menyusur denai ingatan XVII

 

Bila bertambat di Woodlands, ada krew mengambil peluang menghantar uniform ke dobi KD Malaya. Dua bulan di perairan Sabah / Sarawak, tuala putih bertukar warna jadi kelabu. Kalau terjatuh ke laut, boleh mabuk ikan dibuatnya. Cengkaman teritip di tiang batu MBJ pun boleh terlepas.

 

Di KD Malaya, colours diiringi dengan lagu Negaraku (kecuali hari cuti) oleh pancaragam dan tiupan bugle Man patah mengiringi sunset. Di kapal, colours dan sunset dihiasi dengan tiupan bosun. Bila bertugas, tangan rasa gatal nak pegang bosun pipe. Terasa macam terror  kalau dapat membuat tiupan panjang dan nyaring.

 

Mana lebih seronok, tinggal di kapal atau di barrack? Kehidupan di kapal tidak begitu terikat walaupun terpaksa mengambil giliran untuk jadi pak pacak gangway. Masa bertugas jadi pengawal inilah buat pertama kali dan terakhir aku kena off cap. Siapa sangka pukul 4 pagi ada OOD buat rondaan. Kerana baru saja mengambil alih tugas, badan masih lagi terasa lesu. Aku pun duduk bersandar di atas geladak antara guard rail dengan superstructure bridge. Antara jaga dengan terlelap, sayup terdengar bunyi tapak kaki di atas geladak. Belum sempat bangun, OOD KD Malaya, Lt Taylor sudah tercegat di sebelah. Bila dia meminta dan mencatit nombor tentera, ku sangka dia nak guna untuk beli nombor ekor. Esoknya, aku pula yang bercawat ekor. Nasib baik CO RNZN bertimbang rasa. Dia beri aku consolation prize - suspended sentence. Kalau CO orang Malaysia, besar kemungkinan aku dapat cuti seminggu dengan layanan VIP beserta pengawal peribadi di bilik tak bertingkap KD Malaya.

 

KD Malaya, tempat nostalgic yang menjadi persinggahan pertama dan terakhir untuk setiap anggota RMN.

 

Tahun 1996, LT Cdr (B) Lamang mengatur rombongan pesara ke pangkalan TLDM Lumut dan kami di tempatkan di senior rate mess. Esok pagi menghadiri colours sebelum dibawa melawat sekitar pangkalan dan jeti. Ada seorang pegawai ikut serta. Dia cukup popular dengan lower deck malah pernah kena court marshall.

 

Masa bertugas sebagai X.O. KD Sri Trengganu, krew kapal diserang sekumpulan pemuda di KK. Untuk menyelamatkan krewnya, dia berlari balik ke kapal dan mengambil Sterling SMG. Tembakan ke udara yang dibuatnya membuat pergaduhan terhenti. Kalau raja, disebut berjiwa rakyat tapi kalau pegawai? Waktu duduk rehat di dewan Lumut malam itu, kami berbual panjang berselang seli bahasa ‘Banjar’.

 

Jika dibandingkan TLDM Lumut dengan Woodlands, dari segi kemudahan dan keluasan, Lumut menang hands down, tapi dari segi lokasi, aku rasa Woodlands lebih indah.

 

Baru-baru ini, aku buka google map untuk mencari kiranya bangunan KD Malaya masih wujud. Tersentuh juga perasaan melihat parade ground, Admin Block, A, B dan C block masih seperti dulu. Yang lainnya mungkin kerana tidak cukup besar, maka tidak lagi kelihatan. Terfikir pula, kalau di Malaysia, tempat bersejarah seperti itu mungkin sudah ditelan oleh kompleks membeli belah.

 

Bagaimana rupa bentuk landscape KD Malaya Woodlands?

 

Setiap junior rate yang  masuk melewati main gate, terpaksa singgah di Guard House untuk mengambil station card. Di sinilah tempat ‘Tok Mohid’ berniaga kayu marathon ala ‘Gambir Sarawak’. Di sini jugalah tempat RPO Yap ‘menerkam’ mangsa (literally). Punyalah bengis raut wajahnya. Andai terserempak dengan harimau, boleh sasau pak belang tu dibuatnya. Silap haribulan, boleh mati mengejut kena heart attack

 

Tidak jauh dari main gate, di sebelah kanan terbentang luas padang kawad. Di parade ground inilah tempat G.I. menjadi raja. Kalau tak pakai uniform, jangan cuba melintas. Setakat kena jerit tak apa juga, tapi yang tak sedapnya bila G.I. dengan penuh santun mempelawa berjogging keliling padang. Di sebelah kanan  parade ground,  ternganga luas dewan atau Drill Shade atau Gym dan armoury. Gym diselia oleh P.T.I. manakala armoury oleh CPOSM Kassim dan POSM Singham. Di sebelah kiri Gym tercegat sebuah meriam untuk seaman gunner berlatih gunnery drill. Di hujung parade ground tersergam gagah quarterdeck dan mast bendera seperti yang terdapat di atas kapal. Kalau orang ‘fanatik’ agama, bentuk mast ini pun boleh dijadikan isu kerana kononnya mirip lambang salib.

 

Suatu malam, SM Salim menjadi tetamu majlis yang diadakan di parade ground. Di atas pentas, dia menemubual anak seorang senior rate. “Ayah pangkat apa” SM Salim bertanya. “CPO” selamba budak tu menjawab. Terperanjat Salim mendengar jawapan. Dia menyangka CPO itu membawa erti Chief Police Officer.

 

Lebih kurang seratus ela dari Main Gate, disebelah kiri terletak ibu pejabat motor transport (MT) dengan Lt Buang (RMNVR) sebagai MTO. Setelah Fleet Maintenance Unit (FMU) siap dibina, pejabat MT bertukar kepada pejabat bomba. Lt Ahmad (besan saya sekarang) pernah menjadi MTO di FMU.

 

Tidak jauh dari pejabat MT, terdapat simpang kekanan untuk ke Admin Block dan Quarter Deck. Dari sini boleh terus ke Training Block atau lebih popular dengan panggilan ‘I’ block. Pernah terjadi class ODRM kami didenda oleh Sub Lt Mohd Zain (SD) berlari ulang alik dari Quarter Deck ke ‘I’ block. Sebaik sahaja selesai berlari, spontan aku menemuinya dan menuntut balik buku nota rekrut seamanship yang dipinjamnya tetapi masih belum dikembalikan.

 

Selepas simpang ke Admin Block terdapat sebuah lagi simpang ke kanan untuk ke A dan B block. C block yang siap di hujung huiung tahun 60an tidak sekukuh bangunan lama kerana banyak terdapat keretakan. Di atas bukit atau pun di puncak bukit terletak dobi, kantin, dewan junior rate dan istana hinggap (cell) untuk dihuni sementara oleh mereka yang terpilih. Di pinggir bukit, tersergam bangunan yang mempunyai dua wajah. Ada kalanya tidak dihargai dan ada masanya begitu dirindui. Ketika bulan muda, tempat ini tidak begitu menarik tetapi setelah bulan beransur tua, ia begitu indah. Kalau tidak dikunjungi, semalam suntuk tidur tak lena…main galley KD Malaya.

 

Di bawah galley terletak stor pakaian dan victual. Berjalan turun dari kantin, antara tangga dan stor pakaian terdapat small arm range. Masa rekrut, di sinilah Majid dan aku menghabiskan masa waktu petang berlatih menembak rifle .22. Orang Melayu yang rajin ke range masa tu cuma kami berdua dan armourer  Chief Kassim. Yang lainnya semua orang putih.

 

Tersebut Majid, teringat pula masa dia baru jadi pilot. Setentang pintu belakang dewan junior rate , terdapat sebatang jalan yang curam. Suatu petang, Majid meletakkan kenderan rasmi jenis ‘Ford stationwagon’ di pinggir jalan berhampiran pintu masuk ke dewan / kantin. Bila dia keluar dari kantin, kereta sudah tidak ada di tempat asal. Nun jauh di bawah, kereta sedang tidur lena terkangkang dengan kaki dan tangan di atas. Mujur jugalah jalan tidak lurus dan tebingnya pula tinggi, kalau tidak kereta itu boleh sleep walking hingga melewati jalan besar dan bersemadi di kaki bukit. Minggu itu berulang-alik aku bertandang membawa buah tangan ke kediaman barunya. Seminggu dia menghuni cell KD Malaya.

 

Selepas simpang ke blok kediaman junior rate, jika diteruskan akan sampai ke ‘Wisma Mutiara’.

 

Mes senior rate  - Wisma Mutiara - terdiri dari dua buah blok bangunan dua tingkat di kaki bukit sick bay.  Mes lama bercantum dengan bilik kediaman. Di tingkat atas terdapat sebuah meja billiard (masa tu snooker belum popular) dan bilik TV. Di bawah pula, terdapat sebuah bar, dewan makan, galley dan ruang terbuka berbumbung yang selalu diguna untuk tayangan filem.  

 

Bangunan mes senior rate kedua letaknya berhampiran tangga naik ke sick bay. Menyusuri jalan berturap di hadapan mes boleh juga sampai ke sick bay dan rumah kediaman pegawai. Manakala jalan ke blok kediaman keluarga senior rate terletak di sebelah bangunan Wisma Mutiara yang lama.

 

Sebelum sampai ke senior rate mes, terdapat simpang dan round about. Terus pukul ‘12’ ke Wardroom atau mess pegawai dan pukul ‘3’ ke Stor victual.

 

Indahnya KD Malaya Woodlands kerana terbina di atas dan di lereng dua bukit. Di puncak bukit yang tertinggi dan paling hujung terletak sick bay. Kalau sekadar demam biasa, panjat tangga sick bay pun dah berpeluh lebih dari makan panadol. Di sick bay inilah tempat ‘kote’ diperiksa setiap empat tahun.

 

Semasa membuat PULHEEMS terakhir sebelum menamatkan khidmat, seorang doktor muda keturunan India menyuruh aku berbaring di atas katil. Mulanya aku sangka dia nak perikasa perut, tapi lain pula yang dibeleknya. Tapi masa tu dah biasa sangat dan tak lagi segan macam pertama kali dilondehkan seluar oleh SBA.

 

Ada suatu ketika, doktor perempuan keturunan Cina memeriksa group kami. Kalau tak silap tahun 1969. Seperti biasa, dalam setiap kumpulan tentu ada yang ‘lebih’ dan yang ‘kurang’. Mat ‘da-oh’ ceritakan bagaimana doktor perempuan tu terperanjat kerana ‘senjatanya’ sudah memberi tabik hormat sebaik sahaja seluar dilondeh. Entah lah ye, betul atau tidak, aku pun tak pasti kerana dia memang kaki ‘gormal’.

 

Aduhai KD Malaya, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat kami jadi dewasa. 


Related posts:

  1. menyusur denai ingatan VIIIL
  2. menyusur denai ingatan VIIL
  3. menyusur denai ingatan LXI
  4. menyusur denai ingatan VIL
  5. menyusur denai ingatan X

7 Responses to “menyusur denai ingatan XVII”

  1. cucutokmohid Says:

    hahaha, kayu sakti tok mohid = 5 ringgit seketul. gesel ditapak tangan dengan air. saya QM main gate dapat free.

  2. POSMPENCEN Says:

    MAJID TEKONG SEPAKTAKRAW TLDM? KALAU BETUL DIA, NAMA SEBENARNYA SHAHRIL (MT).

    JADI ‘PENGAWAL PERIBADI’ PESALAH SERONOK JUGA. KENA STRICT SIKIT UNTUK DAPAT SHARE. MACAM WARDEN PENJARA.

  3. xperak Says:

    Shahril tekong, Jaafar RM apit kill bola dengan tapak kaki, Rahim ‘merah’ dengan libasan akrobatik. Teringat zaman kegemilangan pasukan TLDM. Dimana mereka sekarang?

  4. mcm 25 Says:

    Pemain sepak takraw TLDM di Labuan glemor dengan title “Maha Player”
    Lain unit yang datang melawan seperti TUDM, OMP, RAMD dll. selalu bungkus.

    Masa di K.L pernah jumpa Rahim Merah - masih berpakaian smart.
    “Rahim General” tidak pernah jumpa selepas ROD (march 1978
    Ismail 2028 tidak jumpa dah lama
    Ismail tengkorak - tidak jumpa
    Alias (pecos) overdose - RIP
    K2037 - pernah buka warong di jalan binjai KL (ampang) tahun 1983-1984
    Yusof Papan - tidak pernah jumpa
    Embong (sailor five band) pernah jumpa di TBSB(KSB) tahum 1987
    Abbas 2007 , Zainal Hitler …dll…. lost contact…

  5. admin Says:

    Alias ubah profession dari EM ke ‘anesthetist’. Dia recycle jarum guna grinder workshop.

    K2037 tak pernah gagal hadir bila saya kawinkan anak.

    Embong tu kalau nyanyi lagu Inggeris punya berapi tapi cakap Inggeris tak tahu langsung

    Zainal Hitler MT kan? Kalau betul dia, kami jumpa di Lumut sebagai MCPO tertua pada tahun 1996. Huh, 31 tahun pakai uniform.

  6. mcm 25 Says:

    You masih ingat peristiwa ini - pada suatu malam (tahun 1971) K2037 kena tangkap hisap tembakau daun - dia cabut lari - tetapi OOD cam dia dan follow up

    dia kena off cap dan kopak.

    that life in RMN

    officers pun kena kopak…

  7. admin Says:

    You have very good memory, sampai tahun pun ingat. Saya tengah fikir nak tulis cerita itu dalam masa terdekat. Tentang SD officers. Macamana saya bodohkan Lt Mat Zain dan Cdr Isaac ‘kerbau’.

    Saya ingat soalan Isaac “awak ada cium bau tak?”. Saya jawab “Ada, bau air kencing.” Dia punya marah langsung dismiss saya sebagai witness “Kerbau” kata dia.

    Dah baca “wayang kulit goes on and on” posted di Malaysia Today?
    Another one coming, mungkin esok.

Leave a Reply