menyusur denai ingatan XXXVI

 

Sepanjang 12 tahun 4 bulan menyarong pakaian seragam tentera laut, hampir 5 tahun bermastautin di kapal - 2 buah bot ronda, KD Sri Kedah dan KD Sri Terengganu, sebuah kapal pengangkut (LST) KD Sri Langkawi dan sebuah frigate KD Rahmat.

 

Dalam tempoh itu, 14 kali meredah Laut Cina Selatan dengan keadaan permukaan laut yang berbeza. Pelayaran pertama pada bulan Disember 1966 merupakan yang terindah - air laut begitu tenang, setenang air di kolam.

 

Setelah gagal membuktikan masalah sebenar, KDST diarah kembali meronda perairan Sabah. Lazimnya, kapal berlepas dari jetty pada sebelah pagi atau selewat-lewatnya tengah hari. Hari itu kami diarah berlepas jam 8 malam.

 

Deru engine dan kepulan asap yang keluar dari ‘funnel’ menimbulkan perasaan aneh… macam nak pergi berperang.

 

Tepat pada masanya, tali di hadapan dan buritan kapal dilepaskan. Lampu jetty MBJ semakin kecil dan jauh ditinggalkan.

 

Memandangkan tempat aku bertugas ketika masuk dan meninggalkan pelabuhan ialah di ‘chart house’, maka malam itu aku mengambil syif 8 – 12.

 

Keadaan laut seperti biasa sehinggalah sampai ke kawasan Batu Putih. Bermula dengan alun kecil, ia bertukar ganas dengan hujan dan angin kencang. Belum pun setengah jam, tengkuk sudah terasa berat. Walaupun hujan berhenti, namun  gelora laut tidak juga reda, malah semakin menggila. Berulang kali aku turun naik chart house mengeluarkan isi perut.

 

Kadir ‘gajah’ yang mengambil alih tugas 12 – 4 naik ke chart house dengan muka monyok. Aku tidak menanti lama kerana ingin segera merebahkan badan. Walaupun aku cuba untuk tidur, tapi disebabkan ombak yang begitu menyayangi kami, menimang ke kiri ke kanan, ke atas ke bawah, tak henti-henti, baring di atas ‘bunk’ pun tidak selesa. Akhirnya aku membawa bantal naik ke atas geladak dan baring di sebelah kanan ‘passage way’ berhampiran ‘galley’ dan ‘water cooler’. Pun begitu, mata tak boleh juga lelap.

 

Pagi itu, tidak ada breakfast. Tukang masak, Joe Lingham ‘flat’. Hampir semua krew tidak berselera memasukkan makanan ke mulut kerana majoriti lebih gemar bertindak sebaliknya -  mengeluarkan saki baki isi perut.

 

Ketika itu, aku teringat cerita nenek yang belayar meninggalkan pulau Kalimantan pada tahun 1932. Menurutnya, 4 hari 4 malam di pukul gelombang sehingga hampir keseluruhan anak kapal dan penumpang tidak boleh bangun, kecuali kapten dan dua atau tiga orang krew termasuklah nenek.

 

Antara 18 orang krew (tidak termasuk pegawai), ada dua orang yang memang hebat – tak mengerti makna mabuk - LRME Latif dan ABME Musa ‘hero tamil’. Mereka berdua mengambil alih tugas sebagai tukang masak dan steward. Aku yang terbongkang berhampiran galley semakin loya tekak tercium bau masakan. Ketika inilah, hubungan kekeluargaan sesama anak kapal teruji.

 

Musa membawa semangkuk bubur dan ikan bilis goreng untuk aku mengalas perut. Aku hanya mampu menggelengkan kepala “Tak R.N. lah, gelombang kecil macam ni pun dah out”. Dia menggiat.

 

Tengah khayal ‘menikmati’ belaian badai, buffer datang memberitahu, “CO nak jumpa kat chart house”. Aduuuh, potong ‘steam’ pula C.O. ni.

 

Dengan memegang baldi di tangan, aku pergi  ke chart house dalam keadaan huyung hayang. Rupanya radar sedang mogok.

 

Sejak meninggalkan kawasan Batu Putih, kapal belayar mengikut ‘dead reckoning’ atau main agak saja. Lewat tengah hari, C.O. menjangka kedudukan kapal sudah hampir dengan pulau Borneo. Untuk menentukan sejauh mana tersasar (off course) dari laluan, dia perlu mengambil ‘fix’.  

 

Sekali pandang skrin Radar, aku sudah boleh mengagak bahagian mana yang perlu dijampi. Dengan baldi di sebelah, aku duduk bersila di bawah chart table. Sekejap memandang litar, sekejap menghadap baldi. Hampir sejam mencari punca dan akhirnya berjaya memulihkan keadaan. “Well done”, C.O. mengucapkan tahniah kerana aku dapat mengembalikan ‘penglihatan’ KDST.

 

“Well done?” aku mengejek di dalam hati. Kalau CO tu junior aku, mau aku ‘lecture’ dia “Inilah sebenarnya petunjuk dan balasan…balik pura-pura kapal ada masalah tapi masalah sebenar ialah gelora dalam jiwa”.

 

Lebih 40 jam dihempas badai, tali perut pun sudah habis terbarai. Yang tinggal untuk dimuntahkan hanyalah sedikit air pahit berwarna hijau. Raut muka masing-masing tak ubah macam ayam berak kapur.

 

Laut kembali tenang lebih kurang sejam sebelum sampai di Labuan.

 

Setelah menyaksikan sendiri dua wajah Laut Cina Selatan, kini aku percaya apa yang pernah didengar sebelum ini. Begitulah agaknya keadaan laut yang menelan KD Sri Perak pada tahun 1984.

 

Hampir jam 5 petang barulah kapal bertambat di Jetty Labuan. Sejak meninggalkan pangkalan di Woodlands 45 jam yang lalu, ramai krew berpuasa. Ketika memijakkan kaki ke atas jetty, spontan aku mencangkung kerana jetty pula yang beralun. Berulang kali bangun dan mencangkung sebelum dapat imbangan.

 

“Kalau nak tau, itulah mabuk darat” buffer memberitahu.

 

Melihat muka ku pucat dan tidak bermaya, Sub Lt Chan mencadangkan kami pergi menjamu selera di pekan Labuan.

 

Nasi briani yang terhidang di depan mata hanya jadi hiasan meja. Tekak masih belum boleh menerima.  

 

Setelah dua hari dua malam dihempas gelombang, malam itu barulah kami dapat tidur lena.

 

“Baptism of fire” telah membuatkan aku jadi kental kerana selepas insiden itu, perkataan ‘mabuk laut’ sudah tidak wujud dalam ‘vocabulary’ hidupku. 

 

“Kecil-kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang”. Tapi apa yang kami alami lebih kepada, “sudah besar dihempas badai” - di laut dan di darat.

 


Related posts:

  1. menyusur denai ingatan VIIL
  2. menyusur denai ingatan XL
  3. menyusur denai ingatan XIII
  4. menyusur denai ingatan XXXVIII
  5. menyusur denai ingatan XIV

11 Responses to “menyusur denai ingatan XXXVI”

  1. awok kapal Says:

    i can imagine the encounter, being a merchant seaman, we experienced that too.

  2. tldm60an Says:

    Saudara Admin, memang hebat cabaran Laut China Selatan. Hanya mereka yang telah mengalaminya tahu bagaimana siksanya badan ketika dilambong gelombang. Saya pun merasa tapi taklah sehebat yang saudara alami mungkin CMS besar sedikit dari PC. Kalau boleh rakan kita yang terlibat semasa KD SRI PERAK tenggelam sudi mencoretkan pengalamanya untuk kita kongsi bersama. Salam

  3. xperak Says:

    KD sri perak tenggelam pada 8/1/84. Bila mendengar berita, dada saya terasa sebak kerana pernah dua tahun basuh geladak boleh katakan tiap pagi.Pernah juga kena gelombang tapi saya agak apa yang brother ceritakan mungkin gelombangnya lebih besar. Orang sekarang untung kerana boat rondanya lebih besar banding pc, tapi kuranglah thrillnya.

  4. syedagil Says:

    Saya terjumpa blog tuan setelah membaca cadangan pembahas ‘panggilanpertiwi.forumotion.net’. kalau betul tekaan saya, inilah blog pertama menceritakan inside story kehidupan tentera laut. What a colorful life.

  5. prakash Says:

    Huh, that was great adventure worth reading.

  6. admin Says:

    Memang colourful life dan great adventure berkhidmat dengan TLDM. Mungkin kerana bot ronda era itu kecil @ 100 kaki dan 100 tan sebab itulah boleh dengan mudah dihempas gelombang.

    Mengimbau kembali, saya rasa itulah “the best period of my life”.

  7. itachi Says:

    navy perempuan belayar kapal tak?

  8. admin Says:

    Ia tak ia lah itachi, navy perempuan boleh ke belayar? Setakat ni masih tak ada idea.

  9. jimmi Says:

    Dapat bayangkan diwaktu saat akhir akhir KD Perak nak tenggelam betapa suasana kelam kabut anak anak kapal nak selamatkan diri masing masing.Waktu itu saya bertugas di KD Pari dan kapal berada di Labuan.Jadual pelayaran balik kapal ke Lumut pun beberapa kali ditunda kerana kaedaan cuaca yang tak menentu dimasa itu.

  10. RMN Museum Melaka - 5 | Utuh Paloi Banjar Blog Says:

    [...] Transceiver seperti itulah yang saya sembah ketika bot sedang bertarung dengan gelora Laut Cina Selatan pada tahun 1969. Dengan baldi di sebelah untuk menadah saki baki isi perut, hampir satu jam saya bersila mencari punca kerosakan. (menyusur denai ingatan XXXVI).  [...]

  11. bulan Says:

    “kd sri perak tenggelam” menunjukkan keputusan no 2 selepas laman web navi.mil.my milik tldm..

    bagus sekali dong

Leave a Reply