Nasib Bahasa Melayu
Bahasa Melayu? Ataupun Bahasa Malaysia!
Kerana rindu yang mendalam ingin mendengar Bahasa Melayu dituturkan seperti yang sewajarnya, indah bersulam tamsil dan kias, maka itulah saya menggagahkan diri meluahkan kegelisahan. Dimanakah noktahnya hakisan yang melanda? Siapa yang sewajarnya memartabatkan Bahasa Melayu? Cukupkah sekadar tulisan di media cetak atau diperluas ke alam pertuturan melalui media elektronik?
Setiap hari kita menatap kaca televisyen, menonton rancangan hiburan, drama mahupun berita. Antara tiga yang disebut, siaran beritalah yang sewajarnya dijadikan titik tolak memupuk bibit kesedaran tentang. Apa yang dimaksudkan bukan cara skrip diolah tapi cara ia dibaca.
Tidak dinafikan, suatu ketika dulu, atas gesaan pihak tertentu, berita dibaca secara baku. Dan ada pula saluran TV yang akur dengan gesaan walaupun terdapat sangkalan dari pendengar yang mersakan cara sebutan sedemikian mirip dengan bahasa negara jiran.
Sekali air bah, sekali pasir berubah. Bahasa baku sudah tidak digalakkan. Pun begitu, masih ada saluran TV yang membenarkan penyampai berita menggunakan bahasa yang mirip baku. Tidakkah terfikir oleh pihak pengurusan melatih kembali pembaca berita mereka menggunakan bahasa yang diterima pakai sebelum dan sesudah era bahasa baku? Kalau enggan berubah, pindahkan saja mereka kebahagian lain kerana masih ramai penyampai berita saluran ini yang cekap menggunakan sebutan sebenar dalam pembacaan.
Peranan media elektronik…setiap hari kita mendengar liputan berita di kaca TV dan setiap hari juga kita mendengar para menteri mencampur-adukkan Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris. Kenapa? Akan jatuhkah martabat seorang menteri kalau tidak menyelitkan Bahasa Inggeris dalam pertuturan? Ataupun tidak terasa hinakah seorang menteri kerana sanggup melacurkan bahasa sendiri? Dalam konteks ini, media elektronik boleh memain peranan dengan ‘membisukan’ perkataan atau ayat yang tidak dituturkan dalam Bahasa Melayu. Sukarkah?
Siaran langsung sidang parlimen…sebelum ada siaran langsung, kita mendengar cara wakil rakyat bertutur cuma melalui sedutan dalam siaran berita. Disebabkan masa yang terhad, kita tidak dapat meneliti cara cerdik pandai wakil-wakil rakyat menyampaikan hujah mereka. Wakil rakyat terdahulu apabila ada menyelitkan bahasa asing khususnya Bahasa Inggeris, mereka akan menyebut “dengan izin” sesudah atau sebelum perkataan disebut. Akhir-akhir ini, bukan sahaja “dengan izin” tidak lagi diucapkan, malah ada wakil rakyat tanpa segan silu dan rasa hormat kepada dewan menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya. Apakah mereka tidak fasih berhujah dalam Bahasa Melayu atau mereka beranggapan ‘apa ada pada bahasa’.
Bahasa menunjukkan bangsa. Apakah kerana taksub dengan slogan Bangsa Malaysia, kita lupa bahawa Bangsa Melayu adalah komponen terbesar dalam slogan itu. Selain di sekolah, di mana lagi Bahasa Melayu dapat dipupuk? Kalau mengharapkan media elektronik, pengacara mereka pun tanpa segan silu mencampur aduk bahasa. Majoriti wakil rakyat berpendidikan tinggi dan pastinya juga punya IQ yang boleh dibanggakan. Dengan IQ secukupnya, apakah sukar sangat menguasai Bahasa Melayu?
DS Dr Rais Yatim merupakan contoh terbaik yang boleh dibanggakan. Setiap ayat yang beliau tuturkan adalah lambang keindahan Bahasa Melayu. Bukan sahaja tidak ‘merojakkan’ bahasa, malah beliau bijak menyelitkan tamsil dan kias, bunga bahasa yang tidak dapat dikutip di tepi jalan.
Karam Singh Walia, pemberita luar TV3 yang selalu membuat liputan dan lapuran berkaitan pencemaran alam sekitar bukannya dari keturunan Melayui. Beliau bukan sekadar mahir bertutur dalam Bahasa Melayu malahan peribahasa dan kiasan yang beliau guna sering membuat kita rasa kerdil, rasa malu pada diri sendiri. Kenapa ramai orang yang mengaku Melayu tapi tidak dapat menguasai bahasa ibunda?
Kalau benarlah slogan BAHASA MENUNJUKKAN BANGSA, berapa ramai sebenarnya ‘orang melayu’ yang masih Melayu?
Related posts:
March 26th, 2009 at 10:41 am
sebagai anak Melayu, saya benar-benar mengharapkan agar Bahasa Melayu menjadi lingua Franca sekali lagi!
March 27th, 2009 at 8:46 am
Hei orang banjar, akuk pun orang banjar juga. Tapi bila tak bercakap banjar bahasa tu hilang. Sama aku risau nasib bahasa melayu ni.
May 29th, 2009 at 4:59 pm
salam…
ancaman bahasa blog yang semakin menular dan merapuhkan lagi kedudukan bahasa melayu pada masa kini dan laras-laras bahsa melayu semakin kacau bilau..apakah langkah yang akan diambil oleh pihak berwajib untuk menangani masalah ini dalam usaha untuk memartabatkan bahasa melayu kembali sebagaimana pada zaman kegemilangannya sewaktu era kegemilangan kerajaan Melayu Melaka..?