padamnya sebuah pelita

 

Hidup ini ibarat sebuah perjalanan, ada kalanya singkat dan dekat, ada pula yang panjang dan jauh.

 

Dalam kembara seorang insan, hidupnya tidak mungkin sesempurna kalau sekadar bersandarkan naluri semata. Secara disedari atau tidak, hati-budi dan pekerti murni kerap terbentuk dari kerdipan cahaya orang lain. Cuma kadangkala kita terlupa bila dan dari mana limpahan sinar itu menjelma.

 

Mengimbau kembali, teringat hati-budi seorang insan yang telah tiada. Dia bukan ahli politik atau pemimpin negara yang tak lekang dengan janji, bukan juga seorang ulama yang sentiasa bercerita tentang syurga dan neraka. Dia hanya pemimpin keluarganya yang ku panggil “Ami” dan dia pula memanggilku “Mal’amuh”. 

 

Ami, berereti bapa saudara. Saudara jauh dan kawan karib bapa yang berasal dari Yafai, sebuah perkampungan di pedalaman Yemen. Berhijrah ke Malaya sebelum tercetusnya perang dunia kedua. Memulakan kehidupan dengan menjaja kain dari kampung ke kampung. Ketika keluarga lain masih mendakap erat pendapat “anak dara letaknya di dapur”, dia telah menghantar anak sulungnya, Rafe’ah, kesekolah menengah Inggeris sebelum melanjutkan pengajian di maktab perguruan Durian Daun, Melaka.

 

Ketika menyambut jenazah tiga orang anaknya (Ahmad, pengurus besar sebuah bank di ibu kota, Aziz, penyelia di NST dan Hamidah, seorang pegawai di LHDN) yang meninggal dunia serentak dalam satu kemalangan jalan raya dipagi bulan puasa tahun 1980 di Segamat, semua yang hadir kagum melihat ketenangan wajahnya. Begitu pasrah menerima ketentuan takdir.

 

Ketika terserempak dengan anak-anak muda yang sedang menjamu selera di kebun buahnya di kampung, dia hanya tersenyum menenangkan mereka yang sedang ketakutan dengan berpesan, “kalau nak makan, makanlah sepuas hati asal jangan dibawa keluar untuk dijual”

 

Disuatu petang minggu bulan Julai 1989, saya membawa anak saudara yang sudah lebih sebulan keluar masuk klinik dan hospital, bertemu dukun dan pawang yang memberi pelbagai jenis ubat, jampi dan serapah, namun tidak juga sembuh. Dia mengambil wuduk dan sembahyang hajat dua rakaat memohon petunjuk. Selesai berdoa, dia membuka kitab Bahasa Arab yang sudah lusuh. Masih terngiang-ngiang lontaran suaranya “Jangan jumpa dukun dan pawang. Balik ke hospital yang sama kerana disitu ada ubatnya. Sebelum sampai di rumah, beli sejenis herba berwarna hitam di kedai India persimpangan Felda Air Hitam untuk menahan sakit sementara menunggu rawatan doktor”. Secara kebetulan atau terlorong dari sekalung doa, dipetang itu juga doktor dapat mengesan puncanya.

 

Ketika penduduk kampung sekitar menghulurkan duit sebagai tanda kesyukuran setelah sembuh dari penyakit yang diubatinya, (termasuk barah payu dara) dia tidak mengambil kerana memegang teguh pesanan gurunya semasa di Yemen, “Ilmu perubatan yang diturunkan bukan alat untuk mencari kemewahan”. Ilmu dan dirinya hanyalah perantara, yang menyembuhkan ialah Allah. Dia hanya boleh mengambil sekiranya hidup terdesak dan jumlah yang diizin cukup sekadar mengalas perut untuk hari itu. Berkat ketulusan, hidupnya tidak pernah terdesak, malah sebaliknya.

 

Ketika melihat ramai yang  berlumba-lumba pergi ke Mekah dalam usia muda, dan masih dengan pekerti sama setelah bergelar Haji, dia berpesan, “Pergilah kalau sudah cukup bekalan rohani. Jangan lupa dosa yang kita bawa besarnya setinggi gunung sedangkan amalan dan pahala hanya setinggi busut. Pergilah kalau hati sudah yakin untuk tidak mengulangi kesalahan setelah balik dari Mekah”

 

Pesannya lagi…semasa berdoa, jangan ditaut rapat jari-jari tangan yang sedang menadah kerana makhluk kerdil dibawah sana pasti turut mengucap kesyukuran kiranya diberi peluang menikmati sama limpahan rezeki yang Allah beri. Apakah ia simbolik.

 

Pesannya terus…kalau terjumpa orang lain mencuri hasil tanaman, jangan disumpah seranah. Halalkan sahaja kerana Allah akan menggantikan dengan rezeki yang lain. Disamping melupuskan dosa si pencuri, kita pula mendapat pahala. Ketika terdengar pesanan itu, teringat pula betapa jahilnya diri ini. Patutlah pohon jambu mawar yang ditanam di halaman rumah hanya sekali berbuah lebat. Semasa Allah melimpahkan rezeki dan ada kanak-kanak mencurinya, sikerdil ini menyergah mereka. Ditahun-tahun berikutnya, pohon jambu itu cuma berbuah setangkai dua. Mendengar peasanannya barulah disedari kelemahan diri sebagai makhluk.

 

Begitu juga kalau ada orang lain yang membuat salah terhadap kita, hulurkan kemaafan walaupun dia tidak meminta. Ganjaran Ilahi berlipat ganda.

 

Setiap kali berziarah kerumahnya di bulan Syawal, tak pernah terdengar kata-kata yang menyebut kelemahan orang lain. Padanya semua makhluk bergelar maanusia itu baik walaupun dia tahu kecacatan mereka. Berapa ramai antara kita yang dapat lari dari pekerti suka memperaga keburukan orang lain walaupun sedar mengumpat itu berdosa besar?

 

Tak hairanlah, setelah dia dijemput Ilahi, masjid sesak dengan mereka yang tidak mahu ketinggalan menunaikan fardu kifayah, menyembahyangkan jenazah seorang insan berbangsa Arab Yemen bernama Haji Salleh bin Kassim Al-Jusmi Al-Yafai.

 

Tidak hairanlah, ketika sekujur jasad barselimut putih sedang diturunkan ke persemadian, ratusan hadirin terpegun. Bau semerbak harum kasturi terpancar dari pusara, menyambut jenazah seorang insan yang sepanjang hayatnya bukan sahaja banyak menabur budi demi Ilahi, tapi berbakti kepada keluarga dan masyarakat setempat semata-mata kerana Allah.

 

Walaupun sudah bertahun pelita itu padam, namun kerdipan cahayanya masih terus menerangi ruang-ruang gelap di hati.

 


Related posts:

  1. harga sebuah kejayaan
  2. Berakhirnya sebuah perjalanan
  3. kenangan mengusik jiwa ‘g’
  4. Suami binatang
  5. Nasib Bahasa Melayu

One Response to “padamnya sebuah pelita”

  1. datokeramat Says:

    Haruman di liang lahad tanda dia dimuliakan oleh para malaikat. Insyaallah akan menjadi penghuni syurga.

Leave a Reply