7 Eleven & arak

7 Eleven dan arak seperti irama dan lagu. Andai dipisah, pincanglah irama. Lingkuplah perniagaan.

Rangkaian kedai serbanika terbesar di Malaysia akan mengalami kerugian jika penjualan arak dihentikan. Itulah hakikatnya.

Siapa pemilik 7 Eleven?

Rangkaian kedai yang mula beroperasi di Malaysia pada tahun 1984 ini pada mulanya dimiliki oleh orang Melayu beragama Islam dari kerabat diRaja sebuah negeri di Semenanjung. Pada masa itu, arak pun sudah dijual.

Hari ini, rangkaian kedai 24 jam ini sudah berpindah milik kepada rakyat Malaysia bukan dari keturunan Melayu dan bukan juga beragama Islam. 

Di mana kedudukan pekerja beragama Islam di 7 Eleven?

Setiap kedai 7 Eleven dikendali oleh anak-anak muda Melayu sama ada sepenuh masa atau pekerja sambilan. Pengurus yang berkuasa menentukan barangan yang perlu ada disetiap kedai terdiri dari eksekutif bukan Melayu. 

Kalau boleh dibuat perbandingan dengan pasukan tentera, pegawai tertinggi berpangkat Jeneral hinggalah kepada pegawai berpangkat Kolonel terdiri dari bukan Melayu. Orang-orang Melayu yang ada hanya berpangkat Mejar, Kapten, Leftenan. Dan mereka inilah yang ditugaskan mengawasi balaci-balaci Melayu yang bersengkang mata setiap malam di medan perang.

Kenapa medan perang?

Bekerja di 7 Eleven bukannya mudah, apatah lagi diwaktu malam. Di kawasan berisiko tinggi seperti Bukit Bintang, Bangsar, Brickfields dan ratusan lagi kedai, penyangak tidak takut mencuri dan ada pula yang selamba mengambil tanpa membayar arak-arak di dalam ‘walk-in cooler’. Walaupun ada ‘bouncer’ nya sendiri, mereka tidak dapat berada disetiap kedai pada setiap masa. Kalau dibiarkan penyangak mencuri, khususnya arak, pengurus kedai akan menerima padah - dibuang kerja. Kalau tersangat berani, keselamatan diri terancam.

Pengurus kedai ’beragam Islam’ diwajibkan membuat tempahan arak setiap minggu dan memastikan stok lebih dari mencukupi menjelang hari-hari perayaan seperti tahun baru, Krismas, Tahun Baru Cina dan sambutan hari merdeka. Kalau kekurangan, pengurus kawasan atau pengurus daerah (juga Melayu beragama Islam) pasti melenting. Berbuih mulut mereka memarahi pengurus kedai yang majoritinya baru berumur awal dua puluhan. Panas punggung, berdesing telinga mendengar syarahan.

Adalah menjadi kewajipan pekerja di kedai untuk memastikan rak-rak khusus di ‘walk-in cooler’ sentiasa dipenuhi dengan arak. Untuk kebanyakan kedai, dua pintu dikhususkan bagi air kencing syaitan ini. 

Jenama arak seperti Anchor, Carlsberg, Heineken, Tiger dan Stout wajib wujud di setiap kedai kecuali di 7 Eleven AU4, Taman Keramat kerana penduduk di kawasan ini bertegas tidak mengizinkan arak dijual di kawasan kediaman mereka. 

Kesimpulannya, orang Melayu yang kononnya beragama Islam menyediakan arak untuk dijual bukan sahaja kepada mereka yang bukan Islam tapi juga kepada mereka yang ‘beragama Islam’. Orang Melayu yang diberi pangkat sebagai pengurus kawasan dan pengurus daerah pula diberi tugas mengawasi pengurus kecil dan pekerja kedai agar sentiasa peka dengan status stok arak.

Setiap hujung bulan, pekerja-pekerja Melayu beragam Islam akan pergi ke bank mengambil imbuhan (gaji) hasil jualan arak untuk kegunaan sendiri dan ada pula yang menghantar kepada ibu bapa di kampung.   

Halalkah rezeki yang diterima?

Kalau ditanya kepada tokoh-tokoh agama yang sering muncul di kaca TV atau radio, mereka tak berani memberi pendapat konkrit…halal atau haram.

Kenapa? Kalau terlampau lancang, wajah dan suara mereka tidak lagi jadi penyeri kaca TV dan corong radio.

Itulah sebabnya tokoh-tokoh seperti Hassan Ali, Ismail Kamus dan Haron Din yang pernah mewarnai rancangan Ehwal Islam suatu ketika dulu sudah tidak muncul lagi di kaca TV.

Bagaimana dengan Majlis Fatwa? Sukar sangatkah membuat keputusan. Atau sekadar berani berkata “Kalau boleh, carilah kerja lain”. Kalau setakat itu sajalah fatwa mereka, dikhuatiri yang haram akan jadi makruh atau harus.

Hakikatnya, kalau ulama-ulama yang begitu pantas menyanggah pendapat Nik Aziz baru-baru ini sanggup bersuara lantang dengan memfatwakan yang haram tetap haram, 7 Eleven akan tutup kedai kerana kekurangan pekerja. Tidak ramai orang bukan Melayu yang sanggup menjadi balaci dan abdi, bersengkang mata dengan upah yang tak seberapa sedangkan pegurus-pengurus berpangkat tinggi tidur lena setiap malam.

Kepada ulama dan pemimpin Melayu…kenapa lidah kalian ’bungkam’ seribu bahasa’ dan membiarkan Hassan Ali keseorangan mempertahankan maruah bangsa Melayu dan Agama Islam?

Kemana perginya pejuang gendang kosong? Apa ertinya ‘ketuanan Melayu’ sedangkan anak muda bangsamu menjadi abdi dan alat penjual arak kepada tauke bukan Melayu?


Related posts:

  1. menyusur denai ingatan XXI
  2. ‘Allah’ milik siapa?
  3. Menang sorak kampung tergadai
  4. Nasib Bahasa Melayu
  5. TLDM - Labuan ‘War Memorial’ 13 Nov 66

Leave a Reply