menyusur denai ingatan XI
Saat yang dinanti sejak hari pertama memijakkan kaki di KD Malaya akan jadi kenyataan. Seminggu lagi aku akan menjadi seorang pelaut atau sailor dalam Bahasa Inggeris.
Sementara menunggu detik itu, kami berlima di tempatkan di bengkel radio KD Malaya. Bengkel ataupun workshop ketika itu merupakan sebuah bilik sempit tidak berapa jauh dari blok latihan. Ketuanya seorang senior rate bangsa Cina dikenali sebagai CPORM Chan atau lebih mesra dengan panggilan ‘Charlie’.
Selama seminggu di workshop, tidak ada kerja yang kami buat kecuali membaca manual berkaitan alat komunikasi yang ada. Kami tidak juga diajar cara menggunakan alat-alat seperti ‘valve-tester, oscilloscope, frequency counter’ mahupun perkakas paling basic, ‘AVO meter’ (singkatan untuk Amps, Voltage dan Ohms) atau multimeter.
AVO meter berwarna hitam buatan England berkali ganda besarnya dibanding dengan mutimeter buatan Jepun ataupun Cina. Terfikir juga bagaimana kelak hendak membaiki kerosakan kalau tidak ditunjuk ajar. Tak ubah macam orang buta tak berongkat. Bagaimana hendak mempraktikkan teori yang dikutip dari ‘instructor’. Alangkah baiknya kalau ketua radio workshop menurunkan ilmu berdasarkan pengalamannya. Di sinilah kecacatan ketara module latihan TLDM diwaktu itu.
Hari Ahad, aku sudah mengemas barang keperluan yang hendak dibawa ke kapal. Dua buah karung kanvas, satu berwarna biru dan satu lagi hijau penuh di isi dengan segala khazanah. Tak satu pun boleh ditinggal kerana sebaik sahaja keluar dari KD Malaya, locker dan katil mesti diserahkan balik kepada ketua dormitori.
Hari Isnin, setelah bersarapan, aku sudah sedia menunggu trak di hadapan blok A. Difahamkan bahawa kapal yang bakal dihuni berada di Tanjung Rhu, sebuah limbungan yang terletak tidak berapa jauh dari Tanjung Katung.
Ketika trak melewati main gate KD Malaya, sempat juga aku menoleh ke pondok di mana setiap laskar perlu singgah untuk meninggalkan station card sebelum dibenarkan keluar dari main gate. Di dalam kad berukuran kecil berkulit tebal warna merah (port) atau hijau (starboard) tertulis nama, nombor tentera serta kelompok-jaga (watch) sama-ada ‘1st port, 2nd port, 1st starboard atau 2nd starboard’. Kad ini akan diambil semula (atau lebih tepat diserahkan semula oleh petugas) apabila kami kembali ke dalam ‘kandang’.
Sebagai laskar biasa, kami dikehendaki bertugas sekali setiap empat hari. Pun begitu, ada juga ‘kutu berahak’ yang tak betah tinggal di barrack dan sering meminjam kad kawan yang tidak bertugas.
Ketika masih rekrut, petugas main gate amat strict terhadap kami. Identification disc atau ‘lesen anjing’ terpaksa digantung di leher dan ditunjukkan kepada petugas. Sekiranya terlupa membawa atau menggantung di leher, terpaksalah berpatah balik mengambilnya.
Sepanjang perjalanan ke Tanjung Rhu, aku tidak banyak bicara. Maklumlah masih belum kenal dengan mereka yang sama-sama berada di atas trak. Dalam diam, aku menyusuri detik-detik kehidupan semasa bergelar rekrut sehingga tamat latihan fasa kedua sebagai writer dan pertukaran ke cawangan teknikal.
Hampir empat bulan menghuni blok ‘B’ dan setahun di blok ‘A’, aku kerap bangun ketika orang lain sudah lena dibuai mimpi. Sekitar jam 2.00 pagi, aku ke bilik air mengambil wuduk untuk bertahajud di tingkat paling atas blok ‘A’. Selepas itu keluar ke ruang terbuka, merenung langit biru, berbicara dengan alam dan bintang, mengira kerdipan neon dari bumi Singapura hinggalah ke Tambak Johor. Aduhai, begitu tenang jiwa di usap hembusan bayu Selat Tebrau, disapa titisan suci embun pagi. Di saat dan ketika itu aku sudah menghayati makna sebenar “siratallazi naan ‘amta’alaihim” atau jalan lurus yang Engkau telah beri nikmat kepada merek.
Selepas puas bercumbu-bicara dengan alam, barulah aku kembali ke bilik sembahyang untuk mengulangkaji pelajaran.
Suatu malam Jumaat ketika naik untuk bertahajud, aku terkejut melihat seorang insan yang tidak pernah wujud sebelum ini, sedang terbaring dengan tangan kanan diletak di dahi. Mungkin dia sedang tidur, bisik hatiku. Setelah selesai tahajud dan membaca yasin, dia duduk lantas menegur dan memperkenalkan dirinya.
Leading Seaman IXXXX (janggut) berkulit sao matang, berjanggut lebat dan ber ‘tatoo’ di tangan. Berketurunan jawa dari sebuah daerah di Johor. Mungkin kerana perasan yang aku asyik mengerling ‘tatoo’ di tangannya, dia terus bercerita.
Hujung tahun lima puluhan, dia dipinjamkan ke kapal Royal Navy dan telah meredah bukan sahaja gelora di laut tapi juga terjahan badai di darat. Kerana tiada pilihan, dia terpaksa mengamal budaya kehidupan mereka. Suatu hari, ketika tidak sedarkan diri kerana ‘mabuk’, tangannya dilakar dengan ‘tatoo’ oleh anak kapal yang sememangnya pakar dengan kerja demikian. Maka kekallah tanda di tangan sebagai kenangan dan peringatan.
Sambungnya lagi…Setelah lulus kursus kenaikan pangkat Petty Officer Gunnery Mate First Class (P.O. GA1), dia ditugaskan sebagai buffer sebuah boat ronda atau lebih dikenali sebagai patrol craft. Sebelum kapal masuk docking atau refit lazimnya kapal akan mengadakan latihan menembak meriam Bofors 40/70. Selepas latihan, kelongsong peluru ataupun empty shells akan disimpan oleh buffer di dalam rudder room atau tiller flat di buritan kapal. Kebiasaannya C.O. atau X.O. akan menyerahakan kepada budi bicara buffer untuk tindakan selanjutnya.
Di limbungan Tanjung Rhu perahu ‘apek’ berkeliaran menunggu peluang ‘berniaga’ dengan krew kapal. Ketika inilah, LRSM IXXXX tergoda lalu menjual semua kelongsong yang ada. Pada masa itu setiap kelongsong berharga sekitar seringgit lima puluh sen. Mungkin ada yang kecil hati kerana buffer makan seorang, maka timbullah perasaan dendam lantas membuat aduan ke pihak atasan. Akhirnya dia dituduh. Sementara menunggu hari perbicaraan dan hukuman, dia ditahan secara terbuka atau open custody.
Setelah meluahkan keresahan yang bersarang di hati, dia bertanya kepadaku soalan yang amat sukar untuk dijawab, “adakah kemungkinan dia boleh terlepas dari tuduhan”.
Terperanjat juga bila mendengar seorang Leading Seaman berpengalaman yang telah berbelas tahun berkhidmat dengan ‘Royal Navy’ dan ‘Royal Malaysian Navy’ bertanya kepada seorang anak muda yang belum pun setahun jagung menyarung pakaian seragam dan masih lagi bergelar pelatih. Mungkin beginilah agaknya pekerti orang yang sedang bertarung sebelum lemas - clutching at straws.
Lama aku termenung mencari jawapan. Satu demi satu ku kupas secara mental intipati Naval Discipline Act 1957 yang dijadikan pandu-arah RN dan RMN ketika itu. Akhirnya terkeluar juga dari mulut apa yang terfikir di benak. Sukar untuk terlepas dari tuduhan.
Semasa clear lower deck dan upacara off cap di quarterdeck KD Malaya, aku terbayang seraut wajah cemas yang mengharap keajaipan dimalam itu. Kini, wajahnya tenang menerima hukuman. Disrated atau turun pangkat kepada Able Seaman serta kehilangan satu good conduct badge.
Sedang aku masih melamunan, tiba-tiba trak berhenti di luar pagar limbungan Tanjung Rhu. Sambil menggalas dua buah karung kanvas berisi harta karun berupa pakaian sendiri dan uniform TLDM, aku mengekori senior (orang lama) menghala ke kapal.
Antara percaya dengan tidak, kapal destroyer/cruiser yang dijanjikan instructor ketika menjalani latihan Radio Elektronik di training blok KD Malaya hanyalah sebuah boat ronda yang tinggal rangka.
KD Sri Kedah, nombor pennant P 3138.
Related posts:
January 31st, 2010 at 6:09 pm
when i was in maritime training centre in eatly 80, most of our instructors were from rmn, our pricipal was ex lt, head rating traing was ex lt and one of the warden was ex ltc minesweepers, other were mostly senior rating in various trade. guess you know some of them