menyusur denai ingatan X
Selama dua minggu menunggu kepulangan kawan-kawan dari perbarisan di KL, tidak kurang dari tiga buah buku hardcover ku langsaikan. Cerita yang paling aku minat ialah peperangan di laut, khususnya perang dunia kedua.
Pada mulanya minatku hanya untuk mengetahui siluk biluk taktikal yang membawa kepada kemenangan atau kekalahan, tapi lama kelamaan penghayatan membuatku terasa seakan berada di tempat kejadian. Tak cukup setakat ingin tahu, benakku pula sudah mula boleh berfikir dan mengkritik.
Paling ku persoal ialah tindakan Admiral Nagumo yang enggan memberi pertimbangan terhadap cadangan orang bawahan - Wing Commander Mitsuo Fuchida - agar membuat serangan ketiga ke atas Pearl Harbour. Sudahlah kapal induk aircraft carrier US Pacific Fleet tidak terusik, kemudahan di darat pula tidak dimusnahkan. Ketika pertempuran di Midway Islands, Nagumo juga teragak-agak sehingga menyebabkan kehilangan empat buah aircraft carrier di bawah kendaliannya. Suatu insiden yang menjadi titik tolak kekalahan Jepun dalam perang dunia kedua.
Apabila kawan-kawan balik dari KL, masing-masing membawa cerita tersendiri. Terlopong mulutku mendengar. Semua rasa bangga dengan sambutan orang awam terhadap TLDM. Pakaian sixes dengan collar berwarna biru terjuntai lebar di belakang, tali putih dan riben hitan tersimpul kemas di hadapan, fuh, macam perasan pula.
Kelas elektronik dan elektrik diteruskan lagi. Masih ada dua puluh enam minggu sebelum kursus kami berakhir.
Dalam pada itu, ada seorang pelatih di kelas elektrik bernama Napis yang selalu meminta talian hayat kerana sering keputusan duit. Dia berasal dari Melaka. Orangnya berbudi bahasa tapi fiusnya tersangat pendek. Tangannya lebih pantas dari otak. Kalau tak silap, dia dapat nama jolokan ‘anak setan’.
Gaji kami semasa rekrut hanya enam puluh ringgit sebulan. Apabila tamat latihan fasa kedua, gaji dinaikkan kepada lapan puluh ringgit. Kerana aku telah pun tamat latihan sebagai writer, maka gaji ku lebih dua puluh ringit dari kawan-kawan yang sama-sama masih belajar.
Ketika itu, gaji dibayar separuh di pertengahan bulan dan separuh lagi di hujung bulan. Dengan gaji sebanyak itu, aku dapat menghantar ke kampung sebahagian dari yang ku peroleh. Yang selebihnya diguna untuk membeli keperluan sendiri
Baju jenama ‘Janus’ berharga sekitar enam ringgit cukup terkenal ketika itu. Boleh pula dibeli secara ansuran. Seluar ditempah di kedai jahit ‘Charlie Chan’ yang berniaga berhampiran dobi KD Malaya. Kalau sesekali teringin makan roti canai, berbekalkan duit lima puluh sen pun sudah boleh sendawa kekenyangan di warung mamak Woodlands. Betapa tidak, tambang pergi-balik naik bas ‘Admiralty’ cuma sepuluh sen. Tiga keping roti canai dan segelas teh hanyalah empat puluh sen.
Walaupun begitu, ekonomi Napis selalu sahaja dalam defisit. Dua atau tiga hari lepas gaji, poketnya sudah kosong.
Kalau dikira, tiga puluh atau empat puluh ringgit untuk setengah bulan memang mencukupi. Makan dan minum sudah tersedia asalkan sudi menjadi tetamu galley memanjat tangga empat kali sehari. Tapi kalau pukul tujuh baru nak celik mata, mandi dan memakai uniform, mana sempat hendak pergi sarapan. Sudahlah malas nak bangun pagi, hidangan di galley kononnya tidak menyelerakan.
Aku pula sejak hari pertama menjejakkan kaki, boleh dianggap sebagai pengunjung paling setia galley KD Malaya sehingga waktu minum petang sekitar jam empat, aku pun tidak mahu melepaskan peluang walaupun kadang kala hanya terdapat secawan teh atau kopi.
Mengimbau cerita tentang galley, teringat pula suatu insiden di antara Salih ‘gila’ dengan senior bernama Yusuf yang mempunyai susuk tubuh kurus dan tinggi lampai. Ketika kami beratur menunggu giliran makan tengah hari, tiba-tiba datang Yusuf masuk mencelah di hadapan (potong queue). Apa lagi, Salih pun keluar dari barisan dan terus masuk di hadapan Yusuf. Cari pasal. Dalam kejadian tolak menolak, terpacul kata-kata yang kekal dalam kenangan.
”Hormatlah sikit dengan senior. Dah enam tahun aku dalam navy” herdik Yusuf dengan bangga.
”Tak usah berlagak kalau enam tahun pun masih baboon lagi” Jawab Salih dengan nada yang tidak kurang tingginya.
Mujurlah kejadian itu dapat dileraikan oleh leading cook yang bertugas. Kalau tidak, besar kemungkinan Yusuf bakal menghuni sick bay dengan mulut terkunci.
Sudah suratan atau kebetulan, gelaran baboon yang bermaksud ‘prebet’ kekal menjadi hak milik Salih sepanjang dia berkhidmat dengan TLDM. Bukan sahaja gelaran itu kekal, malah Salih adalah orang pertama dari batch kami yang membuka topi ‘off cap’ di ‘quarterdeck’ sebelum diberi cuti ‘sembilan puluh hari’ di ‘Batu Cantonement’ Kuala Lumpur.
Apabila dia balik semula ke KD Malaya tiga bulan kemudian, kami terkejut melihat perubahan ketara fisikalnya. Walaupun kelihatan cergas, tapi kulitnya yang cerah sudah menjadi gelap, kepala botak dan muka pula cengkung.
Dalam jenaka dia bercerita bagaimana dihari pertama RSM (regimental sergeant major) menunjukkan kuasa seolah-olah memaksa untuk dihormati (demanding respect). Bagaimana tinggi ‘decibel‘ suaranya ketika menjerit mendera pesalah yang dihantar oleh unit-unti tentera dari seluruh pelusuk. Selepas tukang gunting yang berwajah bengis mengetam rambut hingga hampir botak, pesalah di arah memikul harver sack yang sarat diisi batu bata dan disuruh berlari di padang kawad dalam cuaca panas terik. Walaupun tahu azab dan derita yang menanti, namun dia tidak serik menghuni detention camp Batu Garrison Kuala Lumpur.
Setelah dua minggu tergendala, kursus diteruskan. Dari amplifier, kami diajar tentang komponen-komponen yang membolehkan radio frequency dipancarkan dan diterima. Hampir semua peperiksaan aku mendapat markah melebihi sembilan puluh peratus, tapi ada juga subjek dimana pencapaianku tersasar dari tahap yang diinginkan.
Ketika TLDM masih dikenali sebagai RMN, setiap pelatih yang memperolehi keputusan keseluruhan melebihi 85 peratus akan mendapat enam bulan seniority dan tiga bulan untuk mereka yang memperolehi keputusan antara 75 hingga 84 peratus. Kalau tak dapat mencapai tahap yang ditetapkan, maka terpaksalah menunggu 18 bulan sebelum boleh dinaikkan kepangkat able rating.
Berdasarkan keputusan kursus writer, aku sepatutnya menjadi able rate setahun selepas 25hb Mei 1965. Memandangkan aku masih lagi menjalani kursus radio maka seniority itu terbatal. Maka itulah, sebaik tamat kursus radio dengan sekali lagi mendapat enam bulan seniority, aku sudah menjadi seorang able rate yang tak berkebolehan.
Minggu pertama bulan September merupakan minggu terakhir kursus kami. Hati terasa sayu ketika berpisah dengan instructor yang telah banyak mencurahkan ilmu kepada kami. Masa di kampung dulu, aku melihat kawan membaiki (atau merosak) radio bateri kering dengan memutar apa sahaja yang boleh diputar, tapi setelah berkursus barulah aku tahu bahawa I.F. coil rupanya ada frequency tersendiri yang hanya boleh disentuh atau di tuning dengan bantuan alat frequency counter.
Masa mula berkursus, P.O. Blad pernah berjanji sekiranya ada diantara kami yang mendapat markah keseluruhan melebihi sembilan puluh peratus, kami berpeluang dipinjamkan ke kapal destroyer atau cruiser Royal Navy atau Royal Australian Navy untuk menimba pengalaman. Tujuh bulan aku memasang angan-angan…menjadi pelaut sejati meredah Lautan Hindi, Pacific dan Atlantik.
Hari-hari terakhir di training block aku menanti penuh debaran. Destroyer atau cruiser manakah yang sudah bersedia menerima kehadiranku. Kapal RN ke atau RAN. Namun janji instructor hanya tinggal janji. Setelah disemak dengan draft office, namaku dikaitkan dengan KD Sri Kedah, Mah Tsung Kee dengan KD Sri Negeri Sembilan manakala Ng ke KD Sri Kelantan.
Related posts: