menyusur denai ingatan XVIII

 

Cape Rachado atau Tanjung Tuan merupakan kawasan silent zone ataupun disebut juga sebagai skip zone kerana di kawasan ini kapal menghadapi masalah berkomunikasi dengan pangkalan di Woodlands. Mereka yang percaya dengan tahyul menganggap tempat ini ‘keras’ atau ada penunggu. Tapi yang mengerti siluk biluk perjalanan gelombang radio tidak mudah percaya dengan tanggapan itu.

 

Gelombang radio frequency tinggi (HF) tidak akan dapat pergi jauh kalau pancarannya mendatar di permukaan. Keunikan gelombang HF menggunakan ionosphere dan muka bumi sebagai media untuk melantunkan pancaran membuatkan ia boleh mengembara antara benua. Dari antenna, gelombang ini akan meluru ke angkasa dengan kelajuan cahaya (186,000 batu sesaat). Sampai di lapisan ionosphere, ia akan melantun balik ke bumi, dan permukaan bumi pula akan melantunkannya balik ke angkasa. Pun begitu, kerana sebab-sebab tertentu, ada kawasan di muka bumi yang tidak dapat menerima lantunan dengan baik. Tanjung Tuan adalah satu dari kawasan yang tidak dapat liputan penuh. Radio Operator (RO) yang tidak faham fenomena ini tak putus sumpah seranah. Ada yang menyalahkan alat komunikasi dan ada yang menyalahkan kami yang menyelenggara. Kalau di kawasan lain, belum panas lagi kerusi RO, tugas sudah beres. Tapi di sini, sampai berasap tempat duduk pun belum tentu dapat menghubungi comcen KD Malaya untuk menghantar sitrep atau situation report.

 

‘Selat teduh lautan tenang, banyak labuh perahu Aceh’. Begitu menggamit lirik lagu ‘mengapa dirindu’ dendangan Saloma. Selat teduh lautan tenang - itulah gambaran sebenar Selat Melaka. Terima kasih Pulau Sumatera kerana telah melindungi kami dari terjahan badai Lautan Hindi. Terima kasih juga kerana mengecualikan kami dari igauan mabuk free.

 

Setelah makan petang, mandi cowboy, melumur badan dengan bedak Yardley, dan menyarung pakaian square neck aku naik ke bridge. Rejab yang suka melaram dengan sunglass ‘Rayben’ begitu gemar menyanyi lagu-lagu A. Ramli (The Rythm Boys). ‘Kenangan Mengusik Jiwa’ dan ‘Hidup Bersama’ antara lagu kegemarannya. Sambil mengetuk wheel dia melalak sendirian sementara Shuib dan aku turut bertepuk. Ia lah, di laut apa sangat yang hendak difikir selain tugas, makan dan tidur.

 

Kalau di bridge, Rejab dengan steering wheel dan A. Ramli, di galley pula Razak dengan sudip, senduk dan kuali tidak jemu-jemu meniru gelagat Jeffry Din (The Siglap Five) ‘Kenapa kau termenung, mengapa kau bersedih, hiburkanlah hatimu, gembiralah selalu’ serentak itu juga di lepaskannya sudip dan tangan ligat mengetuk meja galley persis sebuah drum. Ada masa terlebih ketuk hingga tak sedar bawang di kuali sudah jadi hitam.

 

Di bilik radio lain pula ceritanya. Kalau tidak berhubung dengan sesama kapal atau KD Malaya, Ariffin suka mendengar siaran Radio Singapura. Masa tu, siaran hanya menggunakan spektrum gelombang pendek 6 – 7 megahertz dalam bentuk AM (amplitude modulation). Suara timbul tenggelam antara kedengaran dengan tidak. Arifin yang selalu terkenang tunang di kampung adalah peminat setia Ahmad Jais dan dengan penuh penghayatan selalu menyanyi “Jangan layukan bunga di hati, jangan surutkan lautan bahagia, jikalau dinda menghilang diri, jangan hilangkan harapan kanda”, sambil duduk merenung gambar tunang di atas meja dibilik radio. Lagu ‘sumpah setia’ dendangan Ahmad Jais iringan kumpulan D’Antartics pimpinan S.A. Vinton sangat popular ditahun ‘67.

 

RO lega dan aku pun seronok bila kapal keluar dari kawasan ronda Tanjung Tuan. Pulau Pinang tempat persinggahan seterusnya sebelum di arah meronda di perairan Pulau Langkawi. Ketika kapal meluncur perlahan di celah-celah pulau, aku kagum melihat keindahan alam sekitar. “Mungkin di sini Wan Darus pernah bertarung nyawa memerangi lanun…”. Bisik hati kecilku.

 

Kapal berlabuh berhampiran Pulau Dayang Bunting. Masa itu, KD Sri Negeri Sembilan pun turut berlabuh sama. Seperti biasa, Wak Nasir sibuk menurunkan life boat untuk mengangkut kami ke pulau.

 

Dari pesisir pantai, kami mendaki bukit melalui lorong kecil. Oleh kerana ramai krew berasal dari kampung, maka tidaklah sukar berjalan di antara akar-akar kayu yang merintangi laluan. Selepas menurun bukit, kami berhenti di tepi tasik. Ramai yang mengambil kesempatan turun mandi di tepian.

 

Sedang kawan-kawan menikmati kedinginan air tasik, Musa bongkok dan aku berenang ke tengah. Sampai di tengah, aku terpegun dengan keindahan tumbuh-tumbuhan dengan bunga-bunga liar beranika warna menghiasi puncak keliling. Tengah leka dengan keunikan alam semula jadi, kami berdua dipanggil naik ke darat. Dalam perjalanan balik, barulah aku tahu kenapa CO tergesa-gesa meminta kami meninggalkan tempat ini. Khabarnya dia ternampak buaya putih timbul tidak jauh dari kami berdua. (Semasa menulis cerita ini, bulu romaku meremang). Kalau sekarang, diupah pun aku tak berani mengulangi kegilaan - berenang ke tengah seperti itu.

 

Jeti Pulau Langkawi menjadi perhentian seterusnya.

 

Tahun 1967, Pulau lagenda ini masih lagi seperti ‘padang jarak padang tekukur’ - jauh ketinggalan dari segi pembangunan seperti juga kampung yang ku tinggalkan. Masa kami sampai di kawasan Padang Mat Sirat, tak ada orang lain selain kelompok krew KDSK dan KDSNS. Di pusara Mahsuri aku sempat mencangkung, bertafakur menyedahkan fatihah untuk rohnya. Berhampiran pusara, kami mengopek kulit kayu yang sudah hampir botak, kononnya mempunyai hikmah tertentu. Antara lain, kalau direndam ke air, ia boleh meredakan demam. Begitu juga dengan beras terbakar.

 

Setelah banyak bulu kaki gugur di Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Port Dickson dan Port Klang, maka tibalah masanya untuk balik bertambat di MBJ. Orang berkeluarga punyalah seronok dapat membersih spark plug yang sudah mula berkulat. Muka yang dulunya rawan, kini nampak ceria. Kaki yang berat melangkah sudah terasa ringan. Ada sepuluh hari untuk menghilang rindu. Dan begitulah rutin kapal jenis patrol craft. Dua minggu di laut, seminggu atau sepuluh hari di jeti.

 

Masa belayar meronda pun bukannya tak ada pelepasan - empat hari sekali singgah dan bermalam di pelabuhan berdekatan untuk membeli wet rations, manakala  yang bujang pula mencari ration. Hampir setiap kali, coxswain akan mengajak aku menemani. Kadang-kadang ada juga yang sound konon aku bodek coxswain. Tapi mereka tak tahu, kalau ada pilihan, aku pun tak mahu jadi escort dan orang suruhan.

 

Setelah hampir lapan bulan keluar masuk pelabuhan, kami mendapat berita kapal akan meronda di perairan Sabah / Sarawak sekali lagi. Seronoknya, kerana berpeluang menambah pendapatan. Sementara menunggu tarikh itu, kawan karibku, Mah Tsung Kee mengajak mengambil peperiksaan PPE atau Provisional Professional Examination – lesen wajib sebelum dibenarkan mengambil kursus kenaikan.


Related posts:

  1. menyusur denai ingatan XXXII
  2. menyusur denai ingatan XXXIII
  3. menyusur denai ingatan XXII
  4. menyusur denai ingatan XXXVIII
  5. menysur denai ingatan IVL

5 Responses to “menyusur denai ingatan XVIII”

  1. mcm 25 Says:

    Mah Tsung Kee or Mah Chai - di mana dia sekarang - You ada contact dia.

    Dia bersama saya di KD Sri Rejang - Tinggal di mess “Wisma Megat Alang Di Laut”
    Selalu ikut saya pergi ka Coffee House dan Night Club. Saya ajar Dia minum. Lama kelamaan - ULCER nya terus baik. Ubat masa itu ia lah beer anchor dan tiger.
    Saya ingat sekarang dia minum Teh Cina

    Good RMN experience - keep on writing.
    Regards

  2. admin Says:

    Thank you friend,

    Really? Patut you ’suggest’ dengan pakar ulcer cadangan alternative untuk ubati penyakit tu. Sekarang doktor prescribe double antibiotic untuk sembuhkan ulcer. Sakit tu berpunca dari kuman yang dinamakan ‘helicobacter’. Agaknya kuman tu ‘mabuk’ kena harimau dan sauh sebab tu dia tak ganggu perut lagi.

    Di mana Mah Chai sekarang? Kalau boleh jumpa dia kan best. Boleh ajak dia main mahjong (my sifu). He is a very nice man and a good friend.

    Sekarang saya pun minum teh ‘O’ dan Teh China. Teh cap sauh dan harimau pun dah tak ingat macamana rasanya.

  3. xperak Says:

    bestnya bila teringat waktu senja di atas bridge. Matahari tenggelam perlahan di kaki langit.

    Selalu teropong bulan guna binoculars.

  4. 3digit Says:

    anggota TLDM hari ini macam anak emas. semua otomatik sehingga kapal pun boleh tenggelam otomatik. zaman dulu mana terdengar cerita api tak boleh dikawal.

  5. jimmi Says:

    Saya sokong apa yang 3digit(bukan 4D) kata,dulu sabelum nak belayar macam macam sea prep dibuat.Yang teruk anggota gunnery yang bertugas dikapal yang masih guna meriam 40/70 kena angkut peluru kemeriam.Bagi gunnery dizaman ini dah tak teruk lagi sebab semua peluru dan meriam CIC yang kontrol.Tekan saja button.Begitu juga anggota ME dan EM tak perlu nak round check engine atau generator dudok saja dalam MCR(air cond pulak tu) dah dapat tahu kaedaan didalam engine room.

Leave a Reply