menyusur denai ingatan XIII
Berada di kapal ketika refit membolehkan aku melihat sendiri bagaimana cara ia dibaik-pulih, dari terapung di air hingga dinaikkan ke atas slipway atau dry dock.
Ketika bot berada di atas slip, pekerja awam menggunakan penyembur air tekanan tinggi untuk membersihkan bahagian bawah (hull). Teritip yang sukar tanggal dikikis dengan giant scraper. Semasa di atas slip jugalah luaran kapal di sand blasting dan disembur cat.
Sebelum enjin dipasang semula, kapal ditarik keluar dari limbungan untuk dibawa balik ke Jetty pangkalan di Woodlands. Dalam ‘pelayaran’ inilah, tanpa diduga, angin bertiup kencang dan laut berombak. Kapal yang ringan beroleng ke kiri ke kanan membuatkan tengkuk rasa berat, kepala berpusing dan tekak rasa loya. Sambil berpegang erat di guard rail, isi perut keluar menyembur. Pertama kali dapat merasa mabuk free. Lebih kurang setengah jam, air laut kembali tenang.
Setelah berada di Jeti, dan sebelum radar dipasang, chart house telah pun siap disapu cat. Dengan bantuan Rani membancuh cat biru muda dan waterline biru tua, aku mengambil masa hampir dua hari menyiapkan.
Radar Transceiver dan Display Decca TM707 yang keseluruhannya menggunakan valve dipasang di dalam chart house dengan transceiver di letak di bawah chart table. Di dinding sebelah kanan terletak amplifier intercom. Tergantung di bawah chart table pula alat UHF transceiver berwarna hijau ‘tentera’ jenis Manpack Redifon A43R. Di bilik semboyan di bawah geladak berhadapan dengan kabin pegawai di pasang SSB HF Transceiver Redifon GR410 yang menggunakan transistor. Di tepi meja R.O. terletak sebuah lagi alat HF Transmitter / Receiver Redifon GR250 yang dilekatkan ke dinding dengan bracket. Alat ini menggunakan valve sepenuhnya dan dikhususkan untuk komunikasi morse code.
Setelah semuanya siap dipasang, termasuk meriam Bofors 40/70 di hadapan dan buritan, bot keluar untuk membuat mock-up atau pun sea trial. Banyak kali juga keluar masuk sebelum semuanya berjalan lancar.
Sebagai persediaan terakhir sebelum di huni sepenuhnya, kami di tempatkan semalaman di barrack KD Malaya untuk proses fumigation kapal - penghapusan tikus dan lipas yang sudah beranak pinak sejak bot memasuki limbungan.
Semasa membuat sea trial inilah Radar gagal berfungsi. Gelabah aku dibuatnya. Apa nak buat, di mana hendak dimulakan. Terbeliak biji mata membaca panduan namun hasilnya masih mendukacitakan. Buku setakat memberitahu tukar valve itu dan ini. Bercelaru fikiran, berbakul valve ditukar tapi gambar masih enggan keluar. Akhirnya kapal sampai di jeti dan pakar dari luar pun datang membantu. Tak sampai setengah jam dia sudah berjaya mengesan punca – kebocoran capacitor kecil di belakng waveguide transceiver berhampiran magnetron.
Pertengahan bulan Disember, kami mendapat arahan belayar ke Malaysia Timur untuk meronda di perairan Sabah dan Sarawak selama dua bulan. Seronok bukan kepalang kerana dapat melihat negeri orang.
Dengan krew seramai 21 orang, kapal ronda KD Sri Kedah (9MNH) meluncur laju membelah Laut Cina Selatan menuju destinasi pertama, Jeti Pending Sungai Sarawak. C.O. kapal Lt A.J. Miller (RNZN), X.O. Sub Lt Chan ’sontot’, N.O. Midshipman Zainal, Coxswain POSM Husin ‘Daroya’, ketua kejuruteraan mekanik POME Jalil, LRME Awang Siman merangkap ketua quarter deck mess dan LRSM Mahmud sebagai buffer dan ketua forecastle mess. Antara teman se kapal yang masih ku ingat ialah ABME ‘Wak’ Nasir, ODME Muhammad (Kelantan) ODME Foo, ABSM Rani, ABSMGA2 Musa ‘bongkok’ ODSM Shuib, Rejab, Khalid, ODCK Razak, AB steward Daud, ABEM Musaldin (mengganti Jaafar), ABRO Ariffin ‘botak’ dan ABRO Buang.
Sepuluh orang menghuni mes di buritan kapal. Tiga baris bunk dua tingkat di sebelah starboard dengan enam buah locker, dua baris di sebelah port dengan empat buah locker. Singki, tandas dan bilik air di sebelah port di hunjung bunk yang diasingkan dengan dinding. Di tengah mes, antara port dan starboard bunk terletak meja makan yang boleh menampung enam hingga lapan orang. Laluan masuk ke mes cuma melalui sebuah hatch. Untuk turun, selalunya kami hanya memijak tiga atau empat anak tangga sebelum bersenggayut dan terjun. Berlainan pula cara ketika naik kerana terpaksa memijak anak tangga sepenuhnya.
Kalau diberi pilihan, aku lebih suka menghuni mes belakang kerana bukan sahaja ia lebih luas tapi juga belayan gelombang tidak begitu terasa. Cuma apabila sedang tidur waktu malam, gegaran dan bunyi enjin ketika dalam keadaan astern boleh membuat kita terjaga.
Di mes hadapan pula boleh terdengar kocakan air hendaknya ketika bow terhempas dilambung ombak. Timangannya juga lebih ganas dari mes belakang. Untuk keluar masuk mess hadapan ada dua cara. Boleh melalui hatch atau passageway. Mes hadapan dengan dua baris bunk dua tingkat di sebelah port, sebaris dua tingkat sebelah starboard dan enam buah locker di sebelah yang sama. Di sebelah starboard menghala ke buritan terletak mes senior rate, kabin C.O. manakala X.O.dan N.O. berkongsi kabin. Terdapat sebuah pintu yang memisahkan mes junior rate dengan yang lain. Kalau cuaca buruk, mereka yang menghuni mes hadapan boleh naik ke atas bridge melalui lorong di hadapan mes senior rate dan kabin pegawai sebelum memanjat tangga dan muncul di lorong sebelah kiri bridge. Di bawah bridge sebelah starboard terletak stor dry rations dan kompresor hawa dingin. Di belakang bridge terdapat galley untuk cook berjuang.
Sedang menulis, teringat jenaka Razak, tukang masak berasal dari Pontian. Ketika itu lagu ‘berjuanglah kanda’ dendangan J. Kamisah sedang berkumandang, “Hai Misah, kau tak tau ke aku sedang berjuang denagn senduk dan sudip, orang kampung aku pun tak tau, dia orang ingat aku masuk navy pegang senjata.”
Sepanjang pelayaran, air laut begitu tenang, setenang air di dulang. Waktu petang ketika cuaca sudah redup, kami berkumpul di forecastle menikmati ketenangan Laut Cina Selatan yang khabarnya sentiasa bergelora. Begitulah tenangnya sepanjang lebih kurang 32 jam pelayaran sehingga kapal memasuki muara Sungai Sarawak dan bertambat di jeti Pending yang terletak tiga atau empat batu dari Bandar Kuching.
Ketika melewati sungai ini aku teringat lagu Saloma “Sayang Sarawak sungainya sempit, buah kepayang lambung lambungan, hendak ku bawa perahunya sempit, tinggallah sayang tinggal junjungan”. Tapi Sungai Sarawak yang berada di depan mata tidaklah sempit jika dibanding dengan sungai di kampung tempat aku selalu memancing.
Related posts:

December 28th, 2009 at 6:28 pm
Membuat daku terkenang KD Sri Melaka P3146
December 28th, 2009 at 7:17 pm
Baguslah kalau saya boleh mengembalikan kenangan saudara kezaman kita sama-sama dilambung ombak.
Insyaallah, sambungannya akan menyusul kerana saya ingin mengabadikan kenangan manis (dan ada sekelumit yang pahit) sepanjang 12 tahun 4 bulan menyarung pakaian seragam TLDM.
December 30th, 2009 at 10:47 am
Sya pula teringat P3140 yg tenggelam di Laut Cina Selatan. Dan KD Mahameru dengan buffer Black Joe. Dia selalu datang join sambutan hari raya bekas TLDM di KL.
December 30th, 2009 at 2:07 pm
First ship after training KD Sri Terengganu P 3143 (masih ada di Melaka maritme museum)
Then loan draft to KD Sri Johor (IMS) and KD Sri Langkawi (LCT 1401)
KD Sri Labuan, KD Brinchang (CMS), KD Rahmat (Frigate F24 - sailing crew from Portsmouth UK to Malaysia).
KD Sri Rejang (Sibu Sarawak), KD Jerai (CMS)
ROD from RMN 1978
Sweet and sour
December 30th, 2009 at 2:22 pm
Saudara betela,
Kalau belayar dari UK ke Woodlands, berkhidmat dengan IMS dan LCT 1401, ini mesti orang lama. Kalau bukan tiga digit, tentu pangkal satu.
Siapa ye?
Saya P3143 tahun 1968-69, Rejang 72/73 dan F24, 76-77. Mungkin kita kenal.
December 30th, 2009 at 2:31 pm
Tuan Admin,
you mesti kenal saya bila kita bertemu - Saya kenal dengan kamu
Keep up and carry on the good work
Bravo Zulu
9 Mike Lima Yankee
January 2nd, 2010 at 8:26 am
Selalu mabuk free masa belayar - CO belanja
April 21st, 2010 at 10:21 pm
Dapat bayangkan bila ship dah secure alongside dijetty ,xo akan announce leave dan yang pasti tinggal onboard hanya duty watch.