menyusur denai ingatan XXIII
Pagi itu, karong hijau dan biru yang sudah setahun terbiar dalam locker berguna lagi. Seperti orang pindah rumah, keluar masuk kapal sama saja remehnya.
Setahun lalu, aku melangkah gangway untuk pertama kalinya memijakkan kaki di atas geladak Sri Kedah, bot berada di Tanjung Rhu. Kali ini, melangkah keluar pun di tempat sama. Kalau draf keluar di MBJ, berlendir juga ketiak memikul karung dari jetty ke berek. Untungnya keluar semasa kapal berada di limbungan, trak datang pagi dan petang mengangkut krew yang tidak bermastautin di kapal. ‘Pilotnya’ pula tidak keberatan menghantar sampai ke berek.
Bila kapal di limbungan, CO dan XO hanya sekali sekala datang menjengah. Coxswain dan POME diamanahkan menyelia tugas yang tidak seberapa. Kunci wardroom diserahkan kepada steward. Ketika inilah Daud menyelongkar fail peribadi kami, mengambil kesempatan membaca laporan quartely‘ prestasi anak kapal yang dicoret oleh XO dalam borang S264.
Laporan XO “Smart in outlook. Can work without supervision” selama empat penggal berturut-turut memberi aku perangsang untuk terus gigih menjalankan tanggung jawab yang diamanahkan. Tidak sia-sia usaha selama ini menimba pengalaman apabila XO mengharagainya. Itulah untungnya bertugas di kapal kecil seperti bot ronda kerana pegawai dapat menilai sendiri prestasi tanpa perlu meminta pandangan orang lain.
Selamat tinggal istana terapung. Tempat tidur berhawa dingin dan bunk kecil semuat badan akan tinggal kenangan. Untuk satu jangka masa, gangguan bunyi dan gegaran enjin ketika sedang nyenyak tidur akan ku rindui. Keseronokan mengejut dan dikejutkan jam 12 tengah malam atau 4 pagi, panjat tangga dan buka hatch, berjalan huyung hayang menuju chart house mengambil giliran menatap skrin radar, tidak lagi dapat ku rasa . Atau naik ke bridge menghirup udara segar apabila mata hampir tertutup keletihan menonton selama empat jam ‘tayangan larut malam’. Selamat berjumpa lagi KD Malaya, padang kawad dan bilik darjah ‘I’ blok.
Tercungap juga mengangkut dua karong pakaian dari tingkat bawah ke dormitori ‘A’ 5. Oleh kerana dormitori ini berada di tingkat paling atas dan berbumbung konkrit, kalau cuaca panas terasa juga bahangnya. Namun begitu, ia amat sejuk diwaktu malam. Hembusan bayu Selat Tebrau sungguh menyegarkan.
Siapa pun yang pernah draf ke bot ronda akan merasa dua dunia berbeza apabila kembali ke berek. Walaupun menatap wajah yang sama setiap hari dan dunianya hanya sepanjang 31 meter dari buritan ke forecastle dan selebar 6 meter dari port ke starboard, namun hati terasa tenteram kerana tidak banyak karenah pegawai. Uniform hanya licin ala kadar dan kasut tak perlu berkilat.
Segalanya berubah apabila kembali ke berek dan pusat latihan. Pakaian seragam biru semestinya keras berkanji dengan lengan tajam sehingga boleh mencederakan rakan di sebelah, dipakai dari hari Isnin hingga Jumaat. Hari Sabtu pula pakaian seragam putih leher empat segi (square neck). Sebulan sekali terpaksa pula menyarung pakaian ceremonial 6A (sixes). Berjemur di padang dengan pakaian ketat seragam lengan panjang dan seluar panjang, terasa peluh mengalir laju seluruh badan. Dan di kepala yang dibungkus rapat dengan topi perata.
Pernah aku pitam ketika menunggu CO memeriksa Division. Mula-mula peluh sejuk membasahi badan walaupun cuaca panas terik. Untuk mengelak supaya jangan tersungkur, aku mencangkung dengan tujuan memulihkan pandangan yang semakin kabur. Baru sebentar berlalu, dua orang SBA (sick bay attendants) sudah berada disisi dengan stretcher. Mereka memaksa aku baring untuk ditandu ke tempat redup di bawah drill shade. Aku meminta untuk berjalan sendiri, tapi mereka tidak membenarkan. Aduuuhhh, malunya. Sampai di tempat redup, aku segera bingkas untuk kembali ke barisan tapi tidak diizinkan. Malah, mereka memaksa aku meminum air walaupun dimaklumkan aku sedang berpuasa. Mereka tidak percaya ada orang berpuasa di bulan Syawal.
Malam sebelumnya, aku tidur lewat mengulang kaji pelajaran. Jam lima sudah bangun untuk bersahur air paip. Tidak ada makanan ataupun air panas. Mungkin kerana kekurangan gula dalam badan, aku diserang hypo. Akibat pitam di padang kawad, aku di perintah hadir setiap petang selama seminggu di drill shade untuk latihan jasmani. Setelah menjalani drill lompat katak, panjat tali dan lari keliling padang, PTI hairan bagaimana aku boleh pitam dengan tahap kecergasan yang ada. Setelah ku jelaskan punca kejadian, dia hanya meminta aku datang hari-hari berikut sebagai formality mengisi buku catitan. Susuk tubuh berotot, raut wajah dan loghat Jawa LRSM ini masih ku ingat tapi namanya sudah hilang dari ingatan.
Latihan akan bermula pada hari Isnin. Petang Ahad itu, kami bertungkus lumus membaik pulih kasut yang sudah setahun terbiar. Dari lapan orang yang terpilih untuk kursus LRRM, hanya Mah Tsung Kee dan aku yang paling cetek pengalaman. Yang lain lebih awal makan garam.
Selama 42 minggu akan datang, kami terpaksa memerah otak di bilik darjah dan mencurah keringat di padang kawad. Bukan setakat menghadap quarterdeck dan baris lalu (march past) lepas colours, tapi kena pula berlatih menjerit macam ‘GI’.
Terfikir juga apa gunanya latihan berteriak kerana perkakas elektronik yang kami selenggara tak faham bahasa. Alat-alat itu cuma mahu dibelai. Sumpah seranah sampai tercabut anak tekak pun, ia tidak akan berhenti mogok selagi komponen yang rosak tidak diganti.
Related posts:
January 27th, 2010 at 9:16 am
“Siapa pun yang pernah draf ke bot ronda akan merasa dua dunia berbeza apabila kembali ke berek.”
Dikapal beli rokok guna credit card 555. 1 carton 4 ringgit
Dibarrack rokok beli tunai sebatang 10 cent dua batang 15 cent. Nak makan angkut pinggan panjat tangga tepi block, balik makan panjat tangga dorm 3 tingkat.
Dikapal mabuk free, dibarrack mabuk bayar.
January 27th, 2010 at 12:06 pm
Tanjung Rhu dalam kenangan.
Victual Allowance 1.95 sehari. Sarapan roti canai 2 keping = 20 sen, teh satu gelas = 10 sen. Nasi bungkus ikan kembung + sayur = 50 sen, air sirap 10 sen. Teh isi dalam bekas tin susu = 15 sen. Baru 105 sen, ada baki 90 sen untuk mkn malam.
Yg tak seronok bila kapal naik slip, bawah deck mcm duduk bilik sauna.
January 27th, 2010 at 6:55 pm
nilai duit malaysia masa itu lebih tinggi dari S’pore. tak silap 90sen duit kita, 1 dollar duit dia. gaji kecik tapi barang murah.