SPM - dulu dan kini

Keputusan SPM baru saja diumumkan. Ramai anak Melayu yang cemerlang dibanding lima dekad yang lalu.

Era pra dan pasca merdeka, semua mata pelajaran diajar dalam Bahasa Inggeris, kecuali Bahasa Melayu. Bila sampai waktu untuk belajar Bahasa Melayu, kelas dibahagi kepada dua. Satu untuk pelajar Melayu (Banjar, Jawa, Melayu tulen dll) yang mengambil mata pelajaran BM manakala satu lagi untuk bukan Melayu yang belajar Bahasa Kebangsaan.

Untuk layak mendapat sijil ‘Senior Cambridge’, pelajar wajib lulus Bahasa Inggeris. Sekiranya gagal, tapi lulus Bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan, pelajar hanya menerima sijil FMC (Federation of Malaya Certificate).

Begitu juga pelajar bukan Melayu yang gagal Bahasa Kebangsaan akan hanya mendapat sijil Senior Cambridge - tanpa FMC atau MCE.

Zaman itu, keputusan peperiksaan disiarkan dalam akhbar Straits Times.

Keputusan peperiksaan yang tertera di atas di ’scan’ dari majalah sekolah. Tahun itu, 79 orang pelajar menduduki peperiksaan. 8 orang atau 10.12 peratus pelajar Melayu lulus dalam Bahasa Inggeris. 16 orang atau 20.25 peratus bukan Melayu lulus Bahasa Kebangsaan.

Seorang pelajar Melayu atau 1.26 peratus mendapat Gred 1, tiga orang  atau 3.8 peratus mendapat gred 11, dua puluh orang atau 25.31 peratus mendapat Gred 111.

Salah seorang yang lulus Bahasa Inggeris dan mendapat Gred 11 hanya mengguna-pakai bahasa tersebut di dalam kelas. Di luar bilik darjah, dia berinteraksi menggunakan Bahasa Melayu. Balik ke rumah, Bahasa Banjar. Namun, tiga tahun berturut-turut dia merangkul hadiah Bahasa Melayu. Guna khidmat bomoh ke, pakai tangkal atau tuisyen?

Masa itu, dia pun tidak boleh membayangkan apa makna tuisyen. Yang dia tahu, setiap hari Jumaat, Sabtu dan cuti sekolah, dia mesti memegang pisau getah.

Hobinya pula membaca cerpen, mengumpul dan menganalisa puisi dan sajak-sajak ‘kabur’ yang di gunting dari akhbar di kedai runcit di kampungnya. 

Tersebut bomoh, teringat insiden dua minggu lalu. Masa itu, aku berada di kampung kerana menghadiri majlis perkahwinan saudara sebelah isteri. Tiba-tiba berhenti sebuah kereta Proton Saga model baru. Setelah memberi salam, pemandunya bertanya “Di mana rumah dukun Basuki?”.

Sebelum bertukar profession, bomoh ini dulunya tukang urut. Sejak umur meningkat dan kudrat terbatas, urutan diganti dengan jampi serapah. “Kenapa encik, hendak berurut ke?” aku ‘kipoci’.

“Tak lah, anak saya ini tak mau belajar. Hujung tahun nak periksa” sambil dia menunjukkan ke arah anak gadisnya yang duduk di belakang. “Cuba-cubalah minta penawar dengan wak Basuki.”

Selepas mendapat tunjuk arah, dia segera beredar untuk menunaikan hajat. Lepas itu, aku bertanya kepada keluarga dan difahamkan, belum ada anak dukun tersebut yang menjejakkan kaki ke IPT.

Mengimbau hari pertama aku memijakkan kaki di Remove Class, lima hari berturut-turut, dari Ahad hingga Khamis, bapa tiriku menunggu di luar kelas kerana aku tidak mengizinkan dia balik. Petang hari pertama, aku menangis berjam-jam, tidak mahu melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah kerana tidak faham apa yang diucapkan guru. Aku cuma tahu dua perkataan Inggeris - Yes dengan no.

Soalan pertama dari ‘form master’, “What is your name?” membuat aku hampir terkencing. Sambil memalingkan muka ke arah ketua darjah, Abdul Samad Abdullah (namanya ada dalam senarai di atas), aku bertanya “Apa cikgu kata Mad?”. Ketua darjah inilah yang mengajar aku memberi jawapan.

Ketika seorang guru bersarban, Mr Naranjan Singh masuk ke bilik darjah, seram sejuk aku dibuatnya, menggeletar jari jemari, degupan jantung menjadi pantas. Betapa tidak, selama ini aku difahamkan, orang benggali suka memenggal kepala untuk diletak di bawah jambatan yang akan atau sedang dibina, sebagai persembahan kepada jembalang penjaga sungai.

Minggu seterusnya, ’form master’, Mr P. Selvaraj meminta kami membuat ayat dari perkataan “like”. Seorang demi seorang mengangkat tangan menunjukkan kebolehan masing-masing. Melihatkan aku masih membisu, seorang murid India bernama Tamil Selvam, yang duduk di belakang mencuit bahuku sambil membisikkan ayat yang menggunakan perkataan “like’. Puas aku menghafal ayat itu sebelum berani mengangkat tangan.

“I like to girl, sir” aku berdiri sambil menjawab dengan bangga. Nak menangis pun ada bila seluruh kelas ketawa terbahak-bahak. Apabila dijelaskan oleh ketua darjah, barulah aku faham apa makna perkataan ‘girl’. Dan ayat itu pun salah kerana sepatutnya ia berbunyi “I like girls, sir”.

Setelah dijadikan bahan gurauan oleh rakan sekelas, aku semakin tekun belajar dan tidak lekang dengan buku Bahasa Inggeris “Look and Read’. Belum sampai setengah tahun, aku sudah menjadi ‘pet student’ dan selalu di arah Mr Selvaraj pergi ke bilik darjah Form 1 dan 2 untuk melukis peta geografi di papan hitam.

Dari sejumlah hampir 30 pelajar Remove Class, hanya tiga orang berjaya melanjutkan pelajaran ke Form IV.  Dua orang ke  IV science manakala Abdul Samad - ketua darjah yang banyak membantu aku di hari dan minggu pertama Remove Class - ke Form IV Arts. Tamil Selvam gagal peperiksaan LCE.

Era itu belum wujud lagi kelas matrikulasi. Kalau rasa teringin dan mampu untuk melanjutkan pelajaran, calun dikehendaki lulus “Form Six Entrance Examination”. Memandangkan kemampuan material dan mental terbatas, aku tidak mengambil peperiksaan tersebut walaupun mendapat galakan dari ‘form master’, Mr M.K. Lakshman.

Maka berakhirlah perjalanan akademik seorang anak kampung yang serba kekurangan.


Related posts:

  1. Banjar oh Banjar
  2. Nasib Bahasa Melayu
  3. disebalik ‘mangilir lading batagar’
  4. RMN Museum Melaka - 7

6 Responses to “SPM - dulu dan kini”

  1. nana Says:

    Dalam senarai yang discan, saya yakin tentu ada nama tuan admin. Yang mana satu?

  2. toknujum Says:

    Jawapannya ada dalam menyusur denai ingatan 5,6atau7. Tak silap ada pembaca mention nama admin dalam ruangan comment. sorrree kalau terrrrsilap

  3. nujumjuga Says:

    Siri 6. Kira OK lah tu kalau la ni mau dapat 10A. Tapi kalau admin sekolah tinggi, siapa nak tulis cerita kampung banjar.

  4. moonflower Says:

    pembaca pun boleh menangis baca part ‘I like to girl, sir’, inikan pula bahu yang memikul.

    p/s: tuan admin the only banjar guy yang dpt gred II untuk peperiksaan senior cambridge that year.

  5. prakash Says:

    “Maka berakhirlah perjalanan akademik seorang anak kampung yang serba kekurangan.”

    Just a thought…if you were born with a silver spoon, would you be a better person?

  6. admin Says:

    Moonflower,

    Mungkin ada rahmat disebalik insiden dipermainkan kawan…ia menjadikan saya lebih gigih.

    Prakash,

    If I was born with a silver spoon, it would not guarantee that I would be a better person. In life, there are so many ifs.

    Note: Ariffin Omar was the nephew of - and he was staying with - Musa Hitam (Tun) who was the ADO at that time. He once took me to Musa Hitam’s house and showed his array of barbell and dumbells. Ariffin was an avid bodybuilder. Was I envious? No. That weekend I ‘manufactured’ my own barbell made from empty tins filled with cement. That’s life.

Leave a Reply