menyusur denai ingatan VIII
Petang Jumaat 31hb Disember, ketika menemui Chief Amir dan Leading Writer Mustafa untuk mengucapkan terima kasih atas tunjuk ajar mereka selama 3 bulan bergelar ‘writer’, sempat juga Chief Amir mengusik “tak rindu ke nanti dengan Engku Zahrah ni?”, usikan yang membuat air mukaku berubah. Apa yang nak dirindukan, bertegur sapa pun tak pernah. Ada juga sesekali teringin menegur, tapi lidah kelu fikiran buntu.
Kalaulah mereka tahu insiden waktu aku masih bergelar rekrut, pasti boleh dijadikan modal usikan seterusnya.
Suatu malam, sedang aku minum air berhampiran stesen bas JB (berhadapan stesen KTM), datang Jamaludin diiringi tiga orang teman wanitanya. Dia memperkenalkan seorang demi seorang dan aku yang masih pekat dengan adatsusila kampung cuma mampu menganggukkan kepala sambil melontarkan senyuman hambar. Entah kenapa, seorang dari mereka menghulurkan tangan untuk bersalaman. Aku tergamam, dan tidak menyambut salam perkenalan gadis itu. Dengan tangan masih memegang cawan minuman, tanpa disengajakan terkeluar dari mulut perkataan “Tak payahlah Din” sambil memalingkan pandangan ke arah Jamaludin. Sangkaan insiden itu berlalu begitu saja tidak jadi kenyataan. Tanpa ku duga ia menjadi bahan kutukan rakan dormitori. “Jual mahal” konon.
Pagi Isnin 3hb Januari, kami berkumpul di hadapan ‘I’ block atau blok latihan sebelum diarah masuk ke bilik kursus untuk memulakan pelajaran ‘basic electricity’.
Lt Mui Sam Loong, instructor kami yang pernah mewakili negara dalam acara menembak di Sukan SEA mempunyai cara mengajar tersendiri. Walaupun ada yang tak serasi dengan caranya, tapi pada pendapatku, dia memang berkebolehan. Selama lima minggu dia gigih menurunkan ilmu kepada kami.
Cara dia mengajar membuatkan kami tidak boleh leka. Selang dua atau tiga ayat, dia akan membuat ayat tergantung untuk menguji tahap tumpuan dan pemahaman kami. Hampir keseluruhan ayat tergantungnya dapat ku sempurnakan sehingga namaku kekal dalam ingatannya walaupun beliau sudah tidak lagi berkhidmat dengan TLDM.
Ketika aku dan Soo Man Joy M15XX dipilih menyertai seminar di sebuah hotel di Singapura sekitar tahun 1975, beliau sempat memperkenalkan aku kepada jurutera Amerika yang memberi ceramah “He was my best student” compliment yang membuat aku serba salah. Semasa menghulurkan ‘name card’, beliau menyaran “call me once you leave the RMN”.
Di hujung minggu kelima, kami menduduki peperiksaan yang menentukan siapa akan terpilih mengikuti kursus Elektronik, Elektrik atau tersingkir.
75 peratus adalah kelayakan minima untuk meneruskan kursus dalam bidang Elektronik manakala bidang Elektrik memerlukan antara 50 hingga 74 peratus.
Pening kepala Lt Mui memikirkan bagaimana kursus Radio Elektronik dapat diteruskan kerana yang layak cuma dua orang. Kawan karibku, Mah Tsung Kee M22XX mendapat sekitar 78 peratus dan aku melebihi 90 peratus. Mujurlah senior I.O. ‘General’, Lt Veerasingham (one armed swordsman) sanggup mengubah cara pemilihan berdasarkan lima teratas. Akhirnya, kelas elektronik dapat juga diteruskan dengan penyertaan Ng, Lim Teik Seng dan Alaudin.
Dari hampir tiga puluh orang yang mengikuti kursus ‘Basic Electricity’, lima orang dipilih untuk pengkhususan Elektronik, dua belas orang Elektrik dan selebihnya diserahkan kepada pentadbiran pusat latihan. Ada yang diserapkan ke kursus kejuruteraan mekanik, kelasi, tukang masak dan yang ada rupa ke steward atau tukang saji pegawai.
P.O. Blad dari Royal Australian Navy merupakan instructor kami. Minggu pertama rasa sukar untuk memahami patah kata perkataan yang terkeluar dari mulutnya kerana lidah Australianya begitu pekat. Namun, aku seronok mengutip ilmu di bawah tunjuk ajar beliau.
Thermionic emission merupakan subjek pertama yang diajar. Ia berkaitan penghasilan elektron dari logam yang dipanaskan. Lepas seminggu, kami diuji. Instructor mengumumkan keputusan ujian bermula dengan pelajar yang mendapat peratusan terendah sehingga yang tertinggi. Suspens juga rasanya apabila instructor menyebut nama dan meminta kami meneka. Aku sendiri macam tak percaya ketika P.O. Blad memberitahu markah yang diperolehi (99 peratus) sedangkan pencapaian teman-teman lain di bawah 85 peratus.
Amplifier merupakan subjek kedua yang diajar. Kami belajar tentang Class A, B, C dan push-pull amplifier. Peperiksaan kali ini membuat P.O. Blad serba salah. Hendak diberikan 100 peratus macam tak munasabah, hendak dikurangkan, tak dapat mencari di mana cacatnya. Akhirnya, instructor membawa kertas jawapan kepada pegawai tertinggi pusat latihan yang dikenali dengan gelaran Commander ‘T’. ‘T’ adalah singkatan untuk teknikal. Seorang pegawai bertubuh gempal yang dipinjamkan dari Royal Australian Navy.
Ketika diarah menemui Cdr ‘T’, degupan jantung begitu pantas. Aku tak tahu punca kenapa tiba-tiba dipanggil kerana instructor tidak memaklumkan. Sebaik masuk ke pejabat beliau, aku terlihat kertas jawapan di atas meja. Hati kecilku bertanya, “Apa silapnya, adakah beliau menganggap aku meniru?”.
Mungkin kerana terbaca keresahan yang terukir di wajah, lantas beliau melontarkan senyuman dan memintaku bertenang. Sambil menceritakan bagaimana instructor berasa serba salah untuk menanda kertas jawapan yang sempurna dengan fakta dan olahan ayat tersendiri, beliau berkata “Son, I think you are wasting your time in this class”. Debaran yang semakin pantas turun sedikit setelah beliau menyambung “I want you to join the artificer apprentice class at HMS Terror…” sambil menjelaskan kemudahan kenaikan pangkat di samping kemahiran yang bakal diperolehi.
Dalam kelegaan, hati kecilku sudah ada jawapan. Lima tahun ulang alik naik trak tiap pagi ke HMS Terror dan otomatik jadi P.O. pada tahun kelima…ahh mana mungkin aku sanggup menunggu begitu lama untuk menjadi pelaut.
“Sorry sir, I am not interested” jawabku ringkas.
“Why, any reason?” dia bertanya kehairanan.
“I want to go to sea as soon as possible”
Melihatkan aku berdegil, Cdr ‘T’ berlembut. Beliau memintaku memikirkan semasak mungkin.
“I don’t want your answer now. You come and see me again after one week” sambil dia mengalih pandangan kepada PO Blad, dia meminta instructor memberitahu ‘parade officer’ supaya mengecualikan aku dari menyertai rombongan perbarisan ke KL. Aku tak ingat apa sempenanya.
Hampanya. Berminggu berlatih kawad bersenjata tiba-tiba tak dapat makan angin. Ketika kawan-kawan sekelas pergi ke KL, aku tinggal seorang diri di ‘I’ Block menunggu tarikh temujanji dengan Cdr ‘T’.
Rupanya ada rahmat tersembunyi disebalik setiap kejadian. Disebabkan tidak ada kelas selama hampir dua minggu, aku mula berjinak dengan perpustakaan TLDM. Ketika itulah timbul minat membaca setiap buku berkaitan perang khususnya perang di laut.
Dengan membaca dan memahami secara terperinci intipati buku-buku itulah aku mengerti tentang kekuatan dan kelemahan Lord Nelson, Admiral Togo, Isoroku Yamamoto, Fletcher, Nagumo, Guderian, Rommel serta puluhan lagi tokoh-tokoh hebat perang di laut, darat dan udara. Tanpa membaca, tidak mungkin mengetahui seluk belok ‘Battle of the Atlantic’, ‘Battle of Midway Islands’, ‘Battle of the Bulge’…terlalu panjang untuk disebut satu persatu.
Related posts:
December 13th, 2009 at 2:14 am
good blog : http://securemalaysia.blogspot.com/2009/01/register-of-rmn-active-list-ships_14.html
December 15th, 2009 at 8:00 pm
suka baca cerita lama - terima kasih