menyusur denai ingatan XX
Malam itu terkebil-kebil mata terbayang aksi lincah jockey menunggang kuda hitam dan putih. Semakin cuba dilupakan, semakin jelas ia menari diruang mata. Sudah lebih 21 tahun hidup di muka bumi, baru sekarang mengerti kenapa Adam dan Hawa terkeluar dari syurga.
Esok pagi, sebelum colours, kami didatangi sekumpulan anggota tentera darat lengkap dengan senjata dan karung masing-masing. Satu platun tentera akan menaiki kapal untuk ditugaskan ke Sandakan.
Difahamkan, inilah pertama kalinya mereka berpeluang merasa suasana kehidupan di atas kapal. Setiap ruang di bawah geladak berhawa dingin kecuali engine room. Mereka kagum dengan keselesaan tempat tidur dan makan. Ada yang gatal mulut tak berfikir panjang langsung berangan kalau boleh nak bertukar unit. Mereka membandingkan bahang di berek tentera denga kedinginan di dalam kapal.
Baru sebentar meninggalkan jeti, ombak setinggi 5/6 kaki sudah mula membelai bot kami. Anggota tentera yang tadinya berwajah ceria sudah mula termenung. Mulut yang peramah sudah mula diam. “Tunggulah sekejap lagi” bisik hati kecilku. “Masa tu baru kau orang tau seronok atau tidak dapat mabuk free”.
Belum pun sampai satu jam, muka masing-masing sudah macam ayam berak kapur. Anggota yang tadinya nampak gah ketika melangkah masuk sudah mula duduk tersandar memegang senjata. Ada yang pejam celik menahan pening, berlindung di antara ‘A’ gun dan superstructure. Ada pula yang melumur dahi dengan minyak kapak. Aku mempelawa mereka ke kawasan ‘Y’ gun di buritan kapal di mana alunan ombak tidak begitu terasa. Ramai yang tak sabar mengeluarkan isi perut dan ramai juga yang puasa hari itu. Dalam gurauan aku sempat menyelitkan pantun zaman dulu, ”Rumah kecil tiang seribu, rumah besar tiang sebatang, kecil-kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang. Seronok tak ditimang gelombang?”, usik ku.
Sangkaan kiranya pantun itu dapat meredakan rasa mual rupanya meleset. Ada seorang korporal bermisai tebal ala pendekar purba renung aku macam srigala nak menerkam mangsa. Terfikir juga kalau tiba-tiba dia hilang kawalan. Perlahan-lahan aku berundur membiarkan mereka melayan perasaan masing-masing.
Tengah hari itu, kami sempat bergurau dengan Razak, ”Kita orang aje yang suka makan masakan engkau, askar tu semua tak sudi”. Mereka lebih gemar makan ration dalam tin.
Lewat petang, anggota tentera yang kelihatan begitu segar ketika mula-mula memijakkan kaki ke atas geladak pagi tadi, kini melangkah keluar meninggalkan kapal dalam keadaan longlai. Apa tidaknya, mereka berpuasa seharian. Sambil mengucapkan terima kasih atas layanan kami, ada juga yang sempat bergurau, ”Kena gigit pacat pun tak teruk macam ni”. Betul ke atau sekadar meluahkan rasa seperti mana aku mula-mula merasa lambungan ombak dulu.
Malam itu kami meronda di perairan Sandakan.
Sedang kami lena diulit mimpi, tiba-tiba terdengar bunyi siren. Mula-mula kedengaran sayup tapi lama kelamaan semakin jelas. ”Mimpi ke betul-betul ni?” aku bertanya sendirian. Tapi setelah terdengar suara XO melalui pembesar suara “Action station, action station, action station.”, aku segera bingkas mengenakan overall, mask muka dan sarung tangan. Dalam keadaan begini, ketangkasan amat diperlukan. Aku meluru ke bridge dan segera memaut HBSLR di sebelah port manakala Musaldin mengendali spot light. Boarding party terdiri dari buffer dan empat orang krew lain sudah bersedia dengan SMG dan SLR masing-masing di midship sebelah port. Kapal semakin menghampiri trawler yang hanya kecil sedikit dari bot ronda kami. Dengan degupan jantung yang semakin pantas, aku melepaskan safety latch senjata sambil memasukkan telunjuk kedalam trigger guard. Ketika itu aku terkenang insiden antara KD Sri Selangor dengan bot laju komando Indonesia di Selat Melaka yang mengorbankan ABEM Abdul Samad tiga tahun yang lalu.
Krew dan penumpang trawler Filipina yang kesilauan disuluh lampu meletakkan tangan masing-masing keatas kepala. ABSM Rani yang berwajah bengis terjun diikuti oleh buffer. Seorang mengawal krew trawler dan seorang lagi menyambut tali yang dilontar dari kapal. Setelah kelima-lima boarding krew berada di atas bot, penggelidahan pun bermula.
Penggeledahan selalunya tertumpu kepada pencarian senjata. Ternyata bot ini hanya membawa keluarga dan penumpang.
Setipa bot ronda yang pernah meronda di perairan Sabah tentu pernah mengalami insiden serupa. Terpulanglah kepada CO sama ada mahu memeriksa atau membiarkan sahaja mereka melalui perairan kita. Kalau bot atau trawler ini memasang lampu navigation dan tidak mencurigakan, CO akan menggunakan budi bicara. Trawler yang kami geledah malam itu tidak memasang sebarang tanda dan hanya dapat dikesan melalui radar.
Setelah dua bulan meronda, tibalah masanya untuk mengucapkan selamat tinggal keperairan Sabah. Sangkaan kiranya kami terus belayar balik rupanya tidak tepat. Disaat akhir, kami terpaksa meronda perairan Sarawak sementara menungga ketibaan kapal pengganti dari Semenanjung. Hampir dua minggu barulah muncul CMS - kalau tak silap KD Jerai - mengambil alih tugas.
Ketika bertambat di jeti Pending inilah, seorang krew yang pernah di nasihatkan Wak Nasir bila dia ‘jatuh cinta’ dengan ‘jantan lawa’ atau ‘sotong’ sewaktu pertama kali kami sampai diawal tahun menerima hakikat betapa benarnya kata-kata Wak Nasir. Sedang ronda-ronda di Bandar Kuching, dia terjumpa buah hatinya sedang dikepit lelaki lain. Apabila disapa, si ’sotomg’ yang dirinduinya buat-buat tak kenal. Ataupun memang dia benar terlupa kerana terlampau ramai buaya yang telah meratahnya. Sepanjang perjalanan (teksi) balik ke kapal, sumpah seranahnya tak henti-henti. Malah CO pun kena kutuk kerana membawa kapal singgah di sini.
Begitulah berakhirnya ‘cinta’ aneh kawan yang seorang ini.
Tiga puluh dua jam rasa sekejap untuk orang bujang tapi begitu panjang untuk yang berkeluarga. Maklumlah air dah naik kepala. Mata pun dah mula rabun. Akhirnya setelah lebih dua bulan meronda perairan Sabah dan Sarawak, maka untuk kesekian kalinya, bertambatlah KD Sri Kedah di Malaysian Base Jetty, Woodlands.
Related posts:
January 18th, 2010 at 8:51 am
Jadi krew PC dan CMS memang best. Hidup macam satu famili.
January 18th, 2010 at 1:49 pm
Bila kapal belayar - CO belanja (mabok free)
minum satu gelas - keluar dua gelas
Apabila sampai Kuching atau Sibu - mabok lain pula - sendiri belanja
January 19th, 2010 at 7:25 am
“Apabila sampai Kuching atau Sibu - mabok lain pula - sendiri belanja”
Kuching dan Sibu? Atas bawah pun boleh muntah.
Kuching cari tempat muntah di Padang Merdeka atau Aurora Nightclub
Sibu di Padang Arafah. Bidadari turun dari langit bawa ke syurga. Esok lusa jumpa doktor kat klinik minta inject penicillin. Bila kena suntik, masa tu lah teringat nak taubat.