri Selangor, aku pun kurang pasti. Yang pasti, aku mendengar sendiri dari mulut mereka yang pernah bertugas di Sri Perak. Aku juga mendengar sendiri dari mulut anak kapal yang sebangsa dengan C.O. dan berada di ‘bridge’ ketika Sri Selangor dihujani peluru.

Andainya betul, maka terbuktilah kebenaran pepatah Melayu “lembu punya susu, sapi dapat nama”.


Related posts:

  1. menyusur denai ingatan XXXVIII
  2. menyusur denai ingatan LI
  3. menyusur denai ingatan XXI
  4. menyusur denai ingatan XXII
  5. menyusur denai ingatan XXIII

3 Responses to “menyusur denai ingatan VII”

  1. susulembu Says:

    lembu punya susu sapi dapat nama?

    kalau tak silap co kds tu orang india kan NAMA NETTUR. dalam internet ada omputih tulis pasal dia. camno dia bodek sampai omputih puji dia semacam. tapi tak heranlah sebab bangsa ni memang pandai ampu

  2. qdc Says:

    Kami dikehendaki menduduki peperiksaan mathematiks dan fisiks dan diberi tempoh seminggu untuk mengulang-kaji. Mungkin kerana cukup persediaan, aku tidak menghadapi masalah untuk lulus cemerlang. Malah Lt Mui sendiri terperanjat kerana aku memperolehi markah penuh untuk matematiks dan cuma kurang dua peratus untuk fisiks. Dua orang lagi gagal.

    Pengambilan fasa ketiga bulan September akan tamat latihan dibulan Disember. Kelas ‘basic electricity’ akan bermula pada 3hb Januari tahun berikutnya.

    After the “Basic Electricity class Examination” Ali attended the “REM” course. He left the RMN as an officer (CPORM) and worked with Redifusion at KL.

    I left the RMN as CPOEM in 1977 (ROD 1978)

  3. xcman93 Says:

    x co kds ceritanya laksma sebelum berenti, kini menetap di negara kangaroo. terbacak dalam google book karangan aust officer

Leave a Reply



How To Write Letter
bystolic drugviagra